26 May 2014

Meneroka Minda Si Ultra Kiasu

Ridhuan Tee Abdullah, tokoh yang dikatakan bakal menjadi legenda. Dia juga memenuhi hampir semua “corak pemikiran Melayu” yang dihuraikan oleh AB Sulaiman menerusi buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013).
 
Bagaimanapun, tokoh ultra kiasu ini seolah-olah berperang dalam diri serta menghadapi dilema identiti diri serta gangguan psikologi yang agak ketara. Hal ini tidak pula bermakna dia “gila” tetapi analisis terhadap tulisannya seolah-olah menunjukkan elemen-elemen gangguan mental yang mungkin tidak disedari sesiapa.
 
Bagaikan wujud personaliti berbelah (split personality) berikutan jati diri dan identiti diri yang bercelaru. Semua itu terpancar menerusi minda bawah sedar dalam tulisan-tulisannya, khususnya yang disiarkan secara penuh akur dan setia oleh akhbar Sinar Harian terbitan Kumpulan Media Karangkraf.
 
Perkara yang diketahui umum adalah bahawa selain daripada gelaran Tokoh Ultra Kiasu, lelaki mualaf itu juga dikenali sebagai individu yang amat fanatik, rasis, pentaksub, malah pelampau. Kita hanya perlu melayari ruang siber untuk mengetahui perkara ini.
 
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa walaupun dia keturunan Cina, Ridhuan Tee lebih ketara menonjolkan dirinya (menerusi tulisan dan pakaian) sebagai juara etnosentrik bagi “kita orang Melayu”.
 
Nama asalnya ialah Tee Chuan Seng dan dia mengaku “pernah menjadi Kristian” (Sinar Harian, 31 Oktober 2011) sebelum “murtad” (meninggalkan agama asal).
 
Mungkin juga peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 160 membuatkan dia layak mengisytiharkan dirinya Melayu. Sedangkan Tun Mahathir, seorang keturunan India-Malayali, boleh menjadi Melayu, mengapa tidak saya? Mungkin demikian fikirnya.
 
Syukurlah saya tidak mengenali Ridhuan Tee secara peribadi dan dengan izin Tuhan, saya juga tidak berminat untuk mengenalinya.
 
Sebaliknya, analisis psikologi secara amat asas dan objektif ini adalah berdasarkan beberapa tulisannya di akhbar Sinar Harian atas permintaan beberapa kenalan. The Malaysian Insider, 26 Mei 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI] - Baca juga: Ultra Kiasu Nafi Alami Krisis Identiti -- Komen pembaca Malaysiakini