Dalam pada orang ramai sibuk memberi tumpuan
serta bercakap mengenai politik dan politikus, golongan penulis usah dilupakan.
Memanglah dunia politik sangat
“menghiburkan” (dan selalu menjadi sumber inspirasi bagi banyak cerpen saya)
serta politikus pula umpama sekumpulan badut dengan aksi yang melucukan. Saya
menggelarkan mereka sebagai “Badut Paul Lathic” sempena presiden
pertama Pulau Cinta.
Pada masa sama, hakikat yang boleh
dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa ada juga golongan yang
menggelarkan diri mereka sebagai “penulis” semata-mata untuk menyembunyikan
realiti bahawa mereka sebenarnya “pengampu”, “penjilat” dan “juak-juak” kepada
politikus.
Apabila bercakap mengenai golongan penulis
secara umum pula, bukan hanya “Penulis Melayu” mendapat habuan hebat daripada
Kerajaan Bar1san Nas1onal (BN) yang prihatin;
khususnya menerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).
Menurut laporan Bernama (29 April 2013), Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk
Seri Najib Razak sudah mengumumkan sumbangan RM450,000 kepada Persatuan
Penulis-penulis Tamil Malaysia dengan harapan bahawa golongan “Penulis Tamil” akan menghasilkan
karya-karya bermutu.
Apa yang dimaksudkan oleh Najib dengan
frasa “karya-karya bermutu” adalah amat subjektif. Pada 19 Julai 2012, Ketua
Satu Gapena, Abdul Latif Abu Bakar dilaporkan berkata, “Hal-hal berkaitan
sastera dan penulisan, kita (Gapena) tiada masalah dengan kerajaan. Kita anggap
apa-apa yang kerajaan buat semuanya betul, ikut saluran.”
Namun, tentulah tidak adil – malah umpama
menghina martabat dan intelekualiti golongan penulis karya sastera – jika
definisi “karya-karya bermutu” diserahkan kepada kerajaan semata-mata.
Sepatutnya, golongan penulis (sasterawan dan pemikir) menjadi sumber maklumat (input) kepada kerajaan; bukan menjadi
sumber propaganda (output) bagi
kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin sendiri pasti bersetuju dengan saya apabila saya nyatakan bahawa
golongan penulis telah memainkan peranan amat penting dalam proses pembinaan
negara bangsa.
Malah, seperti dilaporkan oleh Bernama (15 April 2013), Muhyiddin
mengakui bahawa “golongan penulis di negara kita perlu terus dibela supaya
mereka dapat menyumbang secara lebih bermakna terhadap usaha membina sebuah
masyarakat yang maju, berilmu dan bersatu padu.”
Golongan penulis yang diharapkan tentulah
bukan “pak turut”, “pengampu”, “pembodek”, “juak-juak”, “penjilat” dan
seumpamanya kerana golongan “penulis” seperti itu sudah ramai dan tidak sukar
untuk mengenal pasti siapakah mereka.
Sumbangan RM450,000 jadi RM100,000
Berbalik kepada sumbangan RM450,000 kepada
“Penulis Tamil” seperti diumumkan Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) serta dilaporkan oleh Bernama dan beberapa media arus perdana pada 29 April 2013 dengan
memetik kata-kata presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P
Rajendran.
“Golongan penulis Tamil perlu terus dibela
supaya mereka dapat menyumbang secara lebih bermakna terhadap usaha membina
sebuah masyarakat yang maju, berilmu dan bersatu padu,” katanya sambil memuji
keprihatinan Najib.
Untuk rekod, saya bukan “Penulis Tamil” dan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang saya terajui bersama-sama sekumpulan
rakan-rakan juga bukan “Persatuan Penulis Tamil”. Bagaimanapun, kami meraikan
kepelbagaian bahasa, kaum, budaya dan agama; sekali gus berbangga dengan berita
“durian runtuh” yang bakal diterima “Penulis Tamil”. [Baca
juga – What Tamil Writers? dan Speaking in Tongues: The Kavyan Writers.]
Pada 26 Mei 2013, menyedari hakikat “Melayu
mudah lupa” (memetik kata-kata keramat Mahathir Mohamad),
saya mengingatkan menerusi paparan pada ruangan status Facebook: “Presiden Makkal Sakti, RS Thanenthiran dilaporkan
berkata, satu lagi majlis akan diadakan untuk menghargai 25 penulis Tamil di
Malaysia sebaik sahaja PRU-13 berakhir.”
Beberapa jam kemudian, keluar pula berita
di Bernama dan Presiden MIC, G
Palanivel dilaporkan berkata, Najib bersetuju memberikan peruntukan berjumlah
RM100,000 kepada Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia.
Sumbangan RM450,000 dijanjikan oleh BN
sebelum PRU-13 tetapi nampaknya hanya peruntukan RM100,000 dipersetujui selepas
PRU-13. Dalam kedua-dua keadaan, kata kunci adalah “akan” iaitu tidak diketahui
bilakah janji-janji manis itu bakal dilaksanakan. Hanya masa mampu menentukan
sama ada ia menjadi “janji ditepati” atau “janji dicapati”.
