26 May 2014

UPSR di SJKT

Kesemua 15 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Siru Kambam, Taiping dijangka lulus cemerlang, sekali gus membuktikan bahawa murid-murid SJKT mampu mendapat 7A.
 
“Kami yakin bahawa sekolah ini akan mencipta rekod baru yang bakal menggegarkan negara. Saya sendiri tidak sabar menanti ketibaan tarikh UPSR,” kata guru besar sekolah berkenaan yang lebih mesra dengan panggilan Puan Guru Besar.
 
Beliau berkata demikian semasa dikunjungi untuk mendapatkan sedikit maklumat bagi menghasilkan sebuah faksyen (fakta + fiksyen) berkaitan isu UPSR di SJKT.
 
Pada Mac 2013, seorang pesara guru, Puan Parameswari (bukan nama sebenar) mendedahkan bahawa pernah ada usaha oleh Pertubuhan Politik India (PPI) untuk menjual tanah milik SJKT Ladang Siru Kambam.
 
“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu kerana tumpuan saya hanya terhadap kecemerlangan akademik murid-murid sejak saya menjadi guru besar di sini. Saya tidak mahu ambil tahu apa-apa perkara lain,” kata Puan Guru Besar dengan tegas.
 
Beliau lebih berminat untuk bercakap mengenai UPSR yang dianggapnya sebagai cabaran terbesar dalam kehidupan mana-mana murid Tamil di SJKT. Beliau juga mengakui bahawa PPI selalu membantu bagi memastikan kecemerlangan UPSR.
 
“Saya tidak tahu dan tidak mahu komen tentang mana-mana 523 SJKT lain di negara kita. Apa yang penting bagi saya adalah untuk memastikan murid-murid saya (SJKT Ladang Siru Kambam) lulus cemerlang dalam UPSR. Kita perlu buktikan bahawa murid-murid kita memang hebat. Itu juga impian PPI,” katanya dengan penuh semangat.
 
Semasa tinjauan dilakukan baru-baru ini, murid-murid Tahun Enam (calon UPSR) didapati sedang mengikuti kelas khas melibatkan belon berwarna merah, biru, kuning dan hijau. Tanggapan saya bahawa mereka sedang belajar mata pelajaran Sains ternyata meleset jauh. The Malay Mail Online, 26 Mei 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI]