Pepatah lama Bahasa Tamil menasihatkan orang ramai
(orang Hindu) supaya tidak tinggal di kampung yang tiada kuil.
Kata-kata nenek-moyang itu menunjukkan
betapa kuil sebagai rumah ibadat memainkan peranan penting dalam kehidupan
orang Hindu, yakni penganut Sanathana Dharma iaitu agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia.
Pada 14 September 2014, saya dan Kughan Nadarajah berpeluang melawat
Kuil Sri Maha Nageswari Amman yang terletak bersebelahan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Kemuning Utama,
Shah Alam.
Kunjungan kami adalah susulan undangan
pengerusi Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman, Moorthy Pattan. Beliau
yang saya kenali sejak tahun 2004 memang sudah beberapa kali mengajak saya ke
kuil baru itu sejak hampir setahun lalu.
Kuil ini pada mulanya dua kuil berasingan
yang dikenali dengan nama Kuil Maha Mariamman dan Kuil Nageswari Amman.
Kedua-duanya dulu terletak di Ladang Emerald, di tepi Jalan Bukit Kemuning yang
menghubungkan Taman Sri Muda, Shah Alam ke Kampung
Jawa, Klang.
Semasa saya mewawancara Moorthy dan ibunya,
Letchumi lebih sedekad lalu bagi sebuah makalah di majalah Sarina (Ogos 2004), kedua-dua kuil sudah pun diarah berpindah.
“Paramount
Property selaku pemaju yang mengambil alih kawasan ini memberikan suku ekar
tanah untuk kuil baru. Pemaju juga menghulurkan bantuan dana bagi menampung kos
membina bangunan kuil.
“Pihak pemaju itu selalu datang ke kuil
untuk bersembahyang dan meminta saya melakukan pooja khas sebelum pembinaan dimulakan di beberapa tapak perumahan
di Ladang Emerald yang kini dikenali sebagai Kemuning Utama,” Moorthy menceritakan.
Katanya, pihak pemaju berkenaan juga
terlibat melakukan upacara pecah tanah dan penanaman adikal (batu asas) bagi Kuil Sri Maha Nageswari Amman pada 16
September 2011.
Kuil Maha Mariamman sebenarnya berusia
lebih seratus tahun dan dipercayai diasaskan oleh kumpulan pekerja ladang
kelapa sawit yang mula-mula datang ke Ladang Emerald.
[Makalah bergambar ini ditulis pada 27 Oktober 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 3 November
2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.
Baca juga KOLEKSI MAKALAH HINDUISME] Sertai lawatan ke kuil berkenaan pada 30 November 2014 - MAKLUMAT DI SINI