Soalan: Selepas lebih tiga bulan, adakah anda masih yakin bahawa Menteri Pelajaran akan membela nasib anda dalam isu royalti teks Komsas?
Amy Suzani: Tidak. Saya rasa menteri beranggapan isu ini isu remeh yang tidak penting walhal teks Komsas melibatkan ratusan ribu pelajar di Malaysia.
Rohani: Rasanya Tan Sri bukan sahaja tidak akan membantu, malah tidak akan menjeling pun masalah kami. Tak tahulah sama ada beliau tidak tahu, tidak diberitahu atau tidak mahu tahu. Kalau beliau tidak tahu atau tidak diberitahu, maknanya surat kami kepada beliau pada 29 September 2011 dibakul sampahkan oleh pegawai yang bertugas. Kalau beliau tidak mahu ambil tahu, maknanya beliau adalah pemimpin yang tidak ambil berat tentang masalah penulis/rakyat.
Mohd Izan & Hazama: Keyakinan kami sudah terhakis. Sudah nyata, Menteri Pelajaran tidak berminat.
Soalan: Sejak isu ini didedahkan, pernahkah penerbit menghubungi anda untuk memberi sebarang penjelasan atau untuk berunding?
Amy Suzani: Tidak ada sesiapa yang menghubungi, baik penerbit mahupun pihak kementerian.
Rohani: Selama tiga bulan ini, tidak pernah ada sesiapa yang menghubungi. Penerbit seperti tersangat yakin bahawa mereka tidak bersalah. Kementerian pula seperti menyokong keyakinan itu.
Mohd Izan & Hazama: Penerbit langsung lepas tangan, tidak beri kerjasama. Bahkan tidak ada sebarang usaha untuk berunding dengan penulis teraniaya seperti kami. Mereka nampaknya semakin kebal kerana yakin Kementerian Pelajaran “melindungi” mereka.
Soalan: Mengapa anda bersedia meminta bantuan Wakil Rakyat? Mengapa bukan hanya persatuan penulis?
Amy Suzani: Kami juga rakyat Malaysia. Malah, hasil karya kami dibaca dan dipelajari oleh rakyat Malaysia. Jadi, tentulah tak salah minta Wakil Rakyat membantu kami dalam isu ini.
Rohani: Kami bersedia menemui Wakil Rakyat kerana kami adalah “rakyat” dan mereka adalah “wakil”. Kalau bukan kepada Wakil Rakyat disandarkan harapan, kepada siapa lagi? Wakil Rakyat memang dipilih oleh rakyat untuk membela nasib rakyat. Untuk mengadu kepada persatuan penulis, kami rasa kami tak layak. Pertama, kami bukan ahli persatuan. Kedua, kami hanya penulis kecil yang belum ada nama.
Mohd Izan & Hazama: Persatuan penulis juga tidak berminat. Langsung tidak mengambil tahu meskipun keluhan dan rintihan kami telah sampai ke pengetahuan mereka. Mungkin bagi mereka, kami adalah beban. Maka, kepada Wakil Rakyat kami kemukakan dengan harapan mereka akan melaksanakan tanggungjawab sebagai “wakil rakyat”. Kami rakyat Malaysia, bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau imigran. Oleh itu, dengarlah suara kami dan bertindaklah.