Nampaknya pendedahan yang saya lakukan
menerusi makalah bertajuk “Awak sebar agama Hindu melalui cerpen”
(The Malaysian Insider, 1 Oktober
2012) mendapat perhatian ramai.
Tambahan pula, isu yang ditimbulkan bukan
mengenai suatu kes terpencil tetapi menggambarkan kebimbangan terhadap apa yang
mungkin berlaku sekiranya golongan penulis terus memilih untuk berdiam diri
setiap kali karya mereka ditolak atas alasan-alasan yang tidak berasas.
“Janganlah nak jadi hero.” Demikian komen
seorang rakan yang membuatkan saya terkejut. Tentu sahaja tidak timbul soal
saya mahu menjadi wira (hero) dalam
soal ini.
Apabila saya meminta penjelasan, rakan itu
tertawa dan menerangkan bahawa dia sekadar memetik pandangan yang dikemukakan
oleh Ketua Satu Gapena, Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sewaktu mengulas isu
pemerintah mengharamkan beberapa karya penulis tempatan, khususnya karya Faisal
Tehrani, beberapa bulan lalu.
“Hal-hal berkaitan sastera dan penulisan,
kita tiada masalah dengan kerajaan. Kita anggap apa-apa yang kerajaan buat
semuanya betul, ikut saluran,” katanya dalam suatu wawancara yang disiarkan di
portal berita dalam talian, Malaysiakini,
pada 19 Julai 2012. [BACA DI SINI]
Tentu sahaja saya tidak mahu masuk campur
dalam pendirian, resolusi dan pandangan Gapena. Apa pun, petikan kata-kata itu
secara tidak langsung menyedarkan saya, betapa golongan penulis di negara ini
sebenarnya terbiar sendirian untuk memperjuangkan hak dan maruah diri. Isu
beberapa penulis teks Komsas yang dinafikan hak royalti
sejak 2011 turut membuktikan hakikat pedih ini.
Berbalik pula pada isu sebuah cerpen saya
diterima untuk siaran oleh ketua editor dan editor sebuah majalah tetapi
kemudian tiba-tiba dibatalkan oleh editor kanan dan penolong editor dengan
alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu”.
“Awak juga ada banyak kes dengan DBP dan
saya mendapat tahu bahawa semasa Puan Padilah Haji Ali menjadi ketua editor
dulu, mereka memang boikot tak siar karya awak di mana-mana majalah DBP. Jadi,
majalah kami pun kena berhati-hati. Kami diminta lebih berhati-hati dengan
nama-nama yang ada masalah seperti awak dan Faisal Tehrani. Saya tak nak ada
masalah nanti. Saya rasa cerpen awak tak boleh disiarkan dan salah dari segi
Akta Penerbitan.”
Demikian saya memetik hujah si penolong
editor terbabit. Harap maklum bahawa “tuduhan” si penolong editor itu adalah
tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Sepanjang Padilah menjadi ketua
editor, karya saya tetap tersiar di majalah-majalah DBP. Terkini di Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar (Jun 2012). Malah, banyak
juga karya disiarkan pada tahun-tahun sebelumnya; walaupun saya dikatakan “ada banyak kes dengan DBP”.
Pada 4 Oktober lalu, kebetulan saya ke
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk bertemu Dr Awang Sariyan secara rasmi, mewakili
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan),
untuk mengucapkan tahniah kepada beliau atas lantikan sebagai Ketua Pengarah
DBP. Saya turut menyampaikan buku Travelog Beijing (2012) sebagai
menghargai bantuan beliau mengatur pertemuan saya dan dua rakan penulis bersama
kakitangan Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada Julai 2011.
Pada kesempatan itu, saya turut berpeluang
bertemu beberapa pegawai DBP yang ternyata sudah membaca pendedahan saya
menerusi makalah pada minggu lalu. Mereka melahirkan kebimbangan yang saya akui
memang amat berasas; iaitu nama Padilah dan DBP disebut secara terang-terangan
dalam makalah berkenaan.
