19 Jul 2013

Amboi! Uthaya Sankar SB diseru masuk Islam

BANGI, 19 Julai 2013 – Setiausaha Biro Politik ISMA, Ustaz Hazizi Ab Rahman menegaskan kepada penulis politik, Uthaya Sankar SB supaya memeluk Islam sekiranya beliau benar-benar kagum dengan Rasulullah seperti dalam kenyataannya yang diterbitkan oleh sebuah portal media online.
 
“Beliau mengatakan satu-satunya pemimpin Islam yang paling dikagumi ialah Nabi Muhammad SAW, kenapa tidak sahaja memeluk Islam?
 
“Sekiranya beliau memberikan alasan tidak memeluk Islam disebabkan beberapa pihak yang tidak disukainya seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Ridhuan Tee, Ahmad Nawawi M Zin, atau Barisan Nasional sekalipun, itu menggambarkan pemikirannya yang begitu sempit,” tegas Ustaz Hazizi.
 
Beliau berkata demikian mengulas tulisan Uthaya yang bertajuk ‘Isu hina agama: Ingat pesan Rasulullah’.
 
Dalam tulisan itu, Uthaya berkata, beliau berpandangan tindakan pihak berkuasa ke atas pasangan Vivian dan Alvin adalah berat sebelah dan secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
 
Uthaya merujuk kepada hadis seperti diriwayatkan Abu Daud, baginda pernah bersabda: “Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin, maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”
 
Dalam hal ini, Ustaz Hazizi mengingatkan beliau tidak layak untuk berbincang tentang hadis apatah lagi beliau telah secara salah menterjemahkan hadis tersebut.
 
“Hadis ini sebut ahli zimmah. Ahli zimmah tidak boleh diterjemah kepada kelompok minoriti. Jika istilah ahli zimmah diterjemah kepada istilah kelompok minoriti, maka ia (terjemahan itu) bercanggah dengan konsep Islam,” katanya.
 
Sebelum ini ramai pihak termasuk ISMA mahu tindakan tegas diambil ke atas pasangan Vivian dan Alvin kerana menghina Islam dan umat Islam serta tidak menghormati bulan Ramadan.
 
(Berita ini disiarkan di laman ISMABACA DI SINI – pada 19 Julai 2013. Ini satu lagi contoh baik “dakwah negatif” yang mencemarkan kesucian Islam; serta sah tidak faham kandungan kenyataan media saya. Harap maklum bahawa saya tidak akan sesekali menyahut seruan “pendakwah negatif” seperti ini yang sesungguhnya perlu didakwahkan terlebih dahulu kerana mereka tidak faham makna “dakwah”. Saya tidak perlu merendahkan martabat saya dan mana-mana agama dengan menjawab kenyataan “kurang cerdik” individu ini. ISMA secara rasmi dan terang-terangan sedang memberikan amaran kepada orang Bukan Islam dan Tidak Islam supaya JANGAN kagum dengan peribadi dan kepimpinan Nabi Muhammad! Dalam pada itu, apa pula agaknya reaksi seorang penolong editor yang pernah menuduh saya menyebarkan agama Hindu?)

Berita-berita yang mungkin akan kita baca selepas ini: "ISMA seru Uthaya memeluk agama Sikh" - "ISMA seru Uthaya memeluk agama Kristian" - "ISMA seru Uthaya memeluk agama Buddha dan Baha'i" - "ISMA seru Uthaya memeluk agama Hindu" - "ISMA seru Uthaya memeluk Rosmah" - "ISMA seru Uthaya berniaga di Bazar Ramadan" - "ISMA seru Uthaya jadi pakar Ayurveda" - "ISMA seru Uthaya jadi Transgender" - "ISMA seru Uthaya jadi Chetti" ...


Baca juga kenyataan budak hingusan yang disiarkan IsmaWeb dalam isu Seminar Anti-Kristian di UiTM - BACA DI SINI.