4 Oct 2013

Antologi Cerpen Penulis Sabah, Sarawak dan Semenanjung



Pada 2013, saya (Uthaya Sankar SB) sudah menerbitkan kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (Mac 2013) dan novel Hanuman: Suara Hati (Oktober 2013) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
 
Sebaik selepas Hanuman muncul, saya segera memikirkan untuk menyelenggarakan, menerbitkan dan mengedarkan sebuah antologi yang secara khusus memuatkan cerpen-cerpen pengarang kelahiran Sabah dan Sarawak.
 
Sambutan yang diterima daripada rakan-rakan penulis di Sabah dan Sarawak amat menggalakkan. Malah, mereka tampil untuk memudahkan kerja-kerja saya dalam menyelenggarakan antologi yang dirancang.
 
Komen, pandangan dan cadangan ikhlas daripada rakan-rakan penulis juga amat dialu-alukan bagi menjayakan projek ini. Salah satu cadangan yang dikemukakan adalah supaya penulis di Semenanjung Malaysia tidak “dipinggirkan”.
 
Maka, untuk berlaku adil, saya memutuskan untuk turut membuka ruang dan peluang kepada rakan-rakan penulis pelbagai kaum di Semenanjung Malaysia untuk terlibat dalam antologi ini.
 
Antara tujuan penyelenggaraan antologi ini adalah sebagai mengenang sumbangan Allahyarham Dr Othman Puteh yang rajin menyelenggarakan antologi cerpen bagi memberikan peluang kepada penulis pelbagai kaum/etnik dari seluruh negara.
 
Maklumat ringkas berkaitan antologi yang sedang diusahakan adalah seperti berikut. Maklumat lebih terperinci akan dikirimkan kepada cerpenis (penulis cerpen) yang terpilih sahaja.
 
Jumlah penulis: 10 cerpenis Sarawak, 10 cerpenis Sabah dan 10 cerpenis Semenanjung Malaysia.
 
Jumlah cerpen: 30 buah sahaja. [Seorang penulis = sebuah cerpen]
 
Jumlah cetakan: 1,000 naskhah.
 
Tarikh tutup: 31 Oktober 2013. PENGESAHAN PENYERTAAN PERLU DILAKUKAN SELEWAT-LEWATNYA PADA 17 OKTOBER 2013.
  
Royalti penulis: 10% berdasarkan jumlah cetakan dan harga buku. Jumlah royalti ini akan dibahagikan sama rata antara 30 cerpenis terbabit. (Biasanya, penyelenggara dibayar royalti 5% manakala para penulis berkongsi royalti 5% tetapi bagi antologi ini, royalti 10% dikongsi oleh para penulis kerana penyelenggara adalah juga penerbit.)
  
Royalti akan dibayar dalam masa sekitar sebulan selepas antologi terbit.
  
Jumlah cetakan pertama adalah 1,000 naskhah. Setiap penulis akan menerima satu naskhah percuma. Buku-buku juga akan diedarkan secara percuma bagi tujuan publisiti/promosi/ulasan kepada wakil media. Tetapi semasa pengiraan royalti, jumlah bayaran masih dikira berdasarkan 1,000 naskhah.
  
Buku ini akan dijual pada harga yang sama di seluruh negara. (Bukan pada harga berbeza bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seperti lazim berlaku.)
  
Setiap cerpenis terbabit akan diberikan peluang membeli antologi berkenaan dengan diskaun 50% sekiranya pembelian dibuat sebelum tarikh buku terbit. Selepas buku terbit, cerpenis terbabit boleh membeli antologi berkenaan dengan diskaun 40% selagi stok masih ada. Harga diskaun ini tidak akan menjejaskan pengiraan royalti penulis (10% berdasarkan harga pasaran buku).
  
Jika ada ulang cetak, royalti 10% akan dibayar lagi berdasarkan jumlah cetakan. Jika ada ulang cetak, cerpenis terbabit boleh membeli antologi berkenaan dengan diskaun 40% selagi stok masih ada. Harga diskaun ini tidak akan menjejaskan pengiraan royalti penulis (10% berdasarkan harga pasaran buku).
  
Kos penyelenggaraan, penerbitan, publisiti, promosi, pemasaran dan pengedaran buku ditanggung oleh Uthaya Sankar SB (selaku penyelenggara, penerbit dan pengedar).
  
