Langkah ini secara langsung dan tidak langsung membuka ruang serta peluang kepada penduduk di seluruh negara berkenaan membaca kandungan karya dari seluruh dunia dalam bahasa rasmi negara tersebut.
Tentu sahaja tidak adil dan tidak wajar untuk membandingkan keadaan ini dengan realiti di Malaysia; walaupun Oktober diiktiraf Bulan Bahasa Kebangsaan.
Berbalik pada situasi di Indonesia, suatu lagi hakikat yang menarik dan wajar diberi perhatian adalah bahawa karya-karya yang ditulis dalam Bahasa Indonesia turut diterjemah ke bahasa-bahasa lain, khususnya Bahasa Inggeris.
Dalam hal ini, saya tidak hanya bercakap mengenai karya-karya Pramoedya Ananta Toer, Putu Wijaya dan beberapa penulis vateran yang terkenal pada peringkat antarabangsa.
Novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris dan beberapa bahasa lain. Novel Negeri 5 Menara karya A. Fuadi yang dilancarkan pada 6 Oktober 2011 sempena Ubud Writers & Readers Festival (UWRF) juga sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris.
Sebuah lagi buku yang menarik minat saya adalah antologi Nandurin Karang Awak - Cultivate the Land Within yang mengumpulkan prosa dan puisi karya 17 pengarang Indonesia yang menyertai UWRF.
Majlis pelancaran dan pembacaan teks daripada antologi berkenaan berlangsung pada 9 Oktober lalu di Warung Pulau Kelapa, Jalan Raya Sanggingan, Ubud, Bali.
Selesai acara, saya berpeluang berbual bersama-sama Toni Pollard, seorang wanita Australia yang merupakan bekas guru Bahasa Indonesia dan kini menjadi perunding serta penterjemah bebas.
Katanya, ini tahun keempat beliau terlibat dalam membantu kerja-kerja menterjemah karya Bahasa Indonesia ke Bahasa Inggeris bagi antologi khas sempena UWRF.
“Saya bangga dapat memberi sumbangan ke arah memperkenalkan hasil karya penulis Indonesia kepada khalayak lebih besar,” katanya.
Suatu perkara yang menarik perhatian saya adalah bahawa Toni tidak melakukan terjemahan secara langsung. Sebaliknya beliau menggunakan teknik tertentu yang saya percaya wajar juga dipelajari dan dipraktikkan di Malaysia.
“Saya akan membaca seluruh cerpen dan kemudian menulis terjemahannya menggunakan tulisan tangan. Semasa menaipnya kemudian, saya kemaskan lenggok bahasa supaya sesuai dengan gaya penulisan karya Bahasa Inggeris.
“Selepas membaca dan menyunting beberapa kali, saya akan serahkan manuskrip Bahasa Inggeris sahaja kepada orang lain untuk perhatikan sama ada mereka boleh membaca dan menghayati keindahan kandungan karya itu,” wanita berkenaan menceritakan.
Sering kali Toni selaku penterjemah berpengalaman perlu membuat beberapa keputusan penting, khususnya berhubung perkataan-perkataan dalam bahasa tempatan serta istilah tertentu yang menggambarkan budaya setempat.
“Ada kalanya saya mengubah judul karya supaya sesuai dengan versi terjemahan dan khalayak pembaca karya Bahasa Inggeris. Ramai juga penterjemah yang selalu meletakkan nota kaki untuk menerangkan perkataan, istilah atau frasa dalam bahasa tempatan.
“Saya ingin menasihatkan penterjemah supaya menggunakan terus istilah Bahasa Inggeris kerana nota kaki dan glosari mengganggu proses penghayataan sebuah karya sastera,” Toni memberi panduan.
Saya yakin pada panduan dan saranan yang diberikan oleh wanita berkenaan kerana beliau berpengalaman sebagai guru Bahasa Indonesia selama 44 tahun di beberapa sekolah menengah di Australia.
Toni juga menjadi pensyarah selama 12 tahun di University of Western Sydney, sebelum bersara enam tahun lalu. Sejak itu, beliau menjadi penterjemah profesional.
Satu lagi sikap terpuji Toni adalah bahawa beliau menjadi tenaga sukarelawan bagi menjayakan UWRF dan penterjemah karya bagi antologi Cultivate the Land Within.
Antara karya dalam antologi itu yang diterjemah oleh Toni adalah “Weddings of Defiance” iaitu petikan novel Nika Baronta karya Alan Malingi dan “Hongkong” iaitu petikan novel Sebongkah Tanah Retak karya Rida Fitria.
