23 Nov 2011

Vimala Bikin Filem

Saya penggemar filem tetapi tidak banyak filem tempatan yang mampu menarik minat serta memenuhi citarasa saya.

Bagaimanapun, filem Tamil tempatan berjudul “Vilaiyaatu Pasange” menarik perhatian saya kerana ia ditulis dan diarah oleh seorang wanita yang baru berumur 29 tahun.


Selain mencatat sejarah sebagai filem sulung arahan Vimala Perumal, “Vilaiyaatu Pasange” juga mungkin menjadi bahan dokumentasi dan arkib yang merakamkan suasana di sekitar Kuarters KTM di Bangsar.


Hal ini tidaklah menghairankan kerana kawasan itu pasti menjadi “mangsa” pembangunan dalam masa terdekat. Kebimbangan ini amat berasas kerana khabarnya penduduk sekitar kawasan terbabit sudah pun mula diarah berpindah.


Vimala yang lahir dan membesar di Sungai Petani, Kedah merupakan graduan bidang perfileman dan animasi dari Universiti Multimedia, Cyberjaya.


Beliau sedang meneruskan pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang penerbitan filem dan komunikasi kemanusiaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil menjadi tenaga pengajar di Universiti Multimedia.


Maka, walaupun masih muda, Vimala bukan “budak hingusan” yang menempah bala dengan terjun ke dalam lautan yang bergelora dan dipenuhi jerung.


Filem “Chalanggai” yang ditulis dan diterbitkannya pada tahun 2007 mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa. Begitu juga filem pendek “Navarasas” yang ditulis dan diarah olehnya pada 2010.


Saya mengenali Vimala menerusi filem pendek “Chellam” sebelum kami menjadi rakan di laman rangkaian sosial Facebook.


Apabila filem “Vilaiyaatu Pasange” mula ditayangkan pada 13 Oktober 2011, saya kurang berminat membuat ulasan filem. Sebaliknya, saya lebih berminat bertemu pengarah filem untuk berkongsi pengalamannya.


Peluang itu muncul sepuluh hari kemudian apabila saya bertemu Vimala dan abangnya di Brickfields, Kuala Lumpur.


“Pada mulanya saya membincangkan projek pembikinan filem ini bersama suami selepas menghasilkan filem pendek berjudul ‘Appa’ pada tahun lalu,” Vimala yang sedang mengandungkan anak sulung memulakan cerita.


Beliau mengaku mengalami masalah kewangan bagi menghasilkan “Vilaiyaatu Pasange”. Orang luar belum menaruh harapan pada kemampuannya, tapi beliau mendapat sokongan padu daripada keluarga.


Ibunya, Lim Chiew Yet, bersedia menjadi penerbit eksekutif bersama-sama Dr Jaya Shankar James dari Lackshaea Production untuk memberi bantuan kewangan yang amat diperlukan bagi menjayakan projek pembikinan filem berkenaan oleh Veedu Production Sdn Bhd.


“Keseluruhan skrip sudah disiapkan pada Jun 2010 dengan kerjasama suami saya, Denes Kumar yang juga penerbit dan pelakon dalam filem ini. Rakan-rakan pula tampil membantu mengikut kemampuan dan bakat masing-masing,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada November 2010.


Proses pra-penerbitan mengambil masa tiga bulan di mana tumpuan khusus diberi pada aspek pengembangan dan penghayatan watak oleh para pelakon.


“Sejak awal, saya sudah ‘membina’ watak dan perwatakan. Maka, pelakon perlu menghayati sepenuhnya watak yang dilakonkan bagi menjayakan filem ini.


“Ada lapan watak utama dan saya tidak menghadapi masalah mengadakan uji bakat kerana kebanyakan mereka adalah rakan-rakan yang memang saya kenali dan tahu bakat mereka,” Vimala menceritakan.


Saya faham bahawa beliau tidak mempunyai ruang, peluang dan wang untuk mengadakan uji bakat secara profesional. Hal ini tentu menjadi semacam hambatan tetapi ternyata tidak mematahkan semangat beliau kerana rakan-rakannya sedia tampil berlakon.


Sesi pembacaan skrip diadakan secara intensif bagi memastikan pelakon berjaya menghayati watak, perwatakan dan keseluruhan cerita sebelum penggambaran dilakukan. Latihan lakonan babak demi babak dibuat selama hampir dua minggu.


Pelakon yang terlibat dalam filem pendek “Appa” juga terlibat dalam “Vilaiyaatu Pasange”. Maka, tidak timbul masalah besar dari aspek penghayatan watak dan sebagainya.


Untuk makluman, filem pendek “Appa” sepanjang 15 minit sudah siap tetapi tidak ditayangkan kepada umum atas permintaan penerbit memandangkan filem pendek itu dikembangkan menjadi filem “Vilaiyaatu Pasange”.


