[Walaupun banyak kali menjadi mangsa penipuan, artis muda ini
tidak mahu melupakan cita-citanya.]
Di tengah-tengah lambakan lagu-lagu Tamil
oleh artis tempatan, mampukah bakat baru muncul meraih kejayaan?
Demikian pertanyaan kecil yang muncul dalam
minda apabila mendengar anak saya, Devishi Prabha Sankari, semakin
berminat mendengar lagu-lagu Tamil tempatan yang berkumandang menerusi dua
stesen radio Tamil iaitu MinnalFM dan THR Raaga.
Maka, apabila berpeluang bertemu Jeevaa @
Jaffar di Shah Alam pada 24 Ogos 2012, saya mengemukakan soalan berkenaan
kepada pemuda itu yang menghasilkan “single”
berjudul “Asai Miripochi” menggunakan nama Puthummai Pitthan.
“Saya percaya bahawa kalau seorang artis
mampu memberikan sesuatu yang lain daripada yang lain, maka akan mendapat
sambutan daripada khalayak pendengar yang sentiasa mahukan sesuatu yang segar,
baru dan asli,” kata Jeeva yang lahir di Seremban, Negeri Sembilan.
Pertemuan kami adalah selepas saya
berpeluang mendengar lagu “Asai Miripochi” (“Keinginan Meluap-luap”) yang
menampilkan muzik oleh Big Syze, gubahan lagu dan lirik oleh Jeevaa, serta
turut memperkenalkan Easwari Kugathasan.
“Sejak awal, hasrat saya adalah untuk
menyajikan lagu Tamil yang sedap didengar dan senang difahami. Saya
menggabungkan melodi dengan rap supaya lebih sesuai dengan citarasa semasa.
“Saya mengambil masa satu setengah tahun
untuk menyiapkan lagu ini yang merupakan lagu sulung saya yang berjaya dirakam
sepenuhnya secara profesional,” kata pemuda berumur 26 tahun itu yang juga
menggunakan nama Emcee J dalam industri muzik.
Buat masa ini, “Asai Miripochi” boleh
didengar menerusi YouTube [KLIK DI SINI] dan dikongsi oleh ramai
peminat muzik menerusi Facebook sejak
dua bulan lalu.
Dalam perbualan kami, pemuda itu yang
membesar di Jerantut, Pahang turut menceritakan secara ringkas pelbagai
rintangan yang terpaksa diharunginya untuk muncul dalam industri muzik Tamil di
Malaysia.
Sambil tertawa, Jeevaa menceritakan
bagaimana dia banyak kali menjadi mangsa penipuan oleh individu dan kelompok
tertentu yang kononnya mahu membantu merealisasikan cita-citanya menghasilkan
album.
“Sewaktu saya mula-mula mahu membuat album,
seorang individu tampil berjanji mahu membantu. Saya diminta membayar RM8,000
tetapi sekitar satu setengah bulan kemudian, dia menghilangkan diri
bersama-sama wang saya dan kerja yang separuh siap.
“Apa yang menyedihkan, orang itu juga
seorang artis dan masih aktif menyanyi pada masa sekarang. Saya menganggap
kejadian itu sebagai suatu pengajaran besar dalam hidup,” kata Jeevaa yang kini
tinggal di Petaling Jaya.
Akan tetapi, hasil perbualan saya
bersama-sama pemuda itu, ternyata dia turut menjadi mangsa kepada beberapa lagi
rapper (individu dan kumpulan) yang
pernah berjanji mahu membantunya; tetapi tidak dapat dihubungi selepas wang
bertukar tangan.
Malah, bagi album (single) “Asai Miripochi”, Jeevaa sudah berusaha bekerjasama dengan
dua penggubah muzik sebelum akhirnya menemui Big Syze. Akhirnya, “single” ini berjaya dikeluarkan sekitar
empat bulan lalu.
Namun begitu, pemuda ini yang sedang
belajar bidang kejuruteraan audio dan pembikinan filem masih menunggu dengan
penuh harapan agar MinnalFM (slot “Minnalin Mannin Nachathiram”) dan THR Raaga
memutarkan lagunya untuk didengar dan dinilai orang ramai.
Kita sedia maklum bahawa kedua-dua stesen
radio Tamil itu memberi ruang yang agak lumayan kepada artis-artis tempatan
untuk mengasah bakat. Maka, saya mempunyai sebab untuk berasa hairan mengapa “single” yang diserahkan mengikut
prosedur sekitar empat bulan lalu masih belum kedengaran di corong radio.