Toni turut menterjemah “Surat Berdarah untuk Presiden” tulisan Jaladara sebagai “A Blood Stained Letter to the President” dan petikan novel Rumah Debu karya Sandi Firly iaitu “The Long Night”.
Cerpen “Lali Panggora” karya Saut Poltak Tambunan pula diterjemahkannya menjadi “The Hawk That Heralds Death” kerana bagi Toni, judul dalam versi Bahasa Inggeris perlu sesuai dan menepati kandungan cerita.
UWRF kali ini disertai sekitar 130 penulis dari 27 negara dan hampir 170 acara berlangsung di 57 lokasi. Walaupun khalayak yang menghadiri majlis pelancaran dan pembacaan teks Cultivate the Land Within tidak ramai, penerbitan buku itu amat bermakna.
Tambahan pula, pengasas UWRF, Janet De Neefe berkata, antologi dwibahasa berjudul Reasons for Harmony (2008), Compassion and Solidarity (2009), Harmony in Diversity (2010) dan Cultivate the Land Within (2011) terbitan Yayasan Mudra Swari Saraswati dengan kerjasama HiVOS dihantar ke pelbagai universiti, pusat penulisan dan perpustakaan di Indonesia dan seluruh dunia.
“Saya amat suka melakukan kerja-kerja terjemahan kerana memang mencabar untuk ‘mencipta’ semula sebuah karya seni atau sastera seorang pengarang ke dalam bentuk lain atau bahasa lain untuk dihayati khalayak dengan latar budaya yang lain,” kata Toni yang tinggal di Paddington, New South Wales.
Tentu sahaja amat menarik untuk mendengar penjelasan Toni bahawa karya yang diterjemah ke Bahasa Inggeris (atau mana-mana bahasa lain) perlu mampu berdiri sendiri.
Maknanya, pembaca perlu berupaya membaca, memahami dan menghayati karya berkenaan tanpa perlu membaca atau memahami karya dalam bahasa asal.
Sebagai pembaca tegar karya-karya sastera yang diterjemah ke Bahasa Inggeris daripada bahasa-bahasa utama dunia, saya amat bersetuju dengan pandangan dan pendirian Toni dalam hal ini.
Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa Toni (dan saya) “membunuh” keaslian karya asal kerana menyokong usaha terjemahan “konteks” cerita berbanding terjemahan “perkataan demi perkataan”.
Dalam hal ini, saya ingin melihat secara khusus pada pengarang yang karya mereka dimuatkan dalam antologi Cultivate the Land Within. Saya berpeluang bertemu mereka serta mendengar mereka berkongsi pengalaman menerusi beberapa sesi diskusi.
Rata-rata mereka bukan menutur dan pembaca karya Bahasa Inggeris. Mujurlah mereka memahami bahawa apabila karya yang mereka tulis dalam Bahasa Indonesia diterjemah ke Bahasa Inggeris, aspek “pemahaman” khalayak perlu diambil kira.
Kita perlu faham bahawa khalayak yang membaca karya dalam versi terjemahan itu mungkin tidak tahu Bahasa Indonesia dan mungkin tidak tahu adat, budaya dan latar masyarakat di Indonesia.
Maka, Toni bukan setakat “menterjemah” karya-karya itu supaya sesuai bagi khalayak pada peringkat antarabangsa. Sebaliknya, beliau “menyesuaikan” dan “mengadaptasikan” karya berkenaan supaya mampu dibaca, difahami dan dihayati masyarakat di seluruh pelosok dunia.
“Saya tidak bermaksud hendak ‘membunuh’ karya itu. Sebaliknya saya berusaha membantu khalayak umum memahami kehebatan karya dan budaya Indonesia,” katanya dengan penuh bersemangat.
Betapa baik jika semangat yang sama dapat dikongsi pelbagai pihak (individu dan organisasi) di Malaysia dalam usaha menterjemah karya Bahasa Tamil dan Mandarin ke Bahasa Malaysia; serta karya ketiga-tiga bahasa itu ke Bahasa Inggeris.
Saya yakin bahawa semangat “Nandurin Karang Awak” UWRF yang dipetik daripada sebuah gaguritan (puisi tradisional) karya sasterawan terkenal Bali, Ida Pedanda Made Sidemen, boleh turut memberi inspirasi kepada penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Selamat menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan! Om shanti shanti shanti.
(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 Oktober 2011.)