21 Oct 2011

Diwali Perlukan Reformasi?

Bahagian Satu. Sempena Deepavali, jika saudara berpeluang berkunjung ke rumah sahabat dan jiran, jangan terkejut sekiranya saudara tidak menerima layanan mesra seperti yang telah saudara harapkan. Saudara mungkin terpaksa sekadar menyertai ahli keluarga tuan rumah untuk menonton pelbagai program hiburan di televisyen.

Malah, lebih teruk jika kunjungan tetamu tidak diharapkan. Sebenarnya kenyataan ini mungkin sahaja kedengaran agak keterlaluan. Namun, realiti terpaksa kita hadapi. Perayaan Deepavali tidak lagi memiliki semangat tradisional. Sudah luntur nilai asli. Yang tinggal hanya “perayaan”.


Pandangan ini selalu saya utarakan secara terbuka sejak dahulu dan sering dibidas orang. Saya sudah lali dilabel sebagai seorang yang terlalu kritis terhadap soal kebudayaan kaum India. Kononnya, saya amat suka mencari kesalahan dan kelemahan kaum India!


Biarlah. Saya tidak mahu berpura-pura, berdiam diri dan menutup sebelah mata terhadap apa yang saya lalui dan perhatikan dalam kehidupan seharian sebagai seorang warga Malaysia.


Bilakah kali terakhir saudara berpeluang berkunjung ke rumah sahabat sempena Deepavali? Tidak mustahil jika jawapan yang diberi adalah “hampir lima tahun lalu”. Kita masing-masing sibuk dengan urusan keluarga sehingga terlupa akan tradisi kunjung-mengunjung semasa musim perayaan.


Kita sedar bahawa satu cara yang cukup semula jadi untuk mencambahkan bibit perpaduan (“1Malaysia”) dan integrasi (“Bangsa Malaysia”) dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan budaya adalah melalui saling memahami dan kunjung-mengunjung.


Bagaimanapun, musim perayaan Deepavali sudah semakin hilang seri untuk memainkan peranan ke arah memupuk persefahaman dan tolak-ansur antara budaya.


Kunjung-mengunjung sudah tidak lagi menjadi amalan kebiasaan. Deepavali semakin menjadi hari perayaan untuk disambut bersama keluarga masing-masing. Lalu, kunjungan rakan-rakan dan jiran tidak diutamakan.


Tidak kurang juga keluarga kaum India yang menjadikan melancong seisi keluarga sebagai agenda utama semasa cuti Deepavali. Bagi mereka, Deepavali hanyalah hari cuti dan lebih sesuai digunakan untuk melancong daripada menyambut perayaan dengan menjemput rakan-rakan dan jiran.


Tentu sekali ada yang mempersoalkan kenyataan di atas iaitu bahawa kunjungan rakan-rakan tidak diutamakan. Apatah lagi setiap kali perayaan Deepavali, kita akan mendengar mengenai begitu banyak rumah terbuka yang diadakan oleh pihak tertentu.


Tahun ini, jumlah rumah terbuka pasti bertambah beberapa kali ganda. Keadaan ini bukan semata-mata bukti kepesatan ekonomi. Sebaliknya ada makna tersirat di sebalik konsep rumah terbuka yang diamalkan oleh golongan “politik”.


Orang ramai – dan ramai orang – selalu sahaja tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi rumah terbuka yang diadakan. Tarikan utama adalah makanan. Bagi kanak-kanak, ada kemungkinan menerima duit daripada tuan rumah.


Walau bagaimanapun, konsep “rumah terbuka” yang dinyatakan ini sudah menyimpang jauh daripada konsep asal. Tokoh dan pemimpin sudah ketara mengadakan “rumah terbuka” di dewan. Makanan yang dihidang ditempah dari kedai. Pengunjung pula biasanya tidak berpeluang bertemu tuan rumah untuk mengucapkan “Selamat Hari Deepavali”.


Jadi, rumah terbuka yang diadakan itu hanyalah sebuah jamuan yang tidak ada apa-apa beza dengan mana-mana jamuan lain. Lalu, generasi muda mula terikut-ikut dengan amalan seperti itu sehingga “lupa” makna sebenar perayaan itu. – Ikuti Bahagian Dua esok