Pada Oktober 2010, penggambaran berjalan selama sepuluh hari; diikuti pasca-penerbitan dan penyuntingan oleh MS Prem Nath selama tiga bulan.


“Tayangan bermula pada 13 Oktober lalu di pawagam GSC Midvalley, 1Utama dan Pavilion KL. Sambutan sejak hari pertama memang amat menggalakkan.


“Saya dan para pelakon yang menghadiri tayangan hari pertama memang terkejut dan amat gembira atas sambutan yang diberikan masyarakat,” kata Vimala.


Filem ini menampilkan watak Samy (lakonan David Anthony), seorang pengumpul besi buruk yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anaknya, Kumar (Denes Kumar).


Kausalya (Jasmine Michael) bukan sekadar hadir sebagai kekasih Kumar. Sebaliknya kehadirannya sebagai watak penari Odissi dalam filem ini memberi ruang kritikan sosial, kekeluargaan dan pelbagai masalah/isu yang menjadi stigma dalam kalangan kaum India di Malaysia pada waktu ini.


Kumar pula meminati bola sepak dan kurang serius terhadap hal-hal luaran memandangkan umurnya baru 23 tahun dan belum sepenuhnya mengenal dunia.


Kehadiran pelakon veteran, Accapan, sebagai jurulatih bola sepak pula mampu memberi semangat kepada golongan belia bukan hanya dalam sukan, tetapi juga dalam hidup.


Hasil sambutan orang ramai, tayangan yang pada mulanya dijadualkan sehingga 19 Oktober di layar antarabangsa (international screens) dilanjutkan sehingga 9 November walaupun terdapat Festival Filem Latin di GSC pada 20-23 Oktober 2011.


Reaksi penonton turut diterima menerusi Facebook. Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa pengakhiran filem seperti tergantung.


Sebenarnya, ini suatu usaha berani yang dilakukan sebagai tanda bahawa Vimala selaku penulis dan pengarah filem “Vilaiyaatu Pasange” menghormati minda dan kemampuan berfikir khalayak.


Filem ini bukan sekadar filem hiburan berciri “to tell” tetapi menampilkan aspek “to show” yang secara langsung memerlukan penonton berfikir sambil berhibur.


Melihat kepada khalayak yang hadir menonton filem ini sejak 13 Oktober lalu, ternyata “Vilaiyaatu Pasange” sesuai bagi tontonan seisi keluarga. Sama ada tua, muda, belia atau kanak-kanak, semuanya ternyata terhibur dengan sajian filem sulung Vimala.


Satu lagi aspek menarik berkaitan filem ini adalah lokasi yang digunakan iaitu Kuarters KTM di Bangsar. Malah, kisah yang dipaparkan dalam “Vilaiyaatu Pasange” adalah berdasarkan insan-insan biasa yang pernah ditemui oleh Vimala sendiri dalam hidupnya.


Saya percaya bahawa aspek ini juga membantu menyumbang ke arah kejayaan “Vilaiyaatu Pasange” kerana penonton merasakan seolah-olah mereka “terlibat sama” dalam apa yang dipaparkan menerusi filem ini.


Penonton belia kaum India di Lembah Klang khasnya pasti akan terkenang akan pengalaman mereka semasa remaja apabila menonton filem ini.


Vimala mengakui bahawa skrip filem ini adalah berdasarkan pengalaman beliau sendiri apabila sering berkunjung ke sekitar kawasan Kuarters KTM di Bangsar sekitar sepuluh tahun lalu.


Wajar juga dinyatakan bahawa Denes Kumar membesar di kawasan itu. Vimala sendiri banyak menghabiskan masa di sekitar kuil Mariamman, padang bola sepak, tempat mencuci kereta, pangsapuri dan rumah kuarters yang menjadi latar filem.


Adegan pasangan bercinta di kawasan pembuangan sampah pula berdasarkan apa yang pernah dilihat oleh Vimala pada masa lalu di kawasan sama.


Maka, segala nostalgia, kenangan dan pengalaman silam dituangkan secara penuh seni ke dalam filem ini sebagai suatu dokumentasi.


Pengalaman melihat segala peristiwa lucu semasa Denes Kumar bermain bola sepak bersama rakan-rakannya juga diimbau menerusi filem ini.


Dalam kesederhanaannya, filem “Vilaiyaatu Pasange” menyampaikan mesej tersirat yang sangat mendalam dan penting bagi masyarakat India.


Vimala sudah pun memulakan kerja-kerja menulis skrip bagi sebuah filem susulan berjudul “Murattu Pasange”. Hal ini membuktikan keyakinan dan keberanian yang dimilikinya.


Ternyata Vimala tidak “main-main” dalam menyahut cabaran menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem.


(Filem “Vilaiyaatu Pasange” ditayangkan di pawagam dari 13 Oktober hingga 9 November 2011. Artikel ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 31 Oktober 2011 berdasarkan perbualan Uthaya Sankar SB bersama Vimala Perumal di Brickfields pada 23 Oktober 2011.)