17 Sept 2012

Dulu Pencuci, Kini Pengurus

[Pasti ada sebab mengapa buku ini begitu laris walaupun baru seminggu berada dalam pasaran.]

Apabila menulis biodata, resume atau CV, pada umumnya orang ramai akan memilih untuk menyatakan perkara yang baik-baik serta kejayaan yang membanggakan sahaja.

Hal yang amat berbeza dilakukan oleh penulis buku Dulu Pencuci Kini Pengurus, Mohd Rafi Jalaluddin apabila beliau tanpa segan mengakui bahawa beliau hanya mendapat pangkat 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Individu kelahiran Klang, Selangor ini juga mengakui bahawa kerja pertamanya adalah sebagai pencuci – secara lebih spesifik, pencuci tandas – di UiTM dan Bangunan SUK, Shah Alam.

Namun, kini Mohd Rafi merupakan pemilik sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti New Castle, Australia. Jawatan terakhir beliau pula sebagai Penolong Pengurus Besar di Jabatan Sumber Manusia sebuah syarikat multinasional di Shah Alam.

Saya mendapat maklumat mengenai Mohd Rafi daripada seorang blogger, Shahrul Nizam Abdul Hamid yang terlibat sama membantu beliau menguruskan blog www.rafimasterji.blogspot.com dan proses menghasilkan buku motivasi ini yang baru sahaja terbit.

Buku Dulu Pencuci Kini Pengurus setebal 170 halaman ini dibahagikan kepada lima bab dan setiap bab pula terdiri daripada tajuk-tajuk kecil yang mudah dibaca dan dihadam.

Bahasa yang digunakan amat sederhana dan senang difahami memandangkan buku sulung ini ditujukan kepada khalayak umum – bermula daripada golongan yang kurang pelajaran.

Seperti diakui oleh pengarang, beliau tidak bertujuan mahu menunjuk-nunjuk apabila menceritakan bagaimana beliau “berhijrah” daripada seorang pencuci tandas kepada pengurus. Sepanjang penceritaan dan perkongsian pengalaman sebenar itu, Mohd Rafi – atau Masterji – menyelitkan pandangan dan pengajaran daripada beberapa tokoh.

Antara tokoh yang dipetik pandangan dan pengalaman mereka adalah Bruce Lee, Tan Sri Loh Boon Siew, Dato’ Yusuf Haslam, Tan Sri Lim Goh Tong, Elvis Presley, Dato’ Karam Singh Walia dan Stevie Wonder.

Malah, pengalaman Mohd Rafi mendidik/membimbing anak-anak menerusi motivasi positif turut dimuatkan dalam buku ini yang diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf.

Hasil daripada membaca buku ini, kita akan tahu bagaimana Mohd Rafi tidak mensia-siakan suatu peluang baik yang ditawarkan kepadanya pada tahun 1991; sehingga menjadikannya seorang Penolong Pengurus Besar yang dihormati serta seorang pakar motivasi yang disegani.

Harus juga saya nyatakan bahawa walaupun buku ini baru sahaja terbit dan dipasarkan, saya mengalami masalah untuk mendapatkannya. Kebanyakan kedai buku mengatakan bahawa stok yang baru masuk habis dijual dalam masa dua hari sahaja. (Mujurlah Mohd Rafi menitipkan senaskhah melalui Shahrul, bekas kakitangannya pada 17 Julai 2012.)

Perkara-perkara yang “diajar” oleh penulis mungkin hal-hal yang terlalu biasa dan ditemui setiap hari di tempat kerja. Bagaimanapun, seperti dijelaskan oleh Mohd Rafi, segala perkara biasa itulah yang perlu digunakan (dimanipulasi) sebaik-baiknya jika kita mahu mengubah hidup kita – berhijrah – daripada yang kurang baik kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Bab 5 pula ditujukan khusus kepada golongan yang sudah “berjaya” dan berada pada kedudukan sebagai “ketua” (pengurus, pemimpin). Golongan “ketua” ini juga perlu menimba ilmu supaya dapat menjadi ketua yang baik. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa golongan politikus wajar secara khusus membaca bab terakhir buku ini.

Selain daripada kesalahan fakta “berbangsa Hindu” (halaman 130) yang gagal dikesan/dibetulkan oleh pihak editorial (penerbit), keseluruhan buku ini sangat menarik untuk dibaca sebagai sebuah teks santai yang sangat mengujakan bagi khalayak pelbagai peringkat.

(Uthaya Sankar SB pernah bekerja di kilang kasut dan kilang besi sebelum menjadi penulis dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Ulasan buku ini ditulis pada 17 Julai 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Julai 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. NOTA: Saya dimaklumkan oleh penulis pada 16 September 2012 bahawa buku ini sudah memasuki cetakan kedua.)