17 Nov 2011

Isu Royalti Komsas: Bukti Penulis Ditindas

Tarikh 15 November 2011 menandakan genap tiga bulan sejak isu royalti penulis teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) dibawa ke tengah menerusi portal Free Malaysia Today ke arah mencari jalan penyelesaian.

Amat menyedihkan, memalukan dan mengaibkan bahawa sehingga hari ini, Kementerian Pelajaran Malaysia masih tutup mata dan tidak mampu membela nasib para penulis berkenaan yang dinafikan hak royalti oleh beberapa syarikat yang menerbitkan karya mereka.


Bak kata simpulan bahasa dalam budaya Melayu: Umpama bersaksi ke lutut.


Isu tersebut mula-mula dibawa kepada perhatian saya oleh Rohani Deraman pada 10 Julai 2011 sebelum saya mendedahkannya menerusi tulisan bertajuk “Komsas Abai Hak Cipta?” pada 15 Ogos lalu.


Selepas artikel itu disiarkan, beberapa lagi penulis menghubungi saya selaku presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk mengadu mengalami nasib sama.


Rohani dari Johor Bahru, Johor adalah penulis asal cerpen “Warkah Daripada Ibu” dan novel Cempaka Putih Untukmu yang dijadikan teks Komsas.


Tetapi Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd, Edu Quest Publisher dan Nur-Ilmu Sdn Bhd yang beralamat di Kota Damansara, Petaling Jaya tidak mahu membayar royalti kepada penulis.


Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu, Kelantan merupakan penulis asal puisi “Seorang Insan Istimewa” dan cerpen “Budi Semangkuk Daging” yang turut dijadikan teks Komsas.


Sekali lagi, Nur-Ilmu Sdn Bhd yang beralamat di Kota Damansara bertegas tidak mahu membayar royalti kepadanya.


Hazama Harun @ Aida Shahira dari Cheras, Kuala Lumpur adalah penulis asal novel Bukan Duniaku yang kini dijadikan teks Komsas.


Malangnya, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd dan Karya Hartamas Enterprise yang beralamat di Taman Melaka Raya, Melaka mengelak daripada membayar royalti penuh kepada penulis.


Suaminya, Mohd Izan Abd Hazes menulis novel Hikmah yang turut dijadikan teks Komsas.


Sekali lagi, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd dan V-Nice Resources yang juga beralamat di Taman Melaka Raya tidak mahu membayar royalti.


Saya telah menghubungi pihak pengurusan kesemua syarikat berkenaan untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung isu yang timbul. Maklumlah, bak kata bidalan, malas mendayung, perahu hanyut.


Namun, jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Masing-masing bertegas tidak mahu membayar honorarium atau royalti kepada penulis dengan alasan bahawa karya itu sudah menjadi milik mereka.


Satu lagi alasan standard yang diberikan adalah bahawa Kementerian Pelajaran sedia maklum akan apa yang berlaku.


Segera mengingatkan saya pada dua perumpamaan Melayu: Seperti anjing berebut tulang, dan bagai anjing makan muntahnya.


Malah, salah seorang daripada penerbit terbabit mengirim SMS kepada saya kerana membantah tindakan saya dan Kavyan tampil membela golongan penulis yang menjadi mangsa penganiayaan, penindasan, kezaliman dan penipuan penerbit tidak beretika.


Katanya, “Dah Keling, perangai macam Keling”. Entah apa yang dimaksudkan pemilik V-Nice Resources itu!


Harapan ikhlas Kavyan adalah supaya isu royalti teks Komsas dapat diselesaikan secara baik sebelum 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011). Kavyan berharap dapat menyampaikan “berita gembira” kepada kumpulan penulis terbabit menjelang Aidilfitri.


Bagaimanapun, sehingga 29 Ramadan lalu (29 Ogos 2011), Kementerian Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran dan Kerajaan Malaysia sekadar berpeluk lutut dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi penulis terbabit.


Hal ini bermakna, penerbit yang tidak beretika berpeluang mengaut untung bersih secara haram sekitar RM11,000 bagi sebuah cerpen dengan “restu” Putrajaya.


Para penulis terbabit masih bersikap seperti harimau menyembunyikan kuku, lalu menulis Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran pada 26 Ogos 2011 dan ia disiarkan di beberapa portal berita.


Apabila surat rayuan terbuka itu tidak mendapat perhatian pihak berwajib, saya mengirim e-mel rasmi memohon untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran bagi membincangkan isu sama.


Semua ini bagai menjenguk jerat sial kerana semakin saya dan Kavyan cuba membantu, semakin kami dilabel sebagai “anti-Melayu” atas alasan yang mungkin hanya Tuhan yang tahu.


E-mel rasmi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri dikirim pada 2 September 2011, dengan salinan kepada semua pihak berkenaan.


Malangnya, sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang jawapan balas. Maka, jadilah para penulis terbabit bagai si buta kehilangan tongkat.


Dalam pada itu, pada 19 September lalu, seorang lagi penulis terbabit, Erda Roslan Khairi mengirim SMS untuk memaklumkan bahawa beliau sudah menerima cek bayaran royalti daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Cerpen beliau, “Israk” pernah disiarkan di majalah Dewan Siswa sebelum dimuatkan dalam antologi Komsas Tingkatan Empat berjudul Harga Remaja tanpa izin dan tanpa pengetahuan penulis.


