[Usaha Sekolah Menengah
Tsun Jin, Kuala Lumpur menganjurkan anugerah kesusasteraan wajar dipuji. ]
Baru-baru ini, saya diberi kepercayaan
menilai karya para pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur bagi
“Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin”.
Kategori penulisan cerpen yang
diperkenalkan pada 2009 secara langsung membantu usaha mencapai objektif
memupuk minat dan mencungkil bakat penulisan karya kreatif dalam kalangan
pelajar; meningkatkan kemahiran pelajar mencetuskan buah fikiran yang bernas
melalui penulisan dalam Bahasa Malaysia yang baik dan bermutu;
serta menggalakkan pelajar menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul, bermutu
dan berkesan dalam penulisan.
Secara umum, para pelajar yang mengambil
bahagian – khususnya dalam kategori penulisan cerpen – berjaya membuktikan
bahawa asas pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah
Menengah Kebangsaan Cina (SMKC) tidak menjadi alasan atau penghalang bagi
pelajar terbabit mencintai, menguasai dan seterusnya berkarya menggunakan
Bahasa Malaysia.
Ucapan tahniah wajar diberikan kepada
Panitia Bahasa Malaysia, para guru dan pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala
Lumpur yang sama-sama terlibat dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia
seperti yang digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Malah, seperti yang kita sedia maklum,
mulai tahun 2014, kurikulum mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC dan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan diselaraskan dengan Sekolah Kebangsaan (SK).
Saya percaya bahawa Anugerah Kesusasteraan
Tsun Jin akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Karya-karya asli dan
bermutu yang terhasil menerusi pertandingan ini wajar disalurkan ke
majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media
Karangkraf supaya kehebatan para pelajar ini diketahui umum; selain daripada
dibukukan untuk edaran terhad.
Pada majlis penyampaian anugerah di sekolah
berkenaan pada 31 Oktober 2012, saya turut berkongsi beberapa pandangan, komen,
ulasan dan kritikan umum yang boleh dijadikan panduan oleh para pelajar apabila
mengambil bahagian dalam pertandingan penulisan ini pada masa hadapan. Tentu
sahaja saya amat berharap bahawa peserta yang mengambil bahagian akan terus
mengembangkan bakat penulisan dengan mengambil kira beberapa ulasan yang saya
berikan.
Bagi sebuah cerpen, beberapa perenggan awal atau introduction
adalah amat penting. Saya selalu membandingkannya dengan memancing ikan. Jika
umpan yang digunakan tidak menarik, lupakanlah niat mahu menarik perhatian ikan
untuk memakan umpan itu. Begitu juga dengan perenggan awal cerpen; jika tidak
menarik, maka pembaca (dan penilai atau editor) akan hilang minat untuk
meneruskan pembacaan. Formula yang sama juga sebenarnya boleh digunakan dalam
penulisan karangan bagi tujuan peperiksaan.
Bakat adalah anugerah Tuhan
Apabila menulis karya menggunakan Bahasa
Malaysia, elakkan mencampur-adukkan bahasa-bahasa lain. Saya perhatikan
kehadiran dialog-dialog dan penggunaan frasa Bahasa Inggeris dalam beberapa
cerpen yang dinilai. Memandangkan cerpen ditulis menggunakan Bahasa Malaysia,
maka perlulah dikurangkan bahasa-bahasa lain. Bagaimanapun, frasa bahasa-bahasa
lain boleh dimasukkan dengan bijak dan berkesan mengikut kesesuaian untuk
meningkatkan mutu karya.
Suatu perkara yang kurang diajar di sekolah
adalah teknik penggunaan dialog dalam penulisan karangan. “Dialog” harus
dibezakan dengan “perbualan”. Dalam sebuah cerpen, setiap dialog harus ada
kesan terhadap cerita. Teknik dan cara menulis atau memaparkan dialog juga
adalah suatu seni dalam penulisan. Kebanyakan pelajar yang mengambil bahagian
dalam pertandingan kali ini berusaha menulis dialog dan usaha ini wajar dipuji.
Sekiranya dilakukan sedikit penyuntingan, karya-karya ini akan menjadi lebih
hebat dan lebih menarik untuk dibaca.
Sesungguhnya bakat penulisan adalah suatu anugerah
Tuhan. Sebagaimana tidak semua orang boleh menyanyi atau bermain alat muzik,
tidak semua orang boleh menulis; khususnya karya kreatif seperti cerpen. Walau
bagaimanapun, Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur berjaya membuktikan
bahawa terdapat ramai pelajar yang memiliki minat, bakat, gaya dan kreativiti
yang sangat menonjol untuk menjadi penulis yang berjaya dalam masa terdekat.
Tentu sahaja asuhan dan latihan yang
berterusan perlu diadakan bagi memastikan bakat mereka tidak hilang begitu sahaja.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
sedia bekerjasama dengan Panitia Bahasa Malaysia bagi merealisasikan impian
itu.
Apabila saya membaca manuskrip cerpen-cerpen yang diserahkan
kepada saya oleh Panitia Bahasa Malaysia, saya mengandaikan bahawa kesemua
karya adalah asli dan tidak ada sebarang unsur peniruan atau ciplak. Hal ini
wajar diberi perhatian kerana untuk menjadi penulis yang berjaya, kita mestilah
mengamalkan etika dan integriti yang tinggi. Sekali kita didapati menciplak,
meniru atau mencuri karya orang lain, maka selama-lamanya orang tidak akan
mempercayai kita.
