[Suatu usaha menyajikan karya-karya yang membuka mata, minda dan
hati pembaca.]
Apabila bercakap mengenai minat membaca,
tentu sahaja tumpuan kita bukan hanya terhadap karya Bahasa Malaysia. Walaupun
kita masih berada dalam suasana sambutan “Bulan Bahasa Kebangsaan” (Oktober-Disember 2012), tidak bermakna bahasa-bahasa
lain perlu dipinggirkan.
Malah, suatu aspek yang sering dilupai
(atau sengaja dilupakan) oleh sekelompok pejuang bahasa kebangsaan adalah bahawa salah
satu matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tercatat dalam Akta DBP
adalah “untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau
penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk
kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain”.
Namun begitu, saya tidak bertujuan mahu
menyalahkan DBP atau mana-mana pihak lain dalam perkara ini. Di negara bertuah
ini, topik berkaitan bahasa-bahasa selain bahasa kebangsaan adalah amat
sensitif. Sesiapa yang bercakap mengenai – atau menggunakan – bahasa-bahasa lain
akan dengan amat mudah dilabel sebagai tidak memiliki semangat kebangsaan.
Pada masa sama, saya sejak dahulu tidak
pernah menyembunyikan hakikat bahawa saya lebih banyak membaca karya Bahasa
Inggeris berbanding karya Bahasa Malaysia sejak usia kanak-kanak. Hal ini
disebabkan karya-karya (khususnya fiksyen) di negara ini masih berciri “oleh
Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu”.
Maka, untuk mengenali “dunia” di luar
daripada skop kecil itu, saya terpaksa beralih kepada karya-karya (khususnya
fiksyen) Bahasa Inggeris. Karya-karya antarabangsa juga diterjemah ke Bahasa
Inggeris; sekali gus membolehkan saya menikmati “dunia tanpa sempadan” sambil
tetap berpegang teguh pada jati diri serta kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.
Di Malaysia, wadah penyiaran bagi karya
(khususnya fiksyen) Bahasa Inggeris adalah amat terhad. Kebanyakan penulis
mengambil inisiatif menerbitkan sendiri karya mereka dalam bentuk buku.
Mujurlah buku-buku ini biasanya mudah diperoleh di kebanyakan kedai buku
terkemuka.
Dalam hal ini, saya amat kagum dengan
kegigihan Bernice Chauly dan Sharon Bakar yang mengusahakan antologi Readings from Readings (2011) dan Readings from Readings 2 (2012). Antologi pertama menggabungkan
karya-karya pengarang Malaysia manakala antologi terbaru turut memuatkan karya
beberapa penulis luar.
Saya berpeluang bertemu Sharon pada 11
Disember 2012 untuk mendapatkan senaskhah Readings
from Readings 2 yang diterbitkan menerusi syarikat miliknya, Word Works Sdn
Bhd. Saya juga berminat untuk mengetahui pengalaman wanita berkenaan
mengusahakan penerbitan antologi kedua ini.
Menyemarakkan sastera Bahasa Inggeris
“Antologi ini dilancarkan semasa George Town Literary Festival pada
November 2012 dan kini boleh didapati di kebanyakan kedai buku utama seluruh
negara. Malah, buku ini menduduki tempat pertama senarai karya Asia di kedai
buku Kinokuniya,” katanya dengan gembira.
Sama seperti antologi pertama, buku terbaru
juga dicetak sebanyak seribu naskhah dan kini sudah bersedia untuk memasuki
cetakan kedua. Maka, tidak sia-sialah Sharon memilih untuk menerbitkan
buku-buku berkenaan.
Walau bagaimanapun, penerbitan Readings from Readings 2 bukan bermotif
mengaut keuntungan. Sebaliknya, Sharon dan Bernice berusaha mengumpulkan
karya-karya bermutu dalam bentuk buku supaya dapat dijadikan bahan dokumentasi.
Tambahan pula, kedua-dua wanita itu
terlibat dalam mengusahakan siri acara membaca teks (puisi, prosa dan lagu)
sejak hampir sedekad lalu. Malah, rata-rata karya yang dimuatkan dalam antologi
ini adalah hasil daripada karya-karya yang dipersembahkan menerusi acara Readings at Seksan iaitu acara
bulanan di Bangsar.
Selain daripada kelompok penulis terkenal
dari dalam dan luar negara, buku ini juga menampilkan karya beberapa individu
yang berjaya menghasilkan karya sulung; misalnya Shahminee Selvakannu, Chee
Siew Hoong dan Angeline Woon.