“Walaupun bukan 1 Syawal 1432, saya tetap menerimanya dalam bulan Syawal, sepertimana yang tuan harapkan sebelum ini,” kata Erda menerusi SMS. [Rujuk lagi SMS Erda DI SINI]


Kejayaan itu memberi sedikit harapan kepada para penulis lain. Namun, tentu sahaja mereka, kami dan kita rakyat jelata mempunyai alasan kukuh untuk berasa amat kecewa dengan sikap buruk yang ditunjukkan oleh penerbit terbabit dan Menteri Pelajaran sendiri.


Satu lagi maklumat yang diterima adalah bahawa penerbit terbabit mengemukakan dokumen palsu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia; iaitu surat izin yang kononnya ditulis dan ditandatangani oleh para penulis berkenaan.


Maka, keempat-empat penulis membuat laporan polis pada 10 September lalu. Seorang peminat sastera, Gokulabalen Muniandy dari Bukit Mertajam, turut membuat laporan polis kerana kecewa dengan apa yang berlaku.


Salinan laporan polis berserta surat rayuan oleh keempat-empat penulis diserahkan ke Pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya pada 29 September 2011.


Dukacita dimaklumkan bahawa Menteri Pelajaran belum memberi sebarang balasan; apatah lagi mengambil sebarang tindakan untuk merungkai isu ini yang benar-benar memalukan dunia sastera dan penerbitan tanah air.


Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia yang menangani Komsas gagal membela nasib penulis yang teraniaya, perjuangan menuntut hak royalti, hak cipta dan harta intelek tetap diteruskan oleh Kavyan.


Sementara itu, gambaran amat jelas yang diterima sejak tiga bulan lalu adalah bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd, Edu Quest Publisher, Nur-Ilmu Sdn Bhd, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd, Karya Hartamas Enterprise dan V-Nice Resources sangat kuat dan berpengaruh.


Bak kata pepatah Melayu, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras. Perumpaman Melayu juga menyebut: Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya.


Malah, kini rakyat ada alasan untuk mempercayai bahawa penerbit terbabit mempunyai “kuasa” dan “pengaruh” mengatasi seorang Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri.


Seperti gunting makan di hujung, pandangan sinis ini tentu sahaja boleh dipertikaikan tetapi ternyata tidak boleh dinafikan seratus peratus, berdasarkan segala apa yang berlaku – atau tidak berlaku! – sejak tiga bulan lalu dalam isu royalti teks Komsas.


Rohani, Amy, Hazama dan Mohd Izan mempunyai alasan kukuh untuk benar-benar kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemerintah yang kononnya menegakkan gagasan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.


“Saya terlalu kecewa. Kalau dulu sedih kerana ditipu penerbit, kini sedih dan kecewa kerana suara kami langsung tidak didengar oleh pak menteri,” kata Rohani kepada saya baru-baru ini.


Hazama dan Mohd Izan juga melahirkan rasa kecewa apabila saya menghubungi mereka untuk mendapatkan reaksi bagi artikel ini.


“Sangat-sangat dukacita, hampa, sedih, kesal, bahkan marah! Seolah-olah kami ini rakyat kelas bawahan yang langsung tidak perlu dipedulikan,” kata Hazama.


“Apakah penerbit terbabit terlalu penting untuk dijaga oleh pihak atasan sehingga suara kami bagaikan tenggelam begitu sahaja? Kami benar-benar kecewa,” sahut suaminya.


Amy yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal turut meluahkan rasa kecewa.


“Di mana sikap prihatin seorang menteri dalam isu teks Komsas yang sebenarnya melibatkan ribuan pelajar di Malaysia? Tidak cukup besarkah sumbangan penulis sehingga hak kami dipandang sepi? Hati saya memang sudah terguris,” katanya.


Saya juga amat memahami apabila Rohani terlalu sebak sewaktu ditemubual mewakili rakan-rakannya menerusi Radio Web Selangor (RWS) pada 29 September lalu.


“Saya merayu sangat kepada kementerian. Tolonglah dengar rintihan kami. Dan kepada penerbit, tolonglah jangan aniaya kami,” katanya sambil menitiskan air mata di studio.


Malangnya, Kementerian Pelajaran masih membisu seribu bahasa; sekali gus boleh dianggap bersubahat dan menyokong segala kezaliman yang dilakukan penerbit terbabit.


Usaha kami dikatakan laksana wau melawan angin (perumpamaan) dan kami sering dinasihatkan, “sarang tebuan jangan dijolok” (bidalan).


Bagi saya, belakang parang diasah lagi ‘kan tajam, ini ‘kan pula seorang menteri.


Namun, perlu saya akui, soalan retorik yang timbul berulang kali dalam minda adalah amat mudah:


Apalah gunanya memberi kuasa kepada seseorang jika dia tidak berupaya menggunakan kuasa di tangannya untuk tampil membantu dan membela penulis dan rakyat yang ditindas, dianiaya dan dizalimi secara terang-terangan!


Tepuklah dada, tanyalah selera.


(Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya yang didaftarkan pada Mac 2011. Artikel ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan berkaitan isu ini sejak 15 Ogos 2011.)