Seperti yang disebutkan pada bahagian blurb novel Hanuman: Potret Diri (1996) karya Uthaya Sankar SB, Ramayana adalah epik India yang tersebar luas ke seluruh dunia.
Dua versi terkenal dalam kalangan masyarakat India adalah versi asal Valmiki (Bahasa Sanskrit) dan versi Kamban (Bahasa Tamil). Terdapat juga pelbagai versi di Gujarat, Maharashtra, Assam, Orissa, Andra Pradesh, Karnataka, Kerala, Goa dan Kashmir.
Melalui adaptasi dan interpretasi setempat, maka lahir pula Hikayat Seri Rama di Malaysia, Kakawin Ramayana di Indonesia, Ramakien di Thailand, Reamker di Kemboja, Phra Lak Phra Lam di Laos, Rajah Magandiri di Filipina, Yama Zatdaw di Myanmar dan Siddhi Ramayan di Nepal.
Melalui Hanuman: Potret Diri pula, pembaca berpeluang mendengar luahan hati Hanuman terhadap segala apa yang terdapat di dalam dan di luar Ramayana.
Sebagai sebuah novel retorik berunsur parodi, Hanuman: Potret Diri hampir terpesong langsung daripada epik kudus Ramayana. Misalnya, dalam Ramayana, watak Rama berketurunan Arya manakala Ravana berketurunan Dravida. Hal yang sebaliknya pula dikemukakan dalam Hanuman: Potret Diri.
Novel lima belas bab ini mengambil latar masa tidak sampai sehari; dari subuh hingga senja. Kisahnya tentang Hanuman, kera putih bermata hijau yang menggantikan Rama sebagai maharaja Kerajaan Indus di Lembah Sindhu.
Kisah dalam Hanuman: Potret Diri menyimpang daripada teks Ramayana. Misalnya, Hanuman menjadi maharaja pada usia 29 tahun. Dia menagih kasih sayang ibu bapa kandungnya.
Benarkah segala hipotesis yang dikemukakan? Mengapa pula Hanuman lahir sebagai kera? Mengapa dia tidak menerima kasih sayang ibu bapanya? Siapakah Tamnat Gangga?
Malah, siapakah wira sebenar dalam kisah perang Rama dan Ravana?
Itulah antara persoalan pokok dalam novel ini. Penyampaian cerita melalui penggunaan sudut pencerita orang pertama ("Aku" @ Hanuman) benar-benar mampu memikat hati pembaca remaja mahu pun dewasa.
Novel ini pernah diadaptasi menjadi skrip teater “Hanuman” dan dipersembahkan dalam bentuk wayang kulit dan wayang wong oleh Yayasan Warisan Johor pada 9 Julai 2005.
Hanuman: Potret Diri bukan bacaan ringan. Sebaliknya, pembaca diajak untuk mentafsir, menginterpretasi serta menghayati potret diri Hanuman dan watak-watak lain secara kritikal.
Uthaya sudah mengambil semula hak penerbitan Hanuman: Potret Diri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 Disember 2009.
Pada 13 Oktober 2011, dinyatakan bahawa novel berkenaan akan disiarkan secara bersiri di blog ini pada setiap hari Khamis bermula 20 Oktober 2011. Bagaimanapun, pada 17 Oktober 2011, portal berita Malaysiakini mengesahkan kesediaan menyiarkan siri itu pada setiap Sabtu bermula 22 Oktober 2011.
Namun, akibat masalah terknikal, penyiaran itu tertangguh. Akhirnya, Uthaya memutuskan untuk menyiarkan beberapa bahagian novel Hanuman: Potret Diri secara bersiri di blog pada setiap hari Selasa dari 8 November hingga 27 Disember 2011.
Dalam perkembangan terbaru, pada 3 Januari 2012, Free Malaysia Today bersetuju untuk menyiarkan Hanuman: Potret Diri secara bersiri mulai Februari 2012; apabila Panchayat: Edisi Khas berakhir.
Novel Hanuman: Potret Diri adalah sebuah karya parodi retorik. Karya ini menampilkan watak Hanuman yang mengimbau segala apa yang berlaku dalam teks Ramayana selepas kera putih bermata hijau itu menjadi maharaja menggantikan Rama.
Bersediakah anda? Biarlah kera putih bermata hijau ini hadir menyerikan mimpi indah kalian. ... Baca Bahagian 1 - Hanuman: Suara Hati.