Tuesday, 12 March 2013

Ponggal, Beras dan Capati

[Sambutan pesta menuai membuka peluang masyarakat melihat sendiri prestasi cemerlang Barisan Nasional di Selangor.]
 
Sejak seminggu lalu, secara agak tiba-tiba, kewujudan kaum India (baca: pengundi kaum India) bagaikan baru sahaja benar-benar terasa dan disedari oleh pemerintah dan politikus serta penyokong parti-parti politik di negara bertuah ini.
 
Kita tentu masih ingat akan tsunami politik yang berlaku menerusi Pilihan Raya Umum Ke-12 (Mac 2008) antara lain berikutan Perhimpunan Hindraf pada November 2007. Memandangkan PRU-13 semakin hampir – serta sudah tidak boleh dilengah-lengahkan oleh Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak – maka usaha diambil pihak berkenaan untuk menjadi “mesra penduduk kaum India”.
 
Memandangkan ada ramai pengundi kaum India di Selangor – serta penduduk pelbagai kaum dan agama di negeri itu hidup aman dan selesa di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) – maka tidaklah menghairankan apabila langkah-langkah drastik diambil pembangkang untuk memancing undi penduduk dengan apa cara sekali pun.
 
Menjelang tahun baru 2013, saya antara penduduk Selangor yang cukup “bertuah” kerana menerima surat permohonan maaf daripada Pengerusi BN Negeri Selangor merangkap Presiden UMNO.
 
“Kami sedar, terdapat kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran Barisan Nasional yang lalu. Atas kesedaran ini, kami berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor. Janji kami adalah Janji Ditepati. Yakinlah dan berilah peluang kepada kami untuk membawa perkhidmatan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Selangor.”
 
Demikian petikan surat yang memaparkan tandatangan Najib dan tentu sahaja dihantar kepada semua pengundi berdaftar di Selangor menerusi kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN” menggunakan wang rakyat. Sepertimana dalam poskad ucapan Hari Malaysia (September 2012) dan kad ucapan Deepavali (November 2012), kali ini juga maklumat pengundi dicetak sebagai bukti kukuh bahawa surat ini adalah sesungguhnya bertujuan memancing undi.
 
Pada penelitian saya, penduduk kaum India di Selangor memang sangat bertuah dan hal ini saya nyatakan di Facebook pada 12 Januari 2013 selepas melihat sepanduk “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di sekitar Jalan Tengku Kelana, Klang.
 
Sejak BN menjadi pembangkang di Selangor berikutan PRU-12, macam-macam dilakukan oleh BN dan para “NGO penyokong BN” demi perpaduan kaum India. Misalnya, apabila pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil kecil di luar rumah penduduk kaum India beragama Hindu, akan ada wakil parti politik yang bergegas datang untuk membinanya semula dengan segera. Keajaiban seperti ini tidak dilaporkan berlaku sebelum 2008.
 
Sepanduk yang saya lihat di Klang juga menjadi bukti terbaru keprihatinan BN terhadap budaya, agama, adat, kepercayaan dan perayaan masyarakat India beragama Hindu. Khabarnya, selama beberapa hari mulai Sabtu lalu (12 Januari 2013), Presiden BN sendiri turun padang untuk bertemu masyarakat sebagai Perdana Menteri. Betapa bertuah penduduk di Selangor di bawah kerajaan negeri yang ada sekarang!
 
Melihat pada senario yang berlaku, tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa khidmat BN di Selangor lebih “cemerlang” sebagai pembangkang. Saya tinggal di Selangor sejak November 1991 dan berpeluang menyaksikan sendiri kecemerlangan ini.
 
Selepas PRU-12, BN benar-benar “mesra kaum India” khususnya di Selangor. Entahlah prestasi cemerlang ini akan kekal atau terus berubah 180 darjah jika/apabila BN berjaya menawan semula Selangor pada PRU-13. Hanya Tuhan yang tahu.
 
