Apabila menulis biodata, resume atau CV, pada umumnya orang ramai akan memilih untuk menyatakan perkara
yang baik-baik serta kejayaan yang membanggakan sahaja.
Hal yang amat berbeza dilakukan oleh
penulis buku Dulu Pencuci Kini Pengurus,
Mohd Rafi Jalaluddin apabila beliau tanpa segan mengakui bahawa beliau hanya
mendapat pangkat 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Individu kelahiran Klang, Selangor ini juga
mengakui bahawa kerja pertamanya adalah sebagai pencuci – secara lebih
spesifik, pencuci tandas – di UiTM dan Bangunan SUK, Shah Alam.
Namun, kini Mohd Rafi merupakan pemilik
sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti New Castle, Australia.
Jawatan terakhir beliau pula sebagai Penolong Pengurus Besar di Jabatan Sumber
Manusia sebuah syarikat multinasional di Shah Alam.
Saya mendapat maklumat mengenai Mohd Rafi
daripada seorang blogger, Shahrul
Nizam Abdul Hamid yang terlibat sama membantu beliau menguruskan blog www.rafimasterji.blogspot.com
dan proses menghasilkan buku motivasi ini yang baru sahaja terbit.
Buku Dulu
Pencuci Kini Pengurus setebal 170 halaman ini dibahagikan kepada lima bab
dan setiap bab pula terdiri daripada tajuk-tajuk kecil yang mudah dibaca dan
dihadam.
Bahasa yang digunakan amat sederhana dan senang
difahami memandangkan buku sulung ini ditujukan kepada khalayak umum – bermula
daripada golongan yang kurang pelajaran.
Seperti diakui oleh pengarang, beliau tidak
bertujuan mahu menunjuk-nunjuk apabila menceritakan bagaimana beliau
“berhijrah” daripada seorang pencuci tandas kepada pengurus. Sepanjang
penceritaan dan perkongsian pengalaman sebenar itu, Mohd Rafi – atau Masterji –
menyelitkan pandangan dan pengajaran daripada beberapa tokoh.
Antara tokoh yang dipetik pandangan dan
pengalaman mereka adalah Bruce Lee, Tan Sri Loh Boon Siew, Dato’ Yusuf Haslam,
Tan Sri Lim Goh Tong, Elvis Presley, Dato’ Karam Singh Walia dan Stevie Wonder.
Malah, pengalaman Mohd Rafi
mendidik/membimbing anak-anak menerusi motivasi positif turut dimuatkan dalam
buku ini yang diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf.
Hasil daripada membaca buku ini, kita akan
tahu bagaimana Mohd Rafi tidak mensia-siakan suatu peluang baik yang ditawarkan
kepadanya pada tahun 1991; sehingga menjadikannya seorang Penolong Pengurus
Besar yang dihormati serta seorang pakar motivasi yang disegani.
Harus juga saya nyatakan bahawa walaupun
buku ini baru sahaja terbit dan dipasarkan, saya mengalami masalah untuk
mendapatkannya. Kebanyakan kedai buku mengatakan bahawa stok yang baru masuk
habis dijual dalam masa dua hari sahaja. (Mujurlah Mohd Rafi menitipkan
senaskhah melalui Shahrul, bekas kakitangannya pada 17 Julai 2012.)
Perkara-perkara yang “diajar” oleh penulis
mungkin hal-hal yang terlalu biasa dan ditemui setiap hari di tempat kerja.
Bagaimanapun, seperti dijelaskan oleh Mohd Rafi, segala perkara biasa itulah
yang perlu digunakan (dimanipulasi) sebaik-baiknya jika kita mahu mengubah
hidup kita – berhijrah – daripada yang kurang baik kepada yang baik, dan
daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Bab 5 pula ditujukan khusus kepada golongan
yang sudah “berjaya” dan berada pada kedudukan sebagai “ketua” (pengurus,
pemimpin). Golongan “ketua” ini juga perlu menimba ilmu supaya dapat menjadi
ketua yang baik. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa golongan politikus
wajar secara khusus membaca bab terakhir buku ini.
Selain daripada kesalahan fakta “berbangsa
Hindu” (halaman 130) yang gagal dikesan/dibetulkan oleh pihak editorial
(penerbit), keseluruhan buku ini sangat menarik untuk dibaca sebagai sebuah
teks santai yang sangat mengujakan bagi khalayak pelbagai peringkat.
(Uthaya Sankar SB pernah bekerja di kilang
kasut dan kilang besi sebelum menjadi penulis dan melanjutkan pelajaran ke Universiti
Malaya. Ulasan buku ini ditulis pada 17 Julai 2012
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Julai 2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. NOTA: Saya dimaklumkan oleh penulis pada 16 September 2012 bahawa buku ini sudah memasuki cetakan kedua.)