16 Nov 2011

24 jam di Ladang Seri Intan

Semasa Norazli Ramlis, 45, mula-mula menjadi Pembantu Hospital di Ladang Nova Scotia, Teluk Intan, Perak pada tahun 1988, kemeriahan musim perayaan dan aktiviti permainan tradisional kaum India masih amat terasa.

Beliau mengimbau kenangan itu semasa saya mengunjungi keluarganya di Ladang Seri Intan (nama baru ladang berkenaan) pada 15 Oktober 2011.


“Kemeriahan itu sudah kurang sikit sekarang. Mungkin kerana bilangan belia yang kekal di ladang sudah berkurangan. Juga tiada pewaris untuk meneruskan aktiviti budaya tradisional India seperti yang pernah ada 20 atau 30 tahun lalu di ladang dan estet,” katanya.


Saya mengenali Norazli sebagai “Warga Siber” menerusi komunikasi di ruang siber sejak 1998. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah mengadakan aktiviti bahasa dan sastera di ladang berkenaan hampir lima tahun lalu.


Kunjungan saya selama 24 jam pada kali ini adalah secara khusus untuk “melihat” kehidupan di ladang menerusi kaca mata seorang individu bukan kaum India.


“Kehidupan di ladang sebenarnya tidak ‘terasing’ seperti yang sering dibayangkan atau dipaparkan dalam cerita. Kami masih mengikuti perkembangan dunia luar menerusi akhbar, radio, televisyen dan internet.


“Suasana kehidupan di ladang dan estet tidaklah seperti 30 atau 40 tahun lalu. Ada pelbagai kemudahan percuma seperti bekalan air bersih dan elektrik. Gaji masuk terus ke akaun bank,” kata Norazli yang lahir dan membesar di Ulu Yam Baharu, Hulu Selangor.


Beliau menganggap Ladang Seri Intan sebagai “rumah” yang dihuni bersama-sama isterinya, Norasmah Abd Rahman, serta anak-anak, Mohd Fikri (9 tahun) dan Nurul Huda (6 tahun).


Anak-anaknya yang membesar di ladang tidak menghadapi masalah menjadi “minoriti” dalam kalangan penduduk kaum India di sini.


Fikri dan Huda merujuk kepada pekerja ladang yang datang ke rumah sebagai “kawan ayah” walaupun mereka bekerja sebagai pemandu traktor, pemotong buah kelapa sawit, pekerja am dan sebagainya.


Menceritakan aktiviti sehariannya, Norazli berkata, pada jam 6:30 pagi, beliau memulakan tugas di Klinik Seri Intan yang diubah suai daripada sebuah rumah.


“Pukul 8:30 pagi, saya ke Ladang Selabak untuk bertugas di klinik di sana. Pukul 11:00 pagi, saya balik ke ladang, melawat kawasan perumahan dan creche (pusat asuhan kanak-kanak). Pukul 3:00 petang, saya bertugas di klinik,” katanya sambil membawa saya membonceng motosikal untuk melawat sekitar kawasan ladang kelapa sawit.


“Majoriti penduduk di sini orang India. Tapi bila saya dah bekerja hampir 20 tahun, saya nampak bilangan pekerja India sudah berkurangan. Sama ada mereka telah bersara dan anak-anak mereka tidak meneruskan warisan keluarga, ataupun mereka mendapat peluang yang lain,” ujarnya.


Kini, terdapat ramai pekerja Indonesia. Ada tujuh keluarga Melayu yang juga pekerja am di ladang. Mereka sudah lama di sini, hampir tiga generasi dan tiada apa-apa masalah dalam pergaulan bersama pekerja/penduduk kaum India. Masing-masing saling menghormati dan memahami.


“Arwah bapa saya bekas tentera. Beliau menamatkan perkhidmatan berikutan kemalangan dan bekerja sebagai pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit dan getah milik tauke Cina di Ulu Yam. Pekerja di situ kebanyakan kaum India dan Melayu,” Norazli mengimbau kenangan silam.


Bapanya sering membawanya ke tempat kerja dan beliau berpeluang mengenali pekerja di sana. Hubungan bapanya dengan pekerja lain memang rapat.


“Semasa Deepavali, mereka selalu hantar juadah istimewa untuk kami sekeluarga. Begitu juga semasa Tahun Baru Cina. Semasa Aidil Fitri, giliran kami pula memberi lemang dan ketupan untuk mereka. Pengalaman itu juga membantu saya mengenali, memahami dan menghormati budaya kaum lain,” katanya.


Semasa kami berdua mengelilingi kawasan perumahan dan ladang, ramai penduduk/pekerja menyapa Norazli dengan mesra. Tentu sahaja ini menjadi bukti kebenaran kata-kata beliau.