Nampaknya saya tidak sendirian dalam melakukan pemerhatian itu. Rakan-rakan saya di Facebook turut tampil berkongsi pandangan dan analisis. “Mari kita kekalkan BN sebagai pembangkang,” kata Rosihan Pawnstar Amri yang turut mengakui prestasi cemerlang BN di Selangor sejak 2008.
 
“Memandangkan BN kini mampu memberikan khidmat cemerlang dalam membantu penduduk kaum India di Selangor, saya sokong supaya mereka kekal sebagai pembangkang,” kata Sukumar Theviannan.
 
Uthaya Chandran pula mengingatkan bahawa walau sebanyak mana pun sepanduk digantung di mana-mana, semua itu adalah duit pembayar cukai iaitu rakyat. Bukan duit parti politik berkenaan.
 
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa logo wajib “1Malaysia” dan mantera ajaib “Nambikei” tidak kelihatan pada sepanduk yang dipasang di Klang. Mungkinkah ada unsur sabotaj oleh pihak tertentu yang tidak mahu Najib membawa obor semangat “1Malaysia” dan “Nambikei” yang sudah sinonim dengan kempennya?
 
Pada pagi 13 Januari 2013, Najib dilaporkan “menyertai kira-kira 5,000 masyarakat itu (India) meraikan Pesta Ponggal di Padang Ceti dalam suasana meriah dan penuh warna-warni” (Utusan Malaysia, 14 Januari 2013). Rupa-rupanya Datin Seri Rosmah Mansor juga hadir sama tetapi media seolah-olah kurang memaparkan kehadiran beliau di tengah-tengah masyarakat India.
 
Media lebih berminat melaporkan bahawa Najib makan itu dan makan ini di pasar itu dan pasar ini daripada menyentuh mengenai penampilan Rosmah yang anggun berpakaian biru muda di sisi suaminya. Kata orang, ini juga mungkin sabotaj untuk tidak memberi ruang dan peluang kepada “wanita pertama” itu menampilkan keperibadian sebagai wanita yang penyayang dan prihatin.
 
Keseronokan yang dialami Najib diluahkan menerusi Twitter: “I visited ‘Little India’ in Klang this morning. Interesting community indeed. Had banana leaf lunch, capati and tosei!”
 
Untuk makluman kelompok etnosentrik yang kurang mengenali makanan kaum India, Kamus Dewan menjelaskan bahawa “tose” (ejaan Bahasa Malaysia) adalah “sejenis makanan India yang dibuat daripada beras dan dimakan bersama kuah dal dan sebagainya” manakala “capati” adalah “sejenis roti nipis yang dibuat daripada tepung atta (asalnya dari India)”.
 
Bagaimanapun, saya lebih tertarik dan terkesan dengan reaksi “interesting community indeed”. Selepas memperkenalkan slogan muluk “1Malaysia” pada 2 April 2009, akhirnya pada 13 Januari 2013, Perdana Menteri tercinta menyedari hakikat sebenar mengenai kaum India apabila datang ke Klang bagi suatu acara yang diatur pembangkang di bawah kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN”.
 
Pada pandangan saya, BN yang perlu “Sayangi Rakyat Selangor” dan “Yakini Pilihan Penduduk”. Seperti dinyatakan tadi, agak jelas bahawa penduduk/pengundi yang “Sayangi Selangor” sudah sedia “Yakini BN Sebagai Pembangkang” berikutan khidmat cemerlang yang diberikan kepada seluruh penduduk Selangor sejak Mac 2008.
 
Selain daripada itu, tentulah BN tidak perlu bimbang kerana jika prestasi PR merosot, pasti sahaja penduduk/pengundi yang “Sayangi Selangor” akan memilih pembangkang (BN) untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor. Saya juga akan berkempen menerusi tulisan untuk menolak mana-mana kerajaan (negeri/pusat) yang korup dan gagal berkhidmat kepada rakyat. [RUJUK PELBAGAI PAUTAN DI SINI]
 
“Kita juga mesti mencari sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Sri Murugan Centre yang memberikan keyakinan kepada BN,” kata Najib pada program di Klang, seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia (14 Januari 2013).
 