“Beberapa individu yang saya bimbing
menerusi kelas penulisan kreatif juga berjaya menghasilkan karya yang memenuhi
kriteria pemilihan bagi antologi ini; misalnya Cynthia Reed, Ted Mahsun, Saras
Manickam, Damyanti Ghosh dan Eileen Lian,” Sharon menceritakan.
Proses pemilihan karya bagi antologi ini
sebenarnya tidak semudah disangka. Sharon menguruskan menerimaan manuskrip
daripada penulis yang berminat. Kemudian, beliau dan Bernice melakukan
kerja-kerja penilaian terhadap kesemua karya yang diterima daripada lebih 90
penulis.
Selepas pemilihan dilakukan, bermula pula
kerja-kerja penyuntingan di mana berlaku komunikasi antara penyunting dan
penulis – sama ada menerusi e-mel, telefon atau bersemuka – untuk melakukan
proses pembetulan, pembaikan dan penulisan semula manuskrip sehingga kedua-dua
pihak benar-benar berpuas hati.
Gabungan penulis baru dan lama
“Kalau boleh, saya memang mengharapkan
penulis mengirim manuskrip yang sudah sempurna dan hanya
memerlukan penyuntingan yang minimum tetapi tentulah agak mustahil untuk
meletakkan harapan setinggi itu. Namun, saya berasa amat gembira kerana kesemua
penulis terbabit sedia menerima kritikan, komen dan saranan untuk membaiki
karya mereka,” katanya sambil kami makan tengah hari dan minum teh buah-buahan.
Saya percaya bahawa memandangkan antologi Readings from Readings sudah berada
dalam pasaran sejak Februari 2011, maka boleh dijadikan semacam panduan oleh penulis yang mengirim
karya bagi antologi kedua.
Sharon mengakui bahawa mutu karya pada kali
ini setara dan lebih baik berbanding buku pertama. Malah, antologi pertama
menyajikan beberapa karya yang mungkin tidak sesuai bagi “pembaca bawah umur”
tetapi buku terbaru pula lebih banyak memuatkan karya-karya bertema hubungan
kekeluargaan.
Tulisan berupa catatan pengalaman peribadi
Saras mengenai Kannan dalam “Will You Let
Him Drink the Wind?” pasti menyentuh jiwa dan minda pembaca. Begitu juga
dengan kisah “Pak Sudin’s Bicycle”
oleh Ted Mahsun. Namun, saya tidak mahu lagi mengulas karya-karya dalam
antologi ini.
Antara penulis baru dan lama yang karya
mereka termuat dalam antologi kedua ini termasuk Fadzlishah Johanabas, M.
Shanmughalingam, Cindy Childress, Preeta Samarasan, Alina Rastam, Marc de
Faoite, Vernon Daim, Gopalan Sellan, Amir Hafizi dan Lilian Tan.
Karya-karya Eileen Lui, Omar Musa, Megat
Ishak, Sharanya Manivannan, Thato Ntshabele, Viren Swami, Rodaan Al Galidi,
Alfian Sa’at, Martin Axe dan Chuah Guat Eng turut dimuatkan. Maka, barisan
penulis adalah berciri antarabangsa dan menjanjikan kepelbagaian tema, gaya dan
teknik penulisan.
Seperti yang dinyatakan tadi, Sharon selaku
penerbit tidak berniat mahu mengaut keuntungan menerusi buku setebal 206 halaman ini yang dijual pada harga RM29.90 senaskhah. Walaupun belum
menerima apa-apa keuntungan besar menerusi dua buku yang sudah diterbitkan,
beliau kini merancang untuk menerbitkan sekurang-kurangnya dua lagi antologi
pada tahun hadapan.
Sebagai seorang pembimbing sepenuh masa,
Sharon akan memulakan kelas penulisan kreatif selama 10 minggu bermula Januari
2013. Acara Readings at Seksan pula
dijadualkan pada 29 Disember 2012.
Maka, bagi sesiapa yang meminati karya Bahasa Inggeris oleh penulis tempatan
tetapi sering merungut kerana kurang bahan bacaan, silalah berkenal-kenalan
dengan Sharon dan Bernice. Pasti anda akan berpeluang melihat “dunia” yang
terbentang luas tanpa perlu merungut dan menyalahkan mana-mana pihak. Mana
tahu, karya anda bakal termuat dalam antologi akan datang.
[Uthaya
Sankar SB suka menikmati karya - termasuk filem - pelbagai bahasa tetapi
memilih untuk menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Makalah ini ditulis pada
12 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]