Semasa forum bertajuk “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu
dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?” anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014, isu berkaitan sekolah jenis
kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut ditimbulkan Sasterawan
Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.
“Oleh kerana kita mengadakan sistem
pendidikan vernakular, seperti SJKC dan SJKT, ini melambatkan proses kita untuk
menghapuskan dalam minda kita bahawa kita adalah satu bangsa yang menggunakan
bahasa yang satu dan sistem pendidikan yang sama,” katanya pada forum yang
turut saya hadiri.
Akhbar Mingguan
Malaysia (5 Oktober 2014) pula melaporkan cadangan Timbalan Ketua Umno
Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad supaya Perhimpunan
Agung Umno pada November 2014 “membincangkan dengan teliti sama ada SJKC perlu
diterus atau dimansuhkan.”
Seperti bulan jatuh ke riba, akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober 2014)
memetik “pendedahan” pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, kononnya berdasarkan
hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.
“Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih
buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa
Melayu,” sindir Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober 2014).
Tanpa berniat menafikan atau mempersoalkan
kesahihan “fakta” yang dikemukakan Kok Seong, suka saya menegaskan bahawa pasti
ada beberapa perkara yang tidak dilaporkan media arus perdana.
Perkara paling utama adalah bahawa pelatih
kaum Cina yang dinyatakan itu tidak pernah mendengar nama, tidak pernah
berpeluang membaca karya, serta tidak pernah berpeluang bertemu Dr Lim Swee Tin dan isterinya, Selina SF
Lee.
Sekadar contoh, semasa suatu acara khas
bagi khalayak SJKC di Kulai Jaya, Johor pada 12 Mac 2011, hadirin begitu kagum,
bangga dan bersemangat mendengar ceramah mereka berdua yang fasih serta
menguasai Bahasa Malaysia; lebih baik daripada kebanyakan “penutur asli bahasa
Melayu”.
Kalaulah kelompok pelatih kaum Cina itu
yang kononnya langsung tidak tahu bercakap Bahasa Malaysia telah berpeluang
membaca karya-karya Swee Tin dan Chai Loon Guan (atau berpeluang bertemu
mereka), pasti perkara yang sebaliknya berlaku pada hasil kajian PLKN.
Mungkin juga kelompok pelatih PLKN terbabit
hanya berpeluang membaca (atau dipaksa membaca) segala “sampah-sarap” yang
ditulis oleh Ridhuan Tee Abdullah di Utusan Malaysia dan Sinar Harian.
[Makalah ini ditulis pada 29 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 3 November 2014.
BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]