Mungkin ada golongan “Penulis Melayu” dan
“Persatuan Penulis Melayu” yang tertanya-tanya (bukanlah pula “mempertikaikan”)
mengapa “Penulis Tamil” dijanjikan sumbangan seperti itu. Alasan yang lazim
diberikan adalah bahawa karya Bahasa Tamil hanya boleh dibaca “orang Tamil”
serta tidak selaras dengan Dasar Bahasa/Budaya Kebangsaan.
Sekadar makluman, Kavyan berusaha membantu
dalam kerja-kerja menterjemahkan cerpen karya “Penulis Tamil” untuk disiarkan
dalam majalah-majalah seperti Dewan
Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya dapat dinikmati
khalayak pelbagai kaum. [Baca juga Seruling di Persimpangan]
Akan tetapi, sebaik sahaja cerpen
terjemahan pertama tersiar, sudah ada “bantahan” daripada puak tertentu.
Kononnya mana-mana karya penulis kaum India tempatan pasti ada unsur
penyebaran agama Hindu! Untuk rekod, puak yang
membuat kenyataan seperti itu bukanlah pencuci tandas dan penurap jalan, tetapi
tokoh penulis yang diraikan dan menang pelbagai anugerah.
Bidang penulisan karya kreatif Bahasa Tamil
di Malaysia bermula dengan novel “Karunakaran
Allathu Katalin Matchi” (Karunakaran atau Kesucian Cinta) pada 1917,
manakala antologi cerpen pertama muncul pada 1930.
Maklumat terperinci berhubung perkembangan cerpen Tamil di Malaysia boleh
dibaca dalam buku Cerpen Tamil dan Melayu
(1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (1993) tulisan Krishanan
Maniam.
Janji ditepati atau janji dicapati?
Menurut laporan Bernama (29 April 2013), terdapat sekurang-kurangnya seribu
“Penulis Tamil” sepenuh masa di Malaysia. Selain daripada itu, ribuan lagi
didapati menulis “cerpen, novel, puisi, sajak, pantun, penulisan drama dan
skrip dan lain-lain lagi” secara sambilan dari semasa ke semasa.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
1,500 orang menjadi ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia seperti
dinyatakan oleh setiausaha persatuan itu, A Gunanathan (Bernama, 26 Mei 2013). Maka, tentulah soal kebajikan “Penulis
Tamil” tidak boleh diabaikan.
Mengenai peruntukan RM100,000 yang
diumumkan oleh Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas
PRU-13 – berbanding sumbangan RM450,000 yang dinyatakan oleh Rajendran sebelum
PRU-13 – persatuan terbabit “hanya menunggu peruntukan tersebut mendapat
kelulusan”.
Maka, golongan “Penulis Tamil” dan
Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang menyambut jubli emas pada tahun
ini [2013] tidak boleh melonjak kegembiraan atau menari beramai-ramai seperti
dalam filem Tamil/Hindi atau “menghitung anak ayam sebelum telur menetas”
(peribahasa Inggeris).
Palanivel sudah mengesahkan bahawa
peruntukan itu (asalnya RM450,000 tetapi kemudian menjadi RM100,000 selepas
PRU-13) belum mendapat kelulusan walaupun sudah diumumkan semasa kempen PRU-13
dan sudah dipropagandakan menerusi Bernama
dan Berita Harian pada 29 April 2013.
Bekas penyelaras kebangsaan gerakan
Hindraf, Thanenthiran menyifatkan Najib sebagai “satu-satunya perdana menteri
Malaysia yang melancarkan buku Tamil penulis tempatan” dengan merujuk kepada
majlis anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) di Universiti Malaya pada
November 2012.
Puji-pujian itu tidaklah menghairankan
kerana MMSP ditubuhkan pada 11 Mei 2009 (tarikh ulang tahun bagi UMNO asal) dan
dilancarkan oleh Najib pada 10 Oktober 2009 di Taman Pameran Pertanian
Malaysia, Serdang.
Bernama (29 April 2013) turut melaporkan bahawa Najib telah meminta
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) “membantu penerbitan lebih banyak
karya Tamil supaya khazanah budaya dan kesusasteraan Tamil dipelihara untuk
generasi akan datang” sambil mengakui bahawa “masyarakat India tidak terkecuali
dalam usaha untuk memelihara warisan dan budaya mereka.”
Apa-apa pun, semoga “Penulis Tamil” tidak perlu menunggu
sehingga PRU-14 sebelum “berita” – atau “cerita” – mengenai sumbangan dan
peruntukan khas ini muncul kembali menghiasi halaman akhbar-akhbar arus
perdana.
Jika “janji dicapati”, golongan “Penulis
Tamil” mungkin tidak akan merayu-rayu kepada MIC. Sebaliknya mungkin akan mengadu
terus kepada presiden Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P Waythamoorthy
yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
[Makalah ini ditulis pada 27 Mei 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 28 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]