Walau bagaimanapun, Jeevaa ternyata masih
terus bersemangat dan berfikiran positif, serta sabar menanti saat bakatnya
diketahui umum. Buat masa ini, dia selalu diundang membuat persembahan di
majlis-majlis perkahwinan dan di kelab malam. Sambutan yang diterima bagi “Asai
Miripochi” nampaknya amat menggalakkan.
Pemuda ini juga tidak mahu melupakan
cita-citanya untuk muncul sebagai artis, penggubah muzik, penulis lirik,
penggubah lagu dan penyanyi yang dikenali ramai.
“Inilah impian dan cita-cita saya sejak
kecil dan saya tidak akan meninggalkannya walaupun menghadapi pelbagai cabaran
dan sering menjadi mangsa penipuan dalam industri muzik tempatan,” katanya
dengan penuh yakin.
Jeevaa turut rasa bertuah kerana mendapat
sokongan moral daripada kakaknya, Salma Dhineswary yang turut menjadi tempat
untuk merujuk sekiranya timbul sebarang masalah dalam proses menghasilkan lagu.
Tambahan pula, Salma adalah seorang guru, graduan bidang lingustik Bahasa Tamil
dari Universiti Malaya dan penulis Tamil yang dikenali di dalam dan luar
negara.
Berbekalkan sokongan daripada keluarga dan
rakan-rakan, Jeevaa masih menyimpan hasrat menghasilkan album sulung yang
memuatkan enam lagu ciptaannya.
“Saya sangat optimis bahawa album itu akan
terbit dengan jayanya kerana saya mendapat sokongan padu daripada beberapa
individu yang sangat saya kagumi. Misalnya Big Syze, OG Nanba, Nathan Lock Up,
Haze Freaky-G, Mazter G-Loz, Leelai ORC, Abieramy Munisamy dan Easwari
Kugathasan,” katanya.
Jeeva menunjukkan minat dalam industri
muzik sejak kecil. Murid sekolah jenis kebangsaan Tamil ini berpengalaman
menulis lagu-lagu “urumi” selain
menyanyi lagu-lagu “bhajan” dan “thevaram”.
Soalan yang saya tanyakan berulang kali
kepadanya dalam pertemuan kami tempoh hari adalah berkenaan bagaimana dia yakin
boleh berjaya dalam industri muzik Tamil di Malaysia sedangkan sudah ada
lambakan artis yang begitu ramai. Serta Jeeva sendiri sudah banyak kali ditipu
orang dalam industri itu sendiri.
Pemuda yang ternyata sentiasa berfikiran
positif itu pula berulang kali juga menegaskan bahawa sekiranya dia mampu
menyajikan lagu/muzik yang berkualiti, lain daripada yang lain dan menggunakan
Bahasa Tamil yang betul, maka pasti ada ruang untuknya mencipta nama dalam
kalangan peminat muzik Tamil tempatan.
Salinan “single” pertama sudah diserahkan kepada pihak berwajib hampir empat
bulan lalu. Selepas menunggu selama dua bulan, barulah Jeevaa memutuskan untuk
memuat naik lagu itu di YouTube.
Langkah itu adalah wajar kerana sekiranya dia terus menunggu, trend dan
citarasa muzik akan berubah dan lagu “Asai Miripochi” mungkin ketinggalan zaman.
Keputusan Jeevaa untuk menyebarkan lagunya
di ruang siber ternyata membuahkan hasil kerana lagu itu dimuat turun dan
didengar oleh khalayak di dalam dan luar negara.
“Ternyata ramai juga artis Tamil tempatan
yang berpeluang mendengar lagu itu dan menghubungi saya secara peribadi untuk
mengucapkan tahniah. Malah, saya turut mendapat e-mel dan mesej menerusi Facebook daripada artis Tamil dari
Jerman, Sri Lanka dan Britain yang berpeluang mendengar lagu itu,” katanya
dengan gembira.
Jeevaa turut mendapat tawaran menulis lirik
dan menyanyi bersama-sama seorang artis di India yang sedang dalam proses
menghasilkan “single” pertamanya.
Nampaknya cita-cita Jeevaa tidak dapat
dihalang atau disekat oleh sesiapa! Sementara itu, sama-sama kita nantikan
dengan penuh harapan agar stesen radio Tamil tempatan turut mengesan bakat
pemuda ini dan bersedia memutarkan “Asai Miripochi” sebelum diputarkan
stesen-stesen radio luar negara.
[Makalah ini ditulis pada 26 Ogos 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 27 Ogos 2012. © Uthaya Sankar SB 2012.]