“Selain tugas di klinik, saya juga perlu melawat kawasan perumahan dan creche di ladang ini. Kunjungan itu turut membantu saya mengenali masyarakat India pelbagai peringkat umur,” katanya semasa kami minum petang.


Keluarganya juga suka makanan India seperti tose, vade, idli, rasam, dhal dan papadam yang mudah diperoleh di Teluk Intan; apatah lagi apabila hidup di tengah masyarakat India!


“Waktu mula-mula dulu, saya cuma tahu orang India sahaja. Tapi apabila dah kenali mereka dan berada bersama-sama mereka, barulah saya tahu kewujudan etnik Tamil, Malayalam, Telegu dan beberapa lagi.


“Setiap satu daripadanya unik dari segi bahasa, pakaian, makanan dan perayaan. Juga hal-hal berkaitan perkahwinan dan upacara kematian. Saya gembira kerana dapat mengenali semua itu secara dekat,” kata beliau semasa saya dan keluarganya makan malam.


Sambutan tahun baru, ponggal serta perayaan keagamaan di kuil Ladang Seri Intan dan di bandar Teluk Intan juga sangat istimewa. Malah, Norazli sering menyebut mengenainya sejak saya mula-mula mengenali beliau.


Chariot (rata) lalu di depan rumah kami setiap kali perayaan kuil dan kami sekeluarga selalu tengok. Bangsal yang menempatkan chariot pula terletak di sebelah rumah.


“Saya dan isteri selalu didik anak-anak bahawa itu budaya India dan agama Hindu. Kita perlu hormati walaupun mungkin berbeza dengan budaya Melayu dan agama Islam,” katanya semasa kami melawat menara condong di bandar Teluk Intan selepas makan malam.


Selain beberapa kuil, terdapat juga surau dan gereja di Ladang Seri Intan. Semangat perpaduan dan kehidupan harmoni sudah sedia wujud dalam kalangan penduduk di sini.


Pada pagi Ahad, Norazli sering bersarapan bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum di Jit’s Cafe di pusat bandar. Pada 16 Oktober, saya berpeluang hadir sama untuk berbual sambil makan capati.


Pada pemerhatian Norazli dan rakan-rakan, belia kaum India sedang berusaha gigih meningkatkan tahap ekonomi diri dan keluarga. Kebanyakan mereka bekerja di bandar serta ada kesedaran terhadap kepentingan pelajaran.


“Hasil perbualan saya bersama belia di ladang, ternyata mereka menyedari kepentingan pelajaran untuk mencapai mobiliti sosial. Mereka juga sedia menerima teguran dan nasihat daripada saya tanpa melihat aspek perbezaan kaum dan latar keluarga,” katanya yang mengakui bahawa hubungan antara kaum bertambah baik pada peringkat akar-umbi.


Hasil kunjungan ke Ladang Seri Intan milik Sime Darby, saya dapati rumah-rumah di sini menggunakan tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi generator. Rumah-rumah lama mempunyai dua bilik tetapi reka bentuk baru dilengkapi tiga bilik dan pelbagai kemudahan lain.


Gaji asas pekerja di sini disemak setiap dua tahun. Tambah nilai telefon bimbit RM5 sebulan diberi untuk setiap pekerja. Elaun khas RM200 sebulan diberi jika pekerja ada rekod kehadiran yang memuaskan.


Selain itu, setiap dua bulan, majikan memberi lima liter minyak masak kelapa sawit dan lima kilogram beras untuk setiap pekerja. Ternyata pelbagai usaha berterusan dilakukan majikan sendiri untuk membaiki kehidupan pekerja di ladang ini.


“Bagi saya, kerja di ladang masih merupakan pakej menarik. Cuma, majikan terbabit perlu sediakan keperluan asas seperti rumah yang selesa dan dilengkapi kemudahan.


“Pakej gaji yang menarik dan elaun tambahan juga perlu diberi perhatian. Kebajikan pekerja perlu diambil kira. Penambah baikan mesti dilakukan secara berterusan bagi memastikan pekerja terus berminat,” kata Norazli.


Selama ini, saya tidak sedar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja ladang lebih tinggi berbanding sektor lain. Maka, jumlah simpanan bagi hari tua pekerja ladang lebih lumayan.


Demikianlah, kunjungan selama 24 jam ke Ladang Seri Intan sedikit-sebanyak membantu saya melihat kehidupan di ladang dari sudut lain.


Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini ditulis berdasarkan kunjungan ke Ladang Seri Intan pada 15-16 Oktober 2011 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Oktober 2011.)