[Perbualan bersama-sama Sasterawan Negara ini membantu sekumpulan
belia menimba pelbagai ilmu.]
Dua bulan sekali, saya biasanya bertemu Sasterawan
Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) di
Bangsar Utama untuk berbincang mengenai perkembangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Pelbagai topik lain (“hal dunia dan akhirat”) juga biasa saya bualkan
bersama-sama Penasihat Agung Kavyan itu.
Dalam pertemuan pada 24 September 2012,
beberapa rakan – wartawan, penulis, peminat sastera – turut serta. Maka,
perbualan kami tidak hanya tertumpu pada soal-soal berkaitan Kavyan. Seperti
biasa, Pak Samad tidak keberatan menerima kami yang hadir untuk minum,
berbual-bual dan secara tidak langsung menimba ilmu daripada beliau. Datin
Rashidah hadir sama berkongsi kisah.
Berita gembira pertama yang dikongsikan
adalah bahawa manuskrip novel Salina
sudah selesai dibaca dan disunting kemas oleh Pak Samad. Maka, Helmy Samad akan
segera menangani urusan mencetak novel ini supaya terbit sebelum 14 Oktober 2012.
Saya pula tidak melepaskan peluang mendapatkan dua novel kanak-kanak Pak Samad
terbitan terbaru, iaitu Jalan Retak
dan Antara Kabus ke Kabus.
Bercakap mengenai dunia penulisan, Pak
Samad memberitahu kami bahawa beliau tidak lagi percaya bahawa menulis mengenai
ketidakadilan sudah memadai. Sebaliknya, golongan penulis dan sasterawan perlu
melakukannya dalam kehidupan seharian – iaitu tampil menentang sebarang bentuk
ketidakadilan.
Kami yang hadir dalam kumpulan kecil
sekitar sepuluh orang itu pasti sahaja terasa amat teruja dan rasa bertuah
kerana berpeluang “berguru” secara langsung daripada seorang tokoh sasterawan
yang sangat disegani. Apatah lagi, Pak Samad adalah individu yang berani
bersuara menentang sebarang bentuk penindasan, ketidakadilan dan kezaliman yang
dilakukan oleh mana-mana pihak.
Menjawab pertanyaan susulan oleh salah
seorang yang hadir, Pak Samad mengakui bahawa memang ada sasterawan yang tidak
berani bersuara menentang pelbagai bentuk ketidakadilan yang nyata di depan
mata. Beliau kecewa dengan tindakan seperti itu tetapi mengakui tidak boleh
berbuat apa-apa kerana sepatutnya golongan sasterawan itu sendiri yang membuka
mata dan hati.
Sesi perbualan kami – Janji d’Panchayat –
adalah secara santai, ikhlas dan terbuka. Masing-masing berkongsi pandangan
serta bertanya soalan mengenai pelbagai perkara yang bermain dalam minda.
Tambahan pula, bukan selalu dapat berkumpul beramai-ramai sambil minum teh dan
berbual bersama-sama Pak Samad.
Antara yang hadir pada kali ini ialah
Shahrul Nizam, Mohd Rijal, Helmy Samad, Arafat Hambali, Jimadie Shah, Rahmat
Haron, Zul Fikri Zamir dan Bissme.
Pak
turut
Salah seorang yang hadir meminta pandangan Pak
Samad mengenai persatuan-persatuan penulis yang pada pandangannya kelihatan
lebih seperti menjadi “pak turut” kepada pihak berkuasa. Mengulas perkara itu,
Pak Samad yang menerima Anugerah Sasterawan Tamu Selangor melahirkan rasa
kecewa dan sedih.
“Nampaknya ada persatuan-persatuan penulis
yang kini jadi editor sahaja. Sepatutnya persatuan penulis menjadi medan
penulis berkata benar. Sepatutnya perjuangkan nasib penulis yang teraniaya,”
katanya tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana pertubuhan penulis.
Pak Samad juga berpendapat bahawa persatuan
penulis seharusnya menggunakan platform yang ada untuk menerangkan kepada para
penulis mengenai hak cipta, hak penerbitan, royalti, honorarium dan segala
perkara yang menjadi hak penulis tetapi sering dimanipulasi pihak
berkepentingan; misalnya penerbit.
Tentu sahaja saya dan Kavyan bersetuju
dengan pandangan Pak Samad dalam hal ini berdasarkan pengalaman kami terlibat
secara langsung dalam isu beberapa penulis yang menjadi mangsa royalti teks
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) sejak 2011.