“Apa yang Uthaya tulis adalah berdasarkan
tuduhan yang dilemparkan oleh penolong editor sebuah majalah. Tapi kami bimbang
kalau-kalau para pembaca di luar sana mempercayai kata-kata itu sebagai benar.
Bimbang timbul persepsi salah terhadap DBP dan bahagian majalah,” kata salah
seorang daripada mereka.
Sesungguhnya saya amat menghargai teguran
berkenaan. Tidak mustahil bahawa ada segelintir pembaca yang membaca makalah
saya secara sepintas lalu dan membuat andaian bahawa tuduhan yang dilemparkan
si penolong editor sebuah majalah itu mengenai Padilah dan DBP adalah benar.
Untuk rekod, tuduhan itu adalah fitnah
semata-mata. Malah, sebaik sahaja mendapat maklumat pada 21 September 2012
mengenai “alasan” yang dikemukakan untuk menolak cerpen saya, saya menghubungi
Padilah melalui telefon bimbit. Beliau mengesahkan tidak pernah mengeluarkan
apa-apa arahan seperti itu sepanjang beliau menjadi ketua editor di Bahagian
Majalah DBP.
Saya juga menerima e-mel daripada seorang
rakan (bekas editor sebuah majalah) yang mengambil berat mengenai isu yang
timbul. Beliau ternyata tidak mahu sesiapa “di luar sana” memanipulasi keadaan
yang timbul untuk kepentingan peribadi.
“Lebih baiklah kita tidak menyebut atau menambah
burukkan keadaan. Lebih baiklah kita tidak menyalahkan atau menyebut kesalahan
sesiapa pun. ... Juga mengelakkan tuduhan yang bukan-bukan dan menimbulkan
kemarahan orang ramai kerana isu tentang kaum dan agama sangat sensitif dalam
kalangan rakyat Malaysia. Nasihat ini sebagai peringatan kepada Uthaya dan
untuk diri saya juga. Memang bagus kita menegakkan kebenaran tetapi janganlah
sampai mengaibkan orang atau memburukkan orang.
“Kita boleh tegur dengan cara yang baik dan
carilah penyelesaian yang lebih bijaksana. Jika semua orang sudah menyampah dan
selalu menyumpah-nyumpah kita atas tindakan kita sendiri, hidup kita tidak akan
senang atau tenang sampai bila-bila pun. Dengan menyatakan keburukan orang
untuk menyelesaikan masalah atau untuk menyatakan sesuatu isu adalah tidak
betul, ingat lagi hukum karma? Saya sangat mengambil
berat tentang hal ini.”
Agak menarik bahawa walaupun beliau seorang
individu beragama Islam, bekas editor berkenaan tahu mengenai konsep “karma”
dalam agama Hindu dan Buddha. Pandangan, cadangan dan teguran yang dikemukakan
oleh rakan yang saya segani dan hormati itu juga amat bernas dan sangat wajar
diberi perhatian.
Menyedari hakikat itulah juga saya tidak –
dan tidak akan – mendedahkan kepada umum nama majalah, nama penerbit atau nama
penolong editor terbabit. Hal ini kerana isu yang saya timbulkan adalah
mengenai tindakan seorang individu menolak manuskrip cerpen dengan alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu”;
bukan melibatkan keseluruhan sidang editorial majalah dan syarikat penerbitan
berkenaan.
Pada masa sama, ada rakan-rakan yang
terbaca makalah “Awak sebar agama Hindu melalui cerpen”
pada minggu lalu mula bertanya, apakah saya ada bukti. Mereka bimbang
kemungkinan saya menulis sesuatu yang tidak benar, menabur fitnah atau membuat
tuduhan yang menyentuh soal kaum dan agama. Malah boleh dianggap menghasut
tanpa fakta sehingga menimbulkan kemarahan orang, selain mungkin mencetuskan
rasa tidak puas hati pihak tertentu.
Jawapan saya adalah mudah: Kalau kail panjang sejengkal, masakan
lautan hendak kuduga. Kalau tiada bukti dan akal, masakan saya berani bersuara.
(Makalah
ini ditulis pada 6 Oktober 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 Oktober
2012. © Uthaya Sankar SB 2012.)