29 Jan 2012

Kembara Bahasa Melayu di China

Semasa berkunjung ke Beijing, China pada 12-21 Julai 2011 atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd, saya tidak melepaskan peluang bertemu pelajar dan pengajar di Pusat Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Cuma, saya tidak berpeluang bertemu Profesor Dr Awang Sariyan yang masih menyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU pada waktu itu.


Bagaimanapun, saya dan “Kembara Bahasa” (nama beliau di Facebook) saling berkomunikasi sebelum dan selepas itu berhubung pelbagai perkara, khususnya berkaitan aktiviti bahasa dan sastera.


Beliau yang juga penasihat Persatuan Linguistik Malaysia menyampaikan ceramah di Bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1 Disember 2011.


Saya amat tertarik meneliti kertas kerja beliau bertajuk “Perkembangan Pengajian Melayu di China dalam Konteks Hubungan Ketamadunan”.


Sebagaimana dikatakan oleh beliau sejak awal, persefahaman antara tamadun sedunia tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar kesan alamiah interaksi antara satu tamadun dengan tamadun yang lain.


“Pelbagai kelainan yang wujud dalam tamadun-tamadun sedunia, baik pada sisi sistem nilainya, pemikiran, pandangan sarwa, amalan dan yang lain-lain tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk memperlebar jurang ketamadunan manusiawi atau juga untuk mewajarkan krisis ketamadunan yang sampai pula berlangsung dalam bentuk pertempuran ketenteraan atau penjajahan,” katanya.



Itulah antara pendirian dan pemikiran Dr Awang Sariyan yang amat saya kagumi. Walaupun beliau kagum, bangga dan berpegang teguh pada bahasa Melayu dan budaya Melayu, beliau tidak bersikap “ethnocentric”.

Saya percaya bahawa pengalaman beliau berinteraksi dengan masyarakat dan tokoh-tokoh seluruh dunia membantu beliau untuk menyedari bahawa bahasa Melayu tidak hanya berpusat (baca: terkongkong) di Malaysia.


Malah, apabila memperkatakan mengenai perkembangan pengajian bahasa Melayu di China, kita perlu akur bahawa tumpuan kita tidak hanya pada Bahasa Malaysia. Sebaliknya meliputi bahasa Melayu di nusantara; khasnya Bahasa Indonesia.


Hasil penelitian terhadap kertas kerja Dr Awang Sariyan, saya mendapat maklumat lebih mendalam mengenai sejarah interaksi bangsa Melayu di nusantara dengan tamadun China.


“Dalam hubungannya dengan interaksi tamadun Melayu-China, Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan Kesultanan Melaka pada abad ke-15,” kata tokoh itu yang menghasilkan buku Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (2009).


Beliau turut menyentuh mengenai teks seperti Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian (Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu (Rekod Tetamu Negara), Deng Tan Bi Jiu (Catatan Hal Ehwal Kerajaan) serta tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Cheng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu.


Profesor Liang Liji, seorang sarjana dan pengkaji bahasa Melayu-Indonesia dari Universiti Peking, dalam buku Hubungan Empayar Melaka – Dinasti Ming Abad Ke-15 (1996) antara lain menyebut bahawa hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 Masehi) dan Empayar Sriwijaya (abad ke-7).


Semua ini adalah maklumat, fakta dan sejarah yang mungkin tidak akan berpeluang dipelajari dan diketahui generasi muda; memandangkan ketirisan yang sedang berleluasa dalam sistem pendidikan negara.


Pada penelitian Dr Awang Sariyan, hubungan dengan tamadun China turut membuka ruang dan peluang meluaskan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca di nusantara pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.


“Jika dalam zaman Sriwijaya memang ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno, maka dalam dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu bukan sahaja dipelajari oleh para pendeta agama, malahan menjadi bahasa yang dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain, khususnya pedagang.