Cuma, saya sedikit kecewa dengan wakil Sri Murugan Centre dan wakil MIC yang tidak memberitahu Najib bahawa sambutan Ponggal adalah pada 14 Januari 2013, manakala apa yang sebenarnya diraikan pada 13 Januari 2013 adalah “Boghi” di mana secara penuh simbolik, penduduk kaum India mengumpulkan benda-benda yang tidak diperlukan di suatu tempat (di Padang Cheti, misalnya) dan membakarnya dengan penuh gembira. Ya, amat simbolik!
 
Sehari sebelumnya pula, dikhabarkan bahawa lebih daripada 15,000 orang hadir di Tesco Semenyih sempena program bersama rakyat anjuran Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF). Untuk makluman, IPF sudah berkali-kali memohon menjadi komponen BN tetapi ditolak atas alasan bahawa MIC adalah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India di Malaysia.
 
Ternyata orang ramai – khususnya kaum India – yang menghadiri Perhimpunan Semenyih sangat bertuah kerana mendapat bantuan sekampit beras yang tentulah telah digunakan bagi memasak nasi manis sempena Ponggal pada 14 Januari 2013. Walaupun terpaksa berebut-rebut seperti mangsa kebuluran di Somalia, akhirnya dapat juga membawa pulang beras dan beberapa barangan keperluan dapur secara percuma.
 
Bandingkan pula dengan orang ramai – pelbagai kaum dan agama – yang “membazir masa” menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tarikh yang sama. Apa yang mereka dapat? Tentulah penganjur HKR tidak menyediakan kampit beras untuk digunakan bagi memasak nasi manis sempena Ponggal. Sebaliknya peserta pula khabarnya diminta menghulurkan derma untuk membayar kos sewa stadium.
 
Ada bebarapa orang yang menyertai HKR mengaku mendapat “habuan” wang – tetapi sekadar wang kertas mainan tertera gambar seorang wanita gemuk berambut palsu menggerbang berdiri di sisi seorang lelaki pendek yang memakai gincu merah jambu. Tentulah wang itu tidak sah digunakan dalam mana-mana urusan.
 
Menurut laporan Mingguan Malaysia (13 Januari 2013), HKR “gagal menarik perhatian masyarakat India di negara ini apabila hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja”. Awang Selamat tampil mendedahkan bahawa “sasaran untuk menghimpunkan sejuta orang tidak tercapai, ia cuma dihadiri tidak sampai 50,000 orang”. Tentulah kaum India menjadi punca, bukan? Saya percaya, ramai yang memilih secara “bijak” untuk ke Perhimpunan Semenyih kerana ada “habuan” material.
 
Peserta Perhimpunan Semenyih memang sangat bertuah kerana mendapat sekampit beras dan peluang bertemu Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri; umpama bertemu Brahma, Vishnu dan Shiva. Peserta HKR pula tidak mendapat apa-apa selain sekadar peluang untuk sama-sama menuntut masa depan yang cerah menerusi pilihan raya yang adil, bebas, telus dan bersih.
 
Maka, dapat kita bayangkan bahawa pada hari Isnin lalu (14 Januari 2013), dua hari selepas Perhimpunan Semenyih dan HKR, lebih 15,000 keluarga kaum India sekitar Semenyih memasak nasi manis di rumah sempena Ponggal menggunakan beras yang disedekahkan BN dan IPF.
 
Sekitar 50,000 keluarga peserta HKR (sumber: Mingguan Malaysia) serta baki rakyat Malaysia yang tidak menghadiri Perhimpunan Semenyih pula meraikan Ponggal bersama-sama rakan-rakan dan jiran-tetangga pelbagai kaum dan agama sambil berkongsi rasa bangga kerana berani tampil menuntut perubahan demi kemakmuran dan masa depan negara tercinta. – Baca juga makalah bertajuk Ponggal Perpaduan dan Janji Politik.
 
[Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa yang tidak menyokong mana-mana parti politik. Makalah ini ditulis pada 14 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!