Satu lagi perkara yang saya perhatikan
dalam cerpen-cerpen yang dinilai adalah hakikat bahawa para pelajar ketara
mengangkat watak, kisah, budaya dan permasalahan dalam keluarga kaum Melayu.
Sebenarnya, memang ramai penulis yang
beranggapan bahawa apabila sebuah karya ditulis dalam Bahasa Malaysia atau
bahasa Melayu, maka watak-watak mestilah orang Melayu. Tanggapan ini perlu
diubah kerana Bahasa Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia. Bahasa
kebangsaan ini wajar digunakan untuk mengangkat dan mengungkapkan kisah masyarakat pelbagai kaum
dalam karya.
Ada beberapa peserta yang menampilkan watak
kaum Cina. Bagaimanapun, “Cina” mereka hanya pada nama tanpa ada sokongan
budaya dan keunikan yang sebenarnya mampu menjadikan cerpen tidak sekadar
bercerita, tetapi turut menjadi rakaman budaya masyarakat.
Bercakap mengenai cerita, sebuah cerpen
(atau “cerita pendek”) bukan sekadar bercerita. Sebaliknya perlu ada suatu
kisah, kejadian dan persoalan penting yang mahu disampaikan kepada pembaca.
Dalam hal ini, ada beberapa cerpen yang hanya merupakan karangan biasa berupa
catatan harian – bermula dengan bangun pagi hingga tidur semula pada sebelah
malam. Namun, saya percaya bahawa dengan sedikit bimbingan dan bengkel
penulisan, kesemua pelajar yang mengambil bahagian dalam Anugerah Kesusasteraan
Tsun Jin (Kategori Cerpen) akan mampu menghasilkan karya bermutu.
Kesantunan berbahasa
Berbalik pada aspek penguasaan bahasa, ia
termasuk juga kesantunan berbahasa dan tanda baca. Agak mengecewakan bahawa
rata-rata peserta belum menguasai sepenuhnya aspek penggunaan tanda baca
seperti koma, noktah, tanda kutip dan huruf kecil/besar. Kita perlu sedar serta
akur bahawa kesilapan penggunaan tanda baca boleh mengubah keseluruhan makna
atau maksud cerita yang mahu disampaikan.
Dari segi kesantunan berbahasa, saya agak
risau membaca dialog antara anak dan ibu bapa yang menggunakan kata ganti diri
“aku”, “you”, “kau”, “kamu” dan
“awak”. Pada masa sama, ramai juga pelajar yang masih tidak dapat membezakan
antara kata ganti “kami” dan “kita”. Ramai pula yang tidak konsisten dalam
penggunaan “saya/aku” dan “awak/kamu”. Aspek bahasa seperti ini mungkin
kelihatan kecil tetapi amat penting diberi perhatian sebagai usaha
memartabatkan Bahasa Malaysia; apatah lagi jika mahu menjadi penulis yang
berjaya.
Para peserta ternyata memanfaatkan
peribahasa, simpulan bahasa dan perumpamaan yang dipelajari dalam mata
pelajaran Bahasa Malaysia di kelas untuk menjadikan cerpen mereka lebih
menarik. Usaha ini wajar dipuji, sekali gus menjadi bukti bahawa aspek
pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kelas tidak hanya terhenti di situ.
Malah, ramai pelajar yang mengangkat kisah
dalam kelas dan sekolah sebagai bahan cerita untuk disajikan dalam cerpen. Hal
ini adalah wajar kerana mana-mana penulis kreatif yang berjaya adalah penulis
yang menulis mengenai kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya.
Lihat sahaja karya-karya hebat Sasterawan
Negara Datuk A. Samad Said dan Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, misalnya. Mereka tidak
memaksa diri menulis sesuatu yang berada di luar sempadan pengalaman mereka.
Kisah di sekeliling masyarakat mereka ditulis dalam bentuk sajak, cerpen, novel
dan drama yang berjaya.
Dalam Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin 2012,
terdapat juga peserta “bukan kaum Cina” yang mengambil bahagian, khususnya
dalam kategori cerpen. Agak menarik untuk diperhatikan bagaimana seorang remaja
Melayu, misalnya, yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina, menguasai
Bahasa Mandarin dan sudah serasi dengan budaya masyarakat Cina, tampil menulis
cerpen Bahasa Malaysia. Inilah antara keunikan dan keistimewaan yang mungkin
hanya terdapat di negara Malaysia. Kita mampu meraikan kepelbagaian dengan
perasaan harmoni. Keunikan itu pula mampu kita sajikan secara penuh kreatif
menerusi cerpen.
Secara langsung dan tidak langsung, Panitia
Bahasa Malaysia, para guru dan pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur
berjaya membuktikan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik bersama Bangsa
Malaysia. Semoga Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin dapat diadakan setiap tahun
dalam usaha memberi nilai tambah kepada para pelajar yang merupakan pemimpin
masa depan negara tercinta.
(Makalah
ini ditulis pada 3 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 November 2012.
© Uthaya Sankar SB 2012)