12 Oct 2012

“Awak sebar agama Hindu melalui cerpen”

Mahatma Gandhi pernah menegaskan bahawa “even if you are a minority of one, the truth is the truth”. Maknanya kebenaran tetap kebenaran walaupun kumpulan minoriti itu hanya terdiri daripada seorang individu.
 
Kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinga berikutan suatu kejadian terbaru di mana sebuah cerpen saya ditolak dengan alasan bahawa karya sastera itu “ada unsur penyebaran agama Hindu”.
 
Apabila mendapat berita itu daripada penolong editor majalah terbabit, saya boleh sahaja berdiam diri dan mengirim manuskrip cerpen yang sama ke media lain untuk diterbitkan.
 
Akan tetapi, sekiranya saya berdiam diri, tidak mustahil bahawa “kejayaan” yang dicapai oleh penolong editor itu akan dijadikan penanda aras (benchmark) untuk seterusnya menzalimi, menindas, berlaku tidak adil dan menidakkan hak para penulis lain yang mengangkat tema budaya kaum India menerusi karya sastera pada masa hadapan.
 
“Kalau awak hantar cerpen ni ke surat khabar atau majalah India mungkin boleh disiarkan tapi kalau majalah ini, saya rasa cerpen awak agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. Saya dah tanya editor kanan dan dia pun kata tak boleh nak siar cerpen ini sebab awak cuba sebar agama Hindu secara halus menerusi cerpen-cerpen awak.”
 
Demikian antara intipati alasan yang diberikan untuk membatalkan penyiaran cerpen berkenaan. Sebelum ini, manuskrip saya sudah dibaca, dinilai dan diluluskan oleh editor dan ketua editor serta sepatutnya disiarkan dalam majalah keluaran November 2012. Namun, tiba-tiba sahaja penolong editor tampil sebagai wirawati dengan keputusan baharu.
 
“Awak juga ada banyak kes dengan DBP dan saya mendapat tahu bahawa semasa Puan Padilah Haji Ali menjadi ketua editor dulu, mereka memang boikot tak siar karya awak di mana-mana majalah DBP. Jadi, majalah kami pun kena berhati-hati. Kami diminta lebih berhati-hati dengan nama-nama yang ada masalah seperti awak dan Faisal Tehrani. Saya tak nak ada masalah nanti. Saya rasa cerpen awak tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta Penerbitan.”
 
[Harap maklum bahawa “tuduhan” si penolong editor itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Sepanjang Puan Padilah menjadi ketua editor, karya saya tetap tersiar di majalah-majalah DBP. Terkini di Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar (Jun 2012).]
 
Demikian penolong editor berkenaan berusaha menegakkan benang yang basah. Memandangkan alasan utama yang diberikan adalah bahawa karya saya “ada unsur penyebaran agama Hindu”, saya cuba bertanya kepada beberapa rakan beragama Islam yang sudah biasa membaca karya-karya saya. Apakah cerpen-cerpen saya menyebarkan agama Hindu?
 
Hazama Harun @ Aida Shahira, seorang penulis dan editor mengatakan bahawa meskipun karya-karya saya membicarakan hal-hal berkaitan agama Hindu dan budaya masyarakat India, tiada apa-apa unsur yang melampau sehingga mengancam akidahnya sebagai seorang Muslim.
 
“Bahkan, saya lebih faham serba sedikit tentang budaya hidup kaum India, seterusnya menghargai kepelbagaian adat-resam di negara kita. Tidaklah wajar membuat andaian secara semborono mengatakan membaca karya-karya sedemikian akan menjejaskan akidah. Kita perlu membaca dan mendalami ilmu untuk menambah kefahaman,” kata penulis novel Bukan Duniaku yang dijadikan teks Komsas pelajar Tingkatan 1 di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.
 
Hazama juga tidak ada masalah menonton filem-filem klasik Tamil yang menampilkan kisah sejarah silam India dan mitos Hindu. Malah beliau juga dahulu gemar menonton cerita kartun di RTM tentang pengembaraan Seri Rama dan kisah cintanya dengan Sita Dewi.
 
“Banyak sekali unsur-unsur Hindu di dalamnya tetapi tidak pula menjadi masalah. Mengenai cerpen Uthaya, sebagai pembaca dewasa dengan akal yang matang, sudah semestinya khalayak beragama Islam boleh berfikir sendiri. Tak perlu paranoid. Jika masih takut-takut dan terkurung di bawah tempurung, bagaimana kita mahu orang lain memahami kita; budaya dan kehidupan kita? Bagi saya, membacalah dengan fikiran dan hati yang terbuka tanpa prejudis,” beliau menegaskan.
 
