[Suatu usaha untuk merapatkan jurang antara penulis Tamil dan khalayak
pelbagai kaum.]
Walaupun saya termasuk dalam kelompok Sasterawan Kavyan dan penulis yang
menghasilkan karya Bahasa Malaysia, saya tetap tidak melepaskan
peluang mengikuti perkembangan sastera Bahasa Tamil di Malaysia sejak 1993.
Saya juga pernah dipelawa menulis rencana
khas mengenai sejarah dan perkembangan cerpen Tamil
di Malaysia untuk siaran akhbar New
Straits Times (11 Februari 2004) – BACA DI SINI.
Bidang penulisan cerpen Bahasa Tamil di negara ini bermula
selewat-lewatnya pada awal tahun 1930-an. Walaupun bahasa ibunda digunakan bagi
meluahkan idea dan perasaan, kisah-kisah yang dipaparkan oleh para penulis
Tamil – khususnya selepas kemerdekaan – adalah mengenai masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Pada tahun 1970-an, terdapat usaha
terjemahan silang antara karya Bahasa Tamil dan Bahasa Malaysia, iaitu selepas istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan.
Sayangnya usaha itu hanya bersifat sementara dan tidak berlanjutan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri
terlibat dalam usaha menterjemahkan karya (cerpen/novel) pengarang negara India
ke Bahasa Malaysia. Malangnya karya penulis Tamil tempatan terlepas daripada
perhatian pelbagai pihak.
Satu-satunya antologi cerpen penulis Tamil
tempatan yang diterbitkan sehingga kini adalah Seruling di Persimpangan (1999) yang
saya usahakan dengan kerjasama M. Balachandran atas pemintaan DBP.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
berpendapat bahawa masih belum terlewat untuk meneruskan usaha murni itu yang
sedikit tersekat disebabkan pelbagai faktor dan halangan.
Tugas dan tanggungjawab mengusahakan projek
terjemahan ini pernah diserahkan kepada Persatuan Penulis-penulis Tamil
Malaysia sejak tahun 1990-an. Malangnya, setahu saya, belum ada sebarang hasil
yang nyata.
Dalam perkembangan terkini, saya memutuskan
untuk mengusahakan antologi terjemahan penulis Tamil dengan kerjasama Kavyan
dan kelompok penulis muda yang bernaung di bawah kumpulan Vallinam.
Sasaran projek antologi ini adalah untuk
mengenal pasti cerpen-cerpen Tamil tempatan yang sesuai diterjemahkan ke Bahasa
Malaysia untuk bacaan masyarakat pelbagai kaum.
Peluang interaksi lebih luas
Kavyan juga berusaha mengenal pasti
penulis-penulis Tamil tempatan yang menghasilkan karya bermutu yang wajar
diperkenalkan kepada masyarakat pelbagai kaum.
Langkah ini selaras dengan apa yang
dikehendaki dan dicari oleh DBP; khususnya menerusi Bahagian Pengembangan
Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum.
Objektif lain termasuk usaha mengangkat
Bahasa Malaysia sebagai medium perpaduan dengan menterjemahkan cerpen-cerpen
Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia.
Penerbitan antologi terjemahan yang
memuatkan cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan penulis Tamil tempatan juga
secara tidak langsung akan membuka peluang interaksi yang lebih luas antara
penulis/khalayak sastera Tamil dan penulis/khalayak sastera kebangsaan.
Proses pemilihan cerpen-cerpen Tamil yang
sesuai sedang diusahakan dengan kerjasama kelompok penulis Tamil yang terdiri
daripada golongan veteran dan golongan muda.
Sebagai kumpulan yang terlibat secara
langsung dalam perkembangan sastera kebangsaan sejak diasaskan pada 1999,
Kavyan akan memastikan hanya karya-karya bermutu dan paling sesuai dipilih bagi
tujuan penterjemahan.
Kerja-kerja penterjemahan dan
penyelenggaraan siri antologi cerpen pengarang Tamil ini sedang ditangani oleh
saya sendiri dengan kerjasama dan bantuan beberapa Sasterawan Kavyan dan
beberapa penulis Tamil (veteran dan muda).
Sebagai penerbit yang berpengalaman
menerbitkan buku-buku Sasterawan Kavyan sejak 2001 serta berpengalaman
mengedarkan buku-buku menerusi syarikat saya sejak 2011, tentulah tidak sukar
untuk merealisasikan projek ini. Tambahan pula, saya menerima sokongan dan
bantuan pelbagai pihak.
Saya pernah mendedahkan menerusi makalah
bertajuk “Penulis Tamil juga Mangsa Royalti” (Free Malaysia Today, 16 September 2013)
bahawa cerpenis Tamil yang karyanya disiarkan di akhbar, majalah dan antologi
tidak dibayar honorarium atau royalti. [Baca juga “Royalti yang Dilupakan” (The Malay Mail Online, 7 Oktober 2013).]
Bagi antologi yang sedang diusahakan,
royalti akan dibayar kepada para penulis asal, penterjemah dan penyelenggara
mengikut kadar standard. Hak cipta karya asal (Tamil) dipegang oleh
masing-masing penulis.
