Kenyataan itu dibuat berikutan khabar angin yang tersebar di ruang siber, khasnya Facebook, bahawa keempat-empat penulis terbabit meminta bantuan pembangkang bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang berlarutan sejak lebih tiga bulan lalu.
Keempat-empat penulis terbabit ialah Rohani Deraman dari Johor Bahru, Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu serta pasangan suami-isteri, Mohd Izan Abd Hazes dan Hazama Harun dari Kuala Lumpur.
Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB yang bertindak sebagai perunding kepada keempat-empat penulis terbabit berkata, isu itu mungkin sengaja diputar-belit pihak tertentu untuk memesongkan perhatian daripada topik sebenar.
“Sejak 15 Ogos lalu, kami berusaha menyelesaikan isu bayaran royalti teks Komsas ini bersama Kementerian Pelajaran dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tiada sebarang reaksi.
“Maka, kini kami berusaha menghubungi wakil rakyat bagi mengetengahkan isu untuk dibincangkan pada peringkat lebih tinggi,” kata Uthaya ketika dihubungi pagi tadi.
Khabar angin
Beliau turut menafikan khabar angin bahawa mereka cuba meminta bantuan daripada pembangkang.
“Kami meminta bantuan daripada wakil rakyat dan bukannya sebagai wakil parti politik, parti pemerintah atau pembangkang. Kami juga meminta bantuan wakil media dan persatuan penulis.
“Kalau menteri dan pengarah di kementerian terbabit tidak ada kuasa dan kesungguhan untuk membantu kami, maka tidak salah kami cuba menggunakan saluran lain untuk bersuara melalui wakil rakyat,” katanya.
Menerusi paparan di Facebook milik Uthaya dan para penulis terbabit semalam, mereka secara terbuka meminta bantuan wakil rakyat supaya “bersuara” di dalam dan di luar Dewan Rakyat serta DUN mengenai nasib penulis yang tidak dibayar royalti teks Komsas.
“Sekurang-kurangnya boleh dijadikan KPI menjelang pemilihan wakil rakyat pada pilihan raya akan datang,” kata salah satu komen.
Pada 29 September lalu, surat rayuan oleh keempat-empat penulis diserahkan di pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya.
Kerjasama NGO
“Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada menteri, jadi kami perlu meminta bantuan orang lain yang sudi membantu,” kata Rohani.
Amy Suzani berkata, mereka akan turut mendapatkan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memperjuangkan hak mendapat royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komsas.
Uthaya mengesahkan sudah menghubungi beberapa wakil rakyat semalam dan pihaknya sedia mengadakan pertemuan bersama mereka ke arah mencari jalan penyelesaian terhadap isu royalti teks Komsas.
“Kami harap isu ini dapat diselesaikan secara baik sebelum pilihan raya umum atau sebelum kerajaan berubah.
“Jangan kata sekumpulan kecil penulis ini dipergunakan pembangkang, sebaliknya katakan bahawa hak mereka diabaikan pemerintah,” tegas Uthaya.
(K. Pragalath, Free Malaysia Today, 23 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit lagi kenyataan para penulis terbabit.)