[Apa yang dilakukan penolong editor sebuah majalah mungkin
menjadi titik permulaan karya penulis kaum India dipinggirkan.]
Apabila seseorang menyertai pertandingan
menulis cerpen, misalnya, pasti ada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Lazimnya, dinyatakan secara jelas bahawa cerita yang ditulis tidak boleh
menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama.
Hal ini adalah amat wajar memandangkan
negara bertuah ini sesungguhnya milik rakyat pelbagai kaum, agama, etnik,
kepercayaan dan adat-resam. Seorang penulis yang beretika tidak akan menulis
karya yang jelas mempersenda atau menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain.
Setiap kali saya mengendalikan bengkel
penulisan cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan),
saya sentiasa menekankan aspek ini; khususnya apabila penulis menghasilkan
karya Bahasa Malaysia yang boleh dibaca khalayak
pelbagai kaum di seluruh negara.
Nasihat yang sama juga saya berikan apabila
mengendalikan bengkel penulisan makalah; misalnya anjuran Bahagian Pengembangan
Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Mei 2012.
Saya tidak mahu mana-mana peserta bengkel anjuran Kavyan terlupa atau khilaf
terhadap aspek sensitiviti kaum dan agama dalam berkarya.
Apabila saya sendiri menulis cerpen, novel
dan makalah, saya juga selalu beringat, berhati-hati dan sentiasa memastikan
bahawa perkara-perkara yang saya sentuh dalam karya tidak pula menyentuh
sensitiviti kaum dan agama. Apatah lagi apabila setiap tulisan saya ditujukan
kepada khalayak pelbagai kaum, etnik dan agama di seluruh negara (termasuk
Semenanjung Malaysia).
Pada masa sama, saya sering mengangkat
tema, persoalan, citra dan pengalaman hidup kaum India beragama Hindu dalam
karya-karya saya; khususnya cerpen. Sesiapa yang berpeluang membaca karya-karya saya sejak 1992 pasti
menyedari dan mengakui hakikat ini.
Bagaimanapun, pada 21 September 2012, saya
mendapat berita bahawa sebuah cerpen saya ditolak dengan alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” di
dalamnya. Cerpen itu dikirim pada akhir Mei lalu kepada majalah
berwibawa Dewan Sastera yang sudah beberapa kali menyiarkan cerpen saya. Cerpen terbaru itu
dinilai dan diluluskan oleh ketua editor dan editor majalah berkenaan dengan
sedikit suntingan.
Salah
dari segi Akta Penerbitan
Cerpen berkenaan sudah diluluskan untuk
siaran pada November 2012. Bagaimanapun, penolong editor pula tiba-tiba membuat
keputusan menolak cerpen berkenaan dengan alasan “tidak boleh disiarkan dan
salah dari segi Akta Penerbitan”.
Tentulah saya terpinga-pinga sebentar
dengan alasan yang diberikannya. Malah, katanya, dia sudah merujuk kepada
editor kanan yang turut bersetuju dengan alasan “cerpen-cerpen Uthaya sebar
agama Hindu secara halus”.
Sesungguhnya, cerpen itu tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama.
Sebaliknya ia menggabungkan unsur budaya, keluarga, mitos dan pengajaran
(moral) yang disajikan secara tersirat menggunakan teknik “to suggest” (mencadangkan). Gaya bahasa yang digunakan adalah
bahasa mudah, sesuai dengan sudut penceritaan watak seorang kanak-kanak.
Bagaimanapun, cerpen itu untuk bacaan orang dewasa.
Lalu, saya menghubungi beberapa rakan
beragama Islam yang pernah membaca karya-karya saya dan bertanya adakah mereka
bersetuju dengan pandangan bahawa “karya Uthaya ada unsur penyebaran agama Hindu”.
Lebih daripada itu, apakah akidah mereka pernah tergugat apabila membaca
karya-karya saya.
Nik
Faridah, seorang pendidik yang sudah beberapa kali
mengikuti bengkel anjuran Kavyan serta biasa membaca karya-karya saya berkata, “Tidak
sama sekali saya merasakan akidah saya tergugat. Saya juga tidak merasakan ada
unsur penyebaran agama Hindu dalam karya-karya tuan.”
Pandangan yang sama dikongsi pakar motivasi
dan penulis buku Dulu Pencuci Kini Pengurus, Mohd Rafi Jalaluddin. “Tidak sama sekali.
Karya saudara mengembangkan gagasan betapa pentingnya semua kaum hidup
bersatu-padu. Tidak ada apa-apa kaitan dengan masalah agama,” kata beliau yang
baru-baru ini selesai membaca novel Panchayat: Edisi Khas.
Penulis sepenuh masa, Annur Puteri dari Tanah Merah, Kelantan
juga baru-baru ini membeli beberapa judul buku saya (novel dan cerpen) untuk
dibaca bersama anak-anak. Beliau turut terkejut apabila diberitahu mengenai
tuduhan bahawa saya cuba menyebarkan agama Hindu menerusi karya.