Meneruskan legasi Othman Puteh
Sebaik sahaja novel Hanuman: Suara Hati terbit pada 2
Oktober 2013, saya sudah memulakan usaha mengenal pasti kelompok penulis Tamil
bagi dua buah antologi – sebuah bagi penulis veteran dan sebuah bagi penulis
muda. (Baca juga: Menterjemah Minda Penulis Tamil)
Pada masa sama, saya juga sedang
mengusahakan antologi cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis pelbagai kaum/etnik
di Sabah dan Sarawak – MAKLUMAT DI SINI.
Sesungguhnya, idea dan semangat untuk
menyelenggarakan buku-buku ini muncul apabila saya terkenang akan Dr Othman Puteh yang meninggal dunia
pada 19 Oktober 2003.
Semasa hayatnya, Allahyarham amat rajin
menyelenggarakan antologi cerpen yang memuatkan karya penulis pelbagai
kaum/etnik dari seluruh negara.
Pada 19 Oktober 2013 – genap sedekad
selepas pemergian beliau – sepatutnya berlangsung acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” anjuran
Kavyan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut
Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).
Apa yang menarik, acara itu dijadualkan
turut menampilkan penyertaan kelompok penulis Tamil yang selama ini dilihat
sebagai “terpisah” daripada arus sastera bahasa kebangsaan.
Sedekad selepas pemergian Dr Othman Puteh,
saya berharap dapat menyumbang ke arah mengisi lompang yang wujud tanpa mampu
diisi oleh mana-mana penulis mapan dan veteran.
Persatuan Penulis Sarawak (Penulis) sedang
membantu saya mengumpulkan karya penulis negeri itu, manakala Kathrina Tati
Sitaim mengumpulkan karya penulis di Sabah.
Bagi antologi cerpen terjemahan penulis
Tamil pula, sepuluh penulis muda berbakat sudah dikenal pasti. Kerja-kerja
mengumpulkan maklumat, manuskrip dan penilaian karya sedang dilakukan.
Sepuluh penulis muda Tamil dikenal pasti
Penulis terbabit ialah K Balamurugan, seorang guru yang menerima
anugerah “Karikaar Cholan” daripada Universiti Tanjai, India serta Anugerah Bakat Muda
Selangor daripada Kerajaan Negeri Selangor menerusi novel Nagarnthu
Kondirukkum Vaasalgal (2011). [BIODATA PENUH]
Muniisvaran
Kumar sedang menyiapkan
tesis kedoktoran dalam bidang linguistik di India sambil berkhidmat sebagai
pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. Beliau
sudah menghasilkan sekitar 30 cerpen serta menang pelbagai hadiah cerpen. [BIODATA PENUH]
K
Rajam Ranjini menamatkan
pengajian ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang Fizik di Universiti
Malaya (UM). Kini beliau berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS). Rajam pernah memenangi hadiah sastera anjuran
Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (2009). [BIODATA PENUH]
Siva
Perianan pernah memenangi hadiah dalam pertandingan cerpen anjuran
Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya (UM) dan Koperasi Kebangsaan
Permodalan Tanah Berhad (NLFCS). [BIODATA PENUH]
Mendiang B A Sivam pernah menulis dan
menerbitkan beberapa koleksi sajak seperti Unathu
Peyar Naan (2006) dan Pinnar
Apparavai Meendum Tirumpiyathu (2009). Karyanya menerima anugerah cerpen
terbaik daripada Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (2010). [BIODATA PENUH]
Uthayakumari
Krishnan sudah menghasilkan lebih
daripada 25 cerpen dan enam novel Tamil. Beliau menerima Anugerah Tan Sri Aathi
Naagappan (2007) dan Hadiah Cerpen Persatuan Tamil Manimandram (2010, 2012). [BIODATA PENUH]
Yogi adalah nama pena bagi Yogesvary Periasamy,
seorang wartawan dan penulis kreatif. Kumpulan esei Thudaikapadatha Ratha Karaikal (2012) adalah buku sulung
beliau yang menghimpunkan
pengalaman peribadi. [BIODATA PENUH]
Yuvarajan pula graduan bidang Fizik dari Universiti
Malaya (UM). Beliau pernah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan cerpen
anjuran Persatuan Bahasa Tamil UM serta pertandingan cerpen dan sajak anjuran
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). [BIODATA PENUH]
Ternyata kelompok
penulis muda Tamil ini menjanjikan karya bermutu yang wajar diterjemahkan ke
Bahasa Malaysia agar dapat turut dinikmati khalayak
pelbagai kaum di Malaysia.
Saya yakin bahawa karya-karya terjemahan
seperti ini juga akan mampu menyumbang ke arah mewujudkan persefahaman antara
kaum, selaras usaha melahirkan Bangsa Malaysia yang diimpikan.
[Makalah
ini ditulis pada 11 Oktober 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Oktober
2013. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my
untuk maklumat lanjut mengenai projek penerbitan antologi cerpen terjemahan. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]