Sekiranya laporan di pelbagai media serta
komen di ruang siber dijadikan rujukan, tidak kurang juga yang marah pada
segala tindakan Sasterawan Negara ini yang berani bersuara demi kebenaran dan
hak rakyat. Ada kelompok yang mempersoalkan mengapa Pak Samad mahu terlibat sama
dalam perkara-perkara yang kelihatan – atau dilihat – seperti menafikan
kedudukan beliau sebagai seorang Melayu.
“Bapak kini dikatakan tidak cukup Melayu
kerana terlibat bersama-sama Datuk Ambiga dan ramai lagi rakyat yang membuat
tuntutan yang wajar. Bapak mengaku bahawa, ya, saya kini mungkin tidak cukup Melayu
kerana saya nak jadi rakyat Malaysia,” katanya dengan sinis dan penuh makna
tersirat.
Mengulas lebih lanjut, Pak Samad mengakui
bahawa ada kawan-kawan beliau yang marah atas keberanian dan kelantangan beliau
bersuara mewakili seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Perkara ini
paling nyata menerusi penglibatan secara langsung dalam Bersih 2.0 di mana Pak Samad menjadi
pengerusi bersama.
Dalam hal seperti ini, Pak Samad berkata,
beliau tidak kisah jika ada rakan-rakan yang mahu marah atau memilih untuk
tidak bercakap dengannya. Namun, jika individu terbabit jatuh sakit, Pak Samad
tetap memperuntukkan masa untuk menziarah mereka.
“Apabila seseorang jatuh sakit, mungkin dia
akan ada lebih banyak masa untuk berfikir sama ada sesuatu tindakan itu benar
atau salah,” katanya.
Pak Samad juga sentiasa bersikap terbuka
dan bersedia menerima kunjungan sesiapa sahaja untuk berkongsi pandangan secara
berhemah. Pada setiap hari Selasa dan Khamis, umum mengetahui bahawa beliau
akan berada di Masjid Negara, Kuala Lumpur dari waktu Asar hingga Maghrib.
Maka, sesiapa sahaja yang mahu bertemu beliau untuk berdialog atau berkongsi
idea boleh pergi ke sana.
“Golongan penulis
jangan sampai boleh dibeli. Penulis perlu pertahankan maruah,” kata beliau lagi
sebagai memberi nasihat kepada kami yang berkumpul untuk menimba ilmu yang
sangat berguna sambil minum di sebuah restoran India di Bangsar Utama.
Sasterawan terpenting
Pak Samad lahir di Melaka pada 9 April 1935. Beliau seniman sepenuh
masa dan telah menulis lebih tiga puluh buku; antaranya Salina (novel), Di
Mana Bulan Selalu Retak (drama), Ke Mana Terbang Si Burung Senja
(novel), Sungai Mengalir Lesu (novel), Di Hadapan Pulau (novel), Langit
Petang (novel), Wira Bukit (drama), Hujan Pagi (novel), Lantai
T. Pinkie (drama), Antara Bulan dan Wira (esei), Hati Muda Bulan
Muda (cerpen), al-Amin (puisi), Adik Datang (novel) dan Suara
Dari Dinding Dewan (puisi).
Sebagai seorang seniman, sasterawan,
negarawan, pemikir, pejuang bahasa dan anggota masyarakat, beliau sentiasa
bersikap terbuka dalam berkongsi pandangan, kritikan, keresahan, kebimbangan
dan harapan terhadap pelbagai perkara/isu semasa.
Beliau penerima Anugerah Pejuang Sastera
(1976), Anugerah Penulis Asia Tenggara (1979) dan Anugerah Sastera Negara
(1985). Pak Samad adalah Sasterawan Negara yang juga digelar “Sasterawan
Rakyat” dan tidak pernah sunyi daripada pelbagai polemik, isu dan kontroversi. Beliau
pernah melancarkan “Mogok Seni” pada 1990 dan “Mogok Sastera” pada 2000.
Tindakan beliau mungkin dilihat oleh pihak
tertentu sebagai merugikan diri sendiri. Namun, bagi Pak Samad, mogok yang
dilakukannya adalah untuk “membuka mata orang” terhadap pelbagai isu yang
berlaku dalam dunia penulisan dan penerbitan tempatan.
Tindakan berani Pak Samad masih berbaloi
kerana bukan perhitungan wang yang menjadi ukuran, tetapi hati nurani. Maka
tidak hairanlah beliau menjadi sasterawan terpenting di Malaysia pada masa
kini.
(Makalah
ini ditulis pada 6 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 8 Oktober 2012.
© Uthaya Sankar SB 2012.)