Tidak
perlu cepat melatah
“Sekiranya pemaparan budaya kaum India dan
agama Hindu dikatakan amat berleluasa dalam karya-karya saudara sehingga ada
provokasi pihak tertentu supaya karya-karya saudara diboikot dan diharamkan,
saya suka mencadangkan supaya filem-filem Tamil dan Hindi yang ditayangkan di
televisyen juga dihentikan. Saya katakan begitu secara sinis kerana filem-filem
itu jelas memaparkan visual tentang agama Hindu dan kebudayaan kaum India,”
katanya bagi menegaskan betapa tidak bijak tindakan penolong editor terbabit.
Beliau juga bimbang kalau akan ada pula
pihak yang tampil membuat cadangan supaya perayaan Deepavali dan Thaipusam dihentikan dalam usaha
“menjamin akidah umat Islam di negara ini”.
“Kelompok atau individu yang beria-ia mahu
memboikot atau tidak mahu menyiarkan karya Uthaya tidak perlu cepat melatah
hanya kerana perkara kecil. Kenapa perlu ‘menyalak’ apabila ada unsur agama
Hindu dalam beberapa karya tetapi hanya berdiam diri apabila Uthaya memaparkan dakwah
Islam dengan baik dalam beberapa cerpen seperti ‘Aku dan Anak Itu’? Pembaca
kaum India beragama Hindu tidak pula melenting apabila Uthaya mengangkat tema
Islam dalam karya,” katanya.
Annur Puteri juga berharap pihak berkenaan
yang kelihatan berhasrat mahu memboikot karya saya meneliti terlebih dahulu apa
yang patut dan tidak patut dilakukan sebelum membuat tuduhan “menyebarkan agama Hindu”.
“Janganlah sampai orang Melayu-Islam
kelihatan terlalu lemah akidah sehinggakan pendedahan yang sedikit pada budaya
India dan agama Hindu dilihat sebagai sudah mampu menggugat keimanan,” katanya.
Pengarah urusan Kasih D’zie Enterprise yang
menggunakan nama Bintang D’Zie di laman rangkaian sosial
Facebook turut terkejut apabila
mendapat tahu mengenai tindakan penolong editor itu yang menggunakan alasan
“cerpen itu cuba menyebarkan agama Hindu” untuk membatalkan penyiaran karya
berkenaan.
“Saya kurang setuju jika ada pihak yang
mengatakan karya-karya cikgu ada unsur-unsur penyebaran agama Hindu. Bagi saya,
ia lebih kepada pengenalan mengenai budaya India dan agama Hindu kepada
masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Secara peribadi, saya tidak
merasakan kepercayaan saya terhadap agama Islam tergugat walau sedikit setelah
membaca karya-karya cikgu. Sebaliknya, karya-karya itu mendidik saya menjadi
insan yang lebih baik,” katanya.
Suka baca karya unsur Hindu
Mengenai dakwaan/alasan bahawa “ada unsur penyebaran agama Hindu” pada
karya saya, penulis yang diminati ramai, Saharil
Hasrin Sanin berpendapat bahawa perkataan “penyebaran” perlu dipotong
daripada ayat itu.
“Antara sebab paling utama saya memilih
untuk membaca karya Uthaya adalah kerana memang terdapat unsur-unsur Hindu di
dalamnya. Unsur-unsur itu menjadikan karyanya kaya dan unik. Saya tidak pula
merasakannya sebagai penyebaran agama Hindu. Malah, akidah saya tidak pun
tergugat apabila membacanya,” katanya dengan selamba apabila diminta memberikan
pandangan.
Penulis dan wartawan, Jimadie Shah Othman turut bersetuju
bahawa memang ada unsur Hindu dalam karya-karya saya. Malah, beberapa karya
saya yang dibacanya sarat dengan kebudayaan India dan agama Hindu.
“Soal sama ada ia dikira sebagai
‘menyebarkan agama Hindu’ saya tidak pasti. Ia tertakluk pada penafsiran
undang-undang yang mengharamkan penyebaran agama-agama lain kepada orang Islam
di negara ini. Bagaimanapun, untuk mengatakan karya-karya Uthaya boleh menggugat
akidah umat Islam, saya tidak setuju,” katanya.
Menghuraikan lebih lanjut, Jimadie berkata:
“Bagi mereka yang melayan karya sastera sekadar sebagai karya sastera dan
rakaman kebudayaan, karya Uthaya tak mengganggu iman. Dalam era masyarakat
terbuka, umat Islam mesti lebih canggih menghadapi kepelbagaian pandangan.
Tahap keimanan umat Islam jangan diremehkan. Umat Islam tak akan senang-senang
menjual akidahnya dengan membaca sebuah cerpen.”
[Maklumat cerpen itu - baca di sini]
Betapa baik jika penolong editor itu yang
berfikiran tertutup – malah mungkin memiliki iman/akidah yang rendah – mampu
membuka sedikit mindanya; selain menguatkan keimanan dan akidah, serta tidak
meninggalkan solat lima waktu.
Pasti dia tidak akan tergamak mengeluarkan
kenyataan bahawa cerpen saya mengandungi unsur penyebaran agama Hindu; suatu
kenyataan yang sesungguhnya menghina tahap keimanan dan akidah pembaca beragama
Islam di negara ini.
[Makalah ini ditulis pada 25 September 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 1 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012.]