Menerusi laporan Bernama (29 April 2013), saya mendapat
tahu bahawa Pengerusi Bar1san Nas1onal (BN), Najib Razak telah mengumumkan sumbangan RM450,000 kepada Persatuan
Penulis-penulis Tamil Malaysia dengan harapan golongan “Penulis Tamil” akan menghasilkan karya-karya bermutu.
Bagaimanapun, pada 26
Mei 2013, Bernama melaporkan Presiden
MIC, G Palanivel sebagai berkata, Najib bersetuju memberikan peruntukan
RM100,000 sahaja kepada “Penulis Tamil”. [Rujuk – “Apa Lagi Penulis Tamil Mahu?”]
Maka, saya mula
tertanya-tanya apakah “Penulis Melayu” akan turut menjadi mangsa “janji dicapati”. Hal ini kerana Bernama (15 April 2013) melaporkan
bahawa RM2 juta akan disalurkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk
membantu golongan penulis menghasilkan karya-karya bermutu.
Harus dinyatakan bahawa
pengumuman itu dilakukan oleh Muhyiddin Yassin selepas Parlimen dibubarkan (3
April 2013). Apakah “janji ditepati” selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) atau janji akan tinggal janji? Mungkin
jumlah sumbangan akan dikurangkan; sebagaimana dilakukan kepada “Penulis
Tamil”.
Seperti dilaporkan di Utusan Malaysia (16 April 2013), antara
pihak yang berhak menerima bantuan adalah “penulis yang berminat menerbit dan
memasarkan karya mereka”. Sesungguhnya saya termasuk dalam kategori itu kerana
menerbitkan dan memasarkan sendiri karya sejak 2001; berikutan pihak tertentu
cuba menghalang saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.
Akan tetapi, saya tidak
suka akan Muhyiddin sejak beliau gagal membela nasib sekumpulan “Penulis
Melayu” yang menjadi mangsa penipuan royalti teks Komsas pada
2011. Saya telah berharap beliau tidak dilantik semula sebagai Menteri
Pelajaran dalam Kabinet Najib selepas PRU-13 tetapi nampaknya Muhyiddin masih
menjadi Menteri Pelajaran I.
(Maka musnahlah harapan
meneruskan cubaan membela nasib mangsa penipuan royalti teks Komsas kerana
hasil usaha sejak Ogos 2011 sudah membuktikan bahawa Muhyiddin “tidak ada
kuasa” berbanding “kuasa” dimiliki penerbit terbabit.)
Berbalik pada dana khas
itu, sama ada saya masih layak memohon dan sama ada permohonan saya akan dipertimbangkan
adalah persoalan lain. Apa yang jauh lebih penting – serta menjadi cabaran
kepada DBP – adalah dalam memastikan peruntukan yang dijanjikan oleh “kerajaan
sementara” itu benar-benar masuk ke akaun DBP. Bak kata peribahasa Tamil, apa
yang ada di dalam periuk, itulah nanti yang dapat dicedok dengan senduk.
Pemberian dana khas
oleh kerajaan bukanlah sesuatu yang baru. Pada tahun 2012, kerajaan mengumumkan
peruntukan RM5 juta kepada Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk
menerbitkan buku karya sasterawan tempatan (Utusan
Malaysia, 21 April 2013).
Saya teringat akan keluhan Ahmad J Husein (Suara Pakatan Daily, 19 Januari 2011)
bahawa Pena serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) “tidak
pernah mempedulikan nasib malang para penulis”. Penulis itu turut
tertanya-tanya mengapa kerajaan “memberikan dana penerbitan bernilai jutaan
ringgit kepada para penerbit untuk menerbitkan karya para penulis tanah air.”
Bantuan dana oleh PNM, DBP
Ahmad lebih bersetuju jika peruntukan khas
disalurkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai dana pembelian
buku-buku secara langsung daripada para penulis. Saya juga amat bersetuju
kerana itulah tujuan sebenar dana berkenaan diperuntukkan oleh kerajaan.
Namun, untuk berlaku adil, sesungguhnya PNM
pernah membuka peluang kepada penulis tempatan memohon modal untuk memulakan
penerbitan daripada Dana Penulis berjumlah RM2 juta yang disediakan.
Bernama (23 April 2011) memetik Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar
sebagai berkata bahawa dana itu diberikan kepada penulis yang menghasilkan
(menerbitkan sendiri) karyanya seratus peratus. Penulis yang layak akan
menerima RM25,000 dan PNM akan membeli serta mengedarkan buku tersebut kepada
perpustakaan desa di seluruh negara.
Dana Penulis yang diusahakan oleh PNM
memang sangat membantu golongan penulis. Saya turut pernah berpeluang
menikmatinya. Malah, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
membantu penulis lain seperti Lim Swee Tin dan Selina SF Lee
mendapatkan dana itu memandangkan mereka “tidak mendapat maklumat” daripada
persatuan penulis tertentu.
Berbalik pada sumbangan RM2 juta yang
diumumkan oleh Muhyiddin pada 15 April 2013, Aznan Bakar menyatakan harapan
bahawa DBP yang diberi tanggungjawab dan amanah itu akan memastikan dana
berkenaan sampai kepada golongan sasar (Utusan
Malaysia, 19 April 2013).
Kebimbangan ini memang berasas tetapi saya
amat yakin (seratus peratus) bahawa Ketua Pengarah DBP, Awang Sariyan akan memastikan sendiri
bahawa tidak ada sebarang ketirisan berlaku. Malah, saya yakin bahawa penilaian
akan dilakukan secara adil dan saksama bagi setiap permohonan yang diterima
daripada penulis dan persatuan penulis yang layak.