“Yang lebih penting daripada itu ialah adanya ‘perhatian diraja’ pada pihak Dinasti Ming apabila menubuhkan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan dalam hubungan luar,” tokoh bahasa itu menghuraikan dengan gembira.


Dr Awang Sariyan menerusi kertas kerjanya turut menceritakan mengenai kamus berjudul Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Melaka) yang dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melayu Melaka (1403-1511).


“Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum,” katanya.


Dalam konteks sejarah moden, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada 1974.


Seperti dinyatakan Dr Awang Sariyan, hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi (khususnya perdagangan dua hala), beransur-ansur melebar dalam bidang pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.


“Hubungan itu pada hakikatnya merupakan formaliti yang bersifat kenegaraan, sedang sejak tahun 1946, Bahasa Indonesia sudah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan,” beliau mengakui.


Apabila bercakap mengenai bahasa Melayu di China, kita perlu sedar bahawa pengajian Bahasa Indonesia menjadi fokus di Universiti Peking; malah menjadi salah satu bahasa asing yang diajar di BFSU mulai 1961.


Pada tahun 1961 juga, BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu versi Tanah Melayu (kini Malaysia) dengan Profesor Wu Zong Yu menjadi perintis.


“Pada tahun 1998, bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing yang kini dikenali sebagai Universiti Komunikasi China.


“Pada permulaan tahun akademik 2008-2009, Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan Bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ,” Dr Awang Sariyan menjelaskan.


Amat membanggakan bahawa hingga kini, terdapat tujuh universiti di China yang menawarkan program bahasa/pengajian Melayu; sama ada varian Indonesia atau Malaysia.


Mengenai Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Dr Awang Sariyan menceritakan bahawa jawatan ilmiah kehormat itu diperkenalkan kerajaan Malaysia dengan kerjasama pemerintah Republik Rakyat China sebagai pengiktirafan kepada peranan BFSU dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di China sejak 1961.


“Kota Beijing merupakan tempat keempat yang memiliki Kursi Ilmiah dengan kerjasama kerajaan Malaysia; sesudah Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda dan Victoria University di New Zealand.


“Gagasan penubuhannya dicetuskan pada 1996 dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran BFSU bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” penulis buku Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2006) menjelaskan.


Malah, Dr Awang Sariyan menjadi penyandang pertama kursi itu apabila diperkenalkan pada 2008.


Hasil pengalaman, penelitian dan kajiannya, tokoh bahasa itu menyarankan beberapa pelan tindakan yang wajar dilakukan segera dalam konteks hubungan bahasa antara Malaysia dan China.


Katanya, sejarah hubungan antara kedua-dua negara sejak dahulu hingga kini dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah perlu didokumentasikan.


Dr Awang Sariyan turut menyarankan agar sumber-sumber yang ada dalam tradisi istana dinasti-dinasti China dikumpulkan, diterjemahkan dan dibuat anotasi agar mendapat gambaran tuntas tentang sumber-sumber yang dapat dijadikan asas analisis.


Kajian sosiolinguistik dalam konteks penyebaran bahasa Melayu di China juga dilihat sebagai penting oleh tokoh bahasa itu.


“Yang paling menarik dan penting disegerakan ialah kajian bahasa dalam kalangan komuniti Cina yang lahir di alam Melayu, majoritinya di Indonesia, yang pindah atau lebih tepat pulang ke tanah lelulur mereka pada tahun 1950-an dan 1960-an, di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan Beijing.


“Khabarnya mereka masih menggunakan bahasa Melayu varian Indonesia dan masih mengamalkan corak kehidupan alam Melayu dari segi makanan, busana, kesenian dan lain-lain,” kata Dr Awang Sariyan yang melakukan “kembara bahasa” ke pelbagai tempat di China sepanjang bertugas di BFSU.


Soalnya, siapa yang akan menggerakkan segala usaha penting ini? Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa kerana kesedaran harus datang dari dalam diri. Biarlah paparan ini menjadi pencetus dan pemangkin ke arah itu.


(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 4 Januari 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 9 Januari 2012.)