Beliau yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berkongsi pandangan ini semasa ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur pada 24 November 2011.
Berikut pandangan beliau:
Pertama sekali adalah sama ada si penulis dan si penerbit ada tidak membuat persetujuan rasmi (bertulis) apabila karya itu mahu diterbitkan semula sebagai teks Komsas.
Kalau ada perjanjian bertulis itu, memang ada asas yang kuat menuntut bayaran.
Tapi kalau tidak ada perjanjian khusus (untuk karya diterbitkan semula sebagai teks Komsas), penerbit perlu ada budi bicara dan integriti untuk membayar apa yang patut kepada penulis.
Memikirkan bahawasanya sasterawan (penulis) adalah golongan yang selalunya tertindas, saya fikir, secara insani, penerbit haruslah menjadi pihak yang tahu ihsan.
Apa salahnya diberikan sejumlah hasil (royalti atau honorarium) kepada penulis yang menghasilkan karya itu.
Jadi, perlu ada perikemanusiaan. Tapi dalam kes ini, nampaknya Kementerian Pelajaran pun tidak berbuat apa-apa bagi membela hak penulis. Pada hal, kementerian patut membantu.
Walaupun barangkali ada tugasnya yang lebih besar, tapi ini adalah rakyat juga. Seniman adalah rakyat.
Jadi, Kementerian Pelajaran perlu “membisikkan” kepada si penerbit supaya “berdamai” dan memberikan sedikit hasil yang wajar kepada penulis terbabit.
Kalau tidak, tindakan penerbit tidak membayar royalti ini akan memulakan suatu permusuhan antara pihak penulis yang sentiasa merasakan dirinya agak tertindas dengan pihak penerbit yang sentiasa untung.
Saya sendiri memang ada juga pengalaman seperti ini; agak buruk juga. Tapi akhirnya berjaya diselesaikan barangkali kerana penerbit terbabit tahu bahawa saya boleh “memanjat” jauh lebih tinggi jika hak royalti itu dinafikan.
Empat penulis yang terlibat dalam kes ini, barangkali dilihat sebagai tidak begitu besar dan penerbit fikir boleh ditindas tanpa ada pihak yang tampil membela nasib mereka.
Jadi, suka saya tegaskan bahawa penindasan atau penganiayaan dalam apa bentuk sekali pun tidak harus dibenarkan.
Kalau dikatakan kerajaan, perlulah sentiasa membela rakyat. Para penulis ini pun rakyat juga. Saya fikir, Kementerian Pelajaran harus segera beri perhatian terhadap hal ini dan selesaikan segera kerana isu ini ada kaitan dengan hasil cipta, hak cipta dan rezeki yang halal.
Kalau tidak, Menteri Pelajaran seolah-olah sengaja membiarkan penulis-penulis kecil sentiasa ditindas penerbit. Saya fikir, keadaan seperti ini tidak harus dibenarkan.
Terkini, penulis terbabit mahu minta bantuan Wakil Rakyat. Memanglah, akhirnya, kalau tak boleh bergantung pada menteri yang kita harapkan, kita kena ada alternatif yang lain.
Kalau mahu minta bantuan Wakil Rakyat dari parti pembangkang pun tidak salah. Biar orang kata “buat bising” tapi itu adalah “bising” yang wajar.
Walaupun akhirnya nanti mereka (penulis) tidak akan terus dibayar, tapi ini adalah permulaan supaya penulis-penulis lain sedar bahawa jika mereka tidak punya kesedaran, mereka juga akan menjadi mangsa.
Bayangkan: Mereka menulis mengenai orang yang menderita, tapi mereka sendiri yang menderita sekarang.
Saya sendiri sentiasa memastikan bahawa karya-karya saya ditangani dengan betul. Kalau penerbit itu tidak betul, saya akan terus membantah.
Dalam dunia ini selalunya perjuangan adalah perjuangan menentang ketidakadilan. Kita tidak harus malu untuk berjuang. Walaupun kita tidak terus menang, tidak apa. Kalau kita hanya “menang dalam kalah” (kemenangan moral) pun tidak mengapa.
Seperti kata Allahyarham Datuk Usman Awang, “jangan diam”. Maksudnya, berterusanlah bersuara dan berjuang demi hak dan menentang ketidakadilan.