Apa yang lebih membimbangkan saya adalah
sama ada dana RM2 juta itu akan benar-benar diluluskan sepenuhnya oleh kerajaan
dan benar-benar disalurkan sepenuhnya kepada DBP. Mungkinkah nasib dialami
“Penulis Tamil” turut terpaksa ditanggung “Penulis Melayu”?
Dan jika perkara malang seperti itu
berlaku, apakah Gapena dan Pena akan berdiam diri? Apakah Ketua Satu Gapena,
Abdul Latif Abu Bakar akan berkata, “Hal-hal berkaitan sastera dan penulisan,
kita (Gapena) tiada masalah dengan kerajaan. Kita anggap apa-apa yang kerajaan
buat semuanya betul, ikut saluran” seperti pernah dinyatakan dalam suatu isu
lain (“Gapena sokong haram buku, akta kekang penulis,” Malaysiakini, 19 Julai 2012)?
Umum mengetahui bahawa pelantikan semula
Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi penggal kedua pada 15 Mei 2013
dilihat oleh politikus dan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai “hadiah paling
bermakna” memandangkan beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada tarikh
sama.
Cuma, saya berharap Muhyiddin tidak lupa
tentang dana RM2 juta yang diumumkannya tepat sebulan sebelum itu (15 April
2013) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dalam usaha memancing sokongan
golongan penulis menjelang PRU-13. Maklumlah, seperti kata Mahathir Mohamad, “Melayu mudah lupa”.
Menurut sumber dalaman DBP, peruntukan dana
khas RM2 juta itu adalah bagi melaksanakan lima inisiatif ke arah pembinaan
bakat dan kemahiran penulis pelbagai kaum di negara ini yang
menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Hanya ada empat penulis kaum India?
Pertama, memberi sumbangan RM10,000 kepada
setiap persatuan penulis bagi membiayai program pembudayaan bahasa dan sastera.
Kedua, bantuan khas RM5,000 bagi penulis yang berminat menerbitkan dan
memasarkan sendiri karya mereka. Ketiga, menampung kos bagi penulis menjalani
program latihan di luar negara.
(Seorang penulis wanita tersohor dilaporkan
membuat kenyataan bahawa para penulis novel-novel Fixi terbitan Amir Muhammad
tidak layak memohon. Mungkin penulis wanita itu mahu membolot semua wang untuk
pergi mengembara ke seluruh pelosok dunia.)
Keempat, bagi membeli dan membekalkan buku
sastera ke perpustakaan sekolah dan institut pendidikan guru. Kelima,
menjadikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebagai acara tahunan. Terbukti
bukan kesemua lima inisiatif itu “cadangan baru” sebaliknya gabungan baru dan
lama. Sekadar penjenamaan semula.
Apabila bercakap mengenai penulis yang
menghasilkan karya bahasa kebangsaan, tentulah bukan hanya terhad kepada
“Penulis Melayu”. Dalam akhbar Mingguan
Malaysia (26 Mei 2013) dinyatakan bahawa terdapat 87 penulis “Bukan Melayu” yang menyuburkan persuratan
kebangsaan pada dekad 1990-an.
Dinyatakan bahawa jumlah itu “menurun
kepada 63 pada tahun 2000 dan merudum kepada 23 orang pada tahun 2012”.
Khabarnya hanya ada empat penulis kaum India yang masih berkarya
secara konsisten sehingga kini dalam menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Walaupun Kavyan ditunjangi penulis dan
peminat sastera Bahasa Malaysia, kami tidak berminat membahagikan kelompok
penulis mengikut kategori kaum. Sambil menolak perkauman, kami meraikan
kepelbagaian. Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan terbuka
kepada peserta pelbagai kaum.
Walau bagaimanapun, berbekalkan pengalaman
sejak diasaskan pada Ogos 1999, Kavyan bersedia membantu DBP (atau mana-mana
pihak) dalam usaha mengasah dan membimbing kelompok penulis baru pelbagai kaum.
Apatah lagi jika kerajaan memang ikhlas dalam menyalurkan dana seperti
diumumkan oleh Muhyiddin.
Bernama, Berita Harian dan Malaysiakini (29 April 2013) memetik
Najib sebagai berkata, “dalam menghadapi fenomena localisation dengan setiap etnik mahu mengekalkan jati diri dan
identiti masing-masing, masyarakat India tidak terkecuali dalam usaha untuk
memelihara warisan dan budaya mereka.”
Pandangan itu dinyatakan khusus mengenai “Penulis
Tamil” tetapi saya percaya bahawa Najib, Muhyiddin, kerajaan, PNM dan DBP sedar
bahawa bukan hanya “Penulis Tamil” menulis mengenai budaya kaum India dalam karya sastera.
Sebaliknya, wujud juga kelompok penulis kaum India – Sasterawan Kavyan – yang menulis karya
asli Bahasa Malaysia mengenai budaya kaum India di negara ini.
Hasil “Bengkel Penulisan Makalah Budaya”
anjuran Kavyan dan DBP pada 19 Mei 2012, misalnya, lahir penulis seperti Kughan Nadarajah dan Thiruselvam
Padmanabhan yang karya mereka tersiar dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Kosmik.
Memang wujud puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan yang sanggup melakukan apa
sahaja (termasuk dosa besar) untuk menghalang usaha kami. Sama ada menerima
bantuan atau tidak, Kavyan akan meneruskan aktiviti bahasa, sastera, seni dan
budaya dengan semangat “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
[Makalah ini ditulis pada 29 Mei 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 30 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]