Bagi seorang lagi rakan pelukis yang hanya mahu dikenali dengan nama Post Script (nama di Facebook), “Kalau ada pun unsur-unsur agama Hindu, apa salahnya? Kalau orang Melayu-Islam menganggap bahasa kebangsaan hanya untuk mereka, maka selama-lamanyalah bahasa kita akan ketinggalan.”
 
Nur Hidayah dari Kota Bharu, Kelantan juga tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa karya-karya saya ada unsur penyebaran agama Hindu seperti didakwa penolong editor sebuah majalah.
 
“Sebenarnya, apa yang berlaku adalah saya dapat belajar tentang budaya dan cara hidup masyarakat India di negara ini. Saya sebagai seorang pembaca amat berterima kasih kepada penulis yang berkongsi pengalaman budaya kaum dan agamanya menerusi karya sastera,” katanya.
 
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang berpeluang membaca manuskrip asal cerpen tersebut pada 24 September 2012 tidak menemui apa yang disifatkan sebagai “unsur penyebaran agama Hindu”. Beliau tidak menolak kemungkinan ada “alasan lain” mengapa cerpen saya ditolak.
 
Sementara itu, novelis dari Tanah Merah, Kelantan, Annur Puteri membeli beberapa kumpulan cerpen dan novel saya untuk turut dibaca oleh anak-anaknya.
 
“Sepanjang membaca keenam-enam buku itu, saya sama sekali tidak menemui sebarang unsur penyebaran agama Hindu seperti didakwa. Sebaliknya banyak unsur kemurnian yang sebelum ini dilaungkan oleh kerajaan sudah diterapkan dalam karya-karya ini,” katanya sambil merujuk pada unsur persefahaman antara kaum berciri “1Malaysia” yang ditemui dalam cerpen-cerpen saya sejak tahun 1992.
 
Pada penelitian penulis sepenuh masa itu, watak-watak pelbagai kaum yang hadir dalam karya-karya saya diperlihatkan sebagai suatu masyarakat yang mampu hidup secara harmoni.
 
“Tidak tahulah pula saya sekiranya ada dakwah tersirat di situ apabila watak kaum India dipaparkan mempunyai hubungan persaudaraan yang cukup baik dengan watak kaum Melayu, seperti dalam cerpen ‘Anugerah Tertinggi’. Bukankah suasana di Malayaia amat menuntut perpaduan kaum yang sebegini?
 
“Unsur penyebaran agama Hindu juga tiada dalam karya-karya Uthaya walaupun ada menyebut nama dewa-dewa dan menampilkan beberapa watak seperti Rama dan Krishna dalam cerpen. Saya yakin bahawa menyebut nama dewa dalam karya tidak bermakna berlaku penyebaran agama Hindu,” beliau menghuraikan.
 
Menyedari hakikat itulah juga Annur Puteri tidak teragak-agak membenarkan – malah menggalakkan – anak-anaknya membaca hasil tulisan saya.
 
“Saya dalam keadaan waras sepenuhnya memberi keizinan penuh kepada anak saya yang baru berumur sepuluh tahun untuk menghayati karya-karya Uthaya dengan harapan anak saya mampu belajar mengenai budaya dan agama lain agar anak saya mengerti dan tahu menghormati kebudayaan dan agama orang lain,” katanya dengan penuh yakin.
 
Mengulas lanjut, novelis itu berkata, “sekiranya ada unsur penyebaran agama Hindu dalam karya-karya Uthaya, tentulah saya sebagai seorang ibu beragama Islam tidak akan membenarkan anak berumur sepuluh tahun, yang masih mentah dan lemah dari segi kekuatan akidahnya, menghayati karya-karya itu.”
 
Kesemua cerpen saya tersiar di akhbar dan majalah arus perdana – khususnya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Media Karangkraf dan Mingguan Malaysia – sebelum diterbitkan dalam bentuk kumpulan cerpen. Maka, agak menghairankan apabila seorang penolong editor yang berpengalaman tiba-tiba tampil menyerlahkan kejahilan diri dan kelemahan akidahnya selepas membaca manuskrip cerpen saya.

[Maklumat cerpen itu - baca di sini]
 
Saya boleh sahaja melupakan majalah berkenaan (Dewan Sastera) dan menghantar manuskrip saya ke tempat lain. Bagaimanapun, tindakan saya “berdiam diri dan akur” pada dakwaan bahawa cerpen saya “ada unsur penyebaran agama Hindu” mungkin akan menggalakkan penolong editor itu terus menzalimi dan menindas lebih ramai penulis kaum India yang cuba menampilkan budaya kaum India menerusi karya.
 
Seperti kata mendiang Mahatma Gandhi, “tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran” dan “jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini”.
 
[Makalah ini ditulis pada 26 September 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012.]