22 Oct 2011

Diwali: Kebaikan Atasi Kejahatan?

Bahagian Dua. Deepavali menandakan kemenangan Kebaikan mengatasi Kejahatan. Itulah asas bagi segala mitos dan cerita berkaitan tujuan sambutan Deepavali oleh penduduk beragama Hindu di seluruh dunia pada bulan Aipasi (Oktober/November) setiap tahun.

Deepavali – atau lebih dikenali sebagai ‘Diwali’ di Benua Kecil India – pada asalnya disambut oleh penduduk di bahagian utara negara berkenaan; khususnya penduduk Gujarati dan kaum Punjabi beragama Hindu dan Sikh.


Bagaimanapun, kemudian, Diwali mula “diambil alih” oleh semua penduduk beragama Hindu tanpa mengira kaum dan keturunan. Malah, begitu juga realiti di Malaysia. Rakyat Malaysia lebih mengenali Deepavali daripada Onam, Ponggal, Ugadi serta beberapa perayaan kaum India pelbagai keturunan.


Mitos yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat India di Malaysia berhubung tujuan perayaan Deepavali adalah kisah Dewa Krishna membunuh Narakasura. Lalu, para penduduk meraikan kemenangan Kebaikan menewaskan Kejahatan dengan menyalakan lampu serta berpesta.


Satu lagi mitos yang lebih terkenal di Benua Kecil India adalah berdasarkan epik Ramayana di mana Rama berjaya membunuh Ravana dengan bantuan Laksamana dan Hanuman. Lalu, mereka bersama-sama Sita pulang dari Langka ke Ayodhya. Kepulangan mereka selepas 14 tahun disambut para penduduk dengan menyalakan lampu dan berpesta.


Memandangkan kedua-duanya hanyalah mitos, tidak menjadi masalah kisah mana satu yang menjadi ikutan dan turutan dalam kalangan kaum India beragama Hindu yang menyambut Deepavali. Apa yang penting, simbol Kebaikan atau Cahaya menumpaskan Kejahatan atau Kegelapan – secara fizikal dan mental.


Malah, agama Hindu yang penuh dengan simbol, ikon, semantik dan penanda/petanda sebenarnya merujuk pada Kebaikan dan Kejahatan dalam diri kita sendiri. Itulah makna sebenar Diwali.


Satu lagi kisah yang kurang diketahui generasi muda adalah kepercayaan bahawa pada malam sambutan Deepavali, Dewi Lakshmi iaitu dewi kekayaan akan berkunjung ke setiap rumah yang diterangi cahaya dan akan memberkati keluarga terbabit. Kebersihan rumah juga diambil kira sebelum Dewi Lakshmi memberi berkat.


Jadi, menjelang perayaan Diwali, orang ramai akan bertungkus-lumus membersihkan rumah supaya rumah mereka turut dikunjungi dan diberkati Dewi Lakshmi (baca: kekayaan). Selain memasang lampu, sambutan hari Deepavali juga diserikan dengan lukisan kolem pelbagai corak dan warna.


Satu lagi perkara yang kurang diberi perhatian adalah bahawa mengikut kepercayaan penduduk beragama Hindu di Benua Kecil India, masa yang terbaik untuk membeli pakaian baru dan barang kemas adalah dua hari sebelum perayaan Diwali. Kononnya, itulah hari yang membawa rezeki berganda.


Laksmi Pooja juga biasanya diadakan dua hari sebelum Diwali untuk mendapat rezeki dan limpahan berkat berganda. – Ikuti Bahagian Tiga esok