Secara ideal, saya mahu memilih 10 cerpen penulis Sarawak, 10 cerpen penulis Sabah dan 10 cerpen penulis Semenanjung Malaysia. (Hanya sebuah cerpen daripada setiap penulis.) Penulis terbabit perlulah individu kelahiran Sabah/Sarawak/Semenanjung Malaysia serta masih menetap di negeri kelahiran (Sabah/Sarawak/Semenanjung).
  
Cerpen-cerpen mestilah karya Bahasa Malaysia (mungkin ada dialek tempatan diselitkan mengikut kesesuaian cerita, dan disediakan daftar kata jika perlu). Cerpen-cerpen mestilah sudah pernah tersiar di akhbar atau majalah. Pada hujung manuskrip cerpen, nyatakan tarikh dan nama akhbar/majalah di mana cerpen berkenaan pernah disiarkan.
  
Harap maklum bahawa saya mahu lari daripada kelaziman cerpen “tentang orang Melayu-Islam sahaja, sudut pandangan orang Melayu-Islam sahaja, oleh penulis Melayu-Islam sahaja, untuk pembaca Melayu-Islam sahaja” kerana karya/buku seperti itu sudah melambak dalam pasaran.
  
Biarlah antologi ini nanti mampu membantu pembaca pelbagai kaum/etnik di Malaysia mengenali citra budaya masyarakat pelbagai etnik/kaum/budaya/agama di Sabah,  Sarawak dan Semenanjung.
  
Bagi para penulis di Sarawak, sila berhubung terus dengan Persatuan Penulis Sarawak (PENULIS) melalui e-mel penulissarawak@gmail.com atau talian 017-2520634. (Terima kasih kepada PENULIS yang menawarkan diri untuk membantu memudahkan urusan mengenal pasti penulis dari Sarawak.)
  
Bagi para penulis di Sabah, sila berhubung terus dengan Kathrina Tati Sitaim (Kathy) melalui e-mel ssitaim@yahoo.com atau talian 017-8646383. (Terima kasih kepada Kak Kathy yang menawarkan diri untuk membantu memudahkan urusan mengenal pasti penulis dari Sabah.)
  
Bagi para penulis di Semenanjung Malaysia, sila berhubung terus dengan saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 016-3288142. Kiriman SMS akan dibaca tetapi tidak akan dibalas.
   
Setiap penulis juga diminta mengirimkan biodata diri (satu perenggan sahaja) serta foto terkini kepada PENULIS atau Kathrina atau saya semasa mengirimkan manuskrip. Jika mahu mendapatkan contoh format biodata yang standard bagi tujuan antologi ini, SILA KLIK DI SINI.
  
Penglibatan para penulis dalam projek penerbitan antologi ini adalah atas kerelaan sendiri. Dokumen/surat rasmi akan disediakan bagi setiap urusan untuk memastikan hak penulis dilindungi sepenuhnya.
  
Untuk sebarang pertanyaan, sila kirim e-mel ke uthayasb@yahoo.com.my [jangan tertinggal .my] atau kirim mesej menerusi www.facebook.com/uthaya. SMS akan dibaca tetapi tidak dibalas.
  
Tarikh tutup: 31 Oktober 2013. PENGESAHAN PENYERTAAN WAJIB DILAKUKAN SELEWAT-LEWATNYA PADA 17 OKTOBER 2013. PENYERTAAN LEWAT TIDAK AKAN DILAYAN. Manuskrip, biodata dan foto perlu dikirim secara lampiran dan sampai kepada saya menerusi e-mel selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2013; 5:00 petang [Waktu Kavyan]. Bagi penulis di Sarawak, sila kirim kepada PENULIS. Bagi penulis di Sabah, sila kirim kepada Kathrina.
  

Jaminan: Penerbitan antologi ini bukan bertujuan mengaut keuntungan. Uthaya Sankar SB terlibat secara langsung sebagai aktivis yang memperjuangkan hak royalti penulis. Maka, tentulah para cerpenis yang terlibat dalam antologi ini akan dijamin menerima royalti yang berpatutan tanpa sebarang bentuk manipulasi atau penindasan. Dokumen rasmi berkaitan penerbitan antologi ini akan dikirim kepada setiap penulis selepas cerpen lulus untuk dimuatkan dalam antologi.