16 Mar 2010

Emolumen yang Terlebih Bayar: Kisah RTM

Saya [Uthaya Sankar SB] biasa mendengar istilah “emo” yang merupakan gaya generasi muda menyebut “emotional”. Malah, ada “emoticon” di ruang siber yang merujuk pada “emotion icon”.
..

Bagaimanapun, saya terkebil-kebil seketika sewaktu membaca tajuk surat bertarikh 2 Mac 2010 dengan “Rujukan Kami: RTM(W)2/4 Jld.2( )” yang dikirim oleh Unit Gaji, Cawangan Akaun (b.p. Ketua Pengarah), Jabatan Penyiaran Malaysia, Kuala Lumpur; dan saya terima melalui pos pada 12 Mac 2010.

..

Kekeliruan saya hilang selepas membaca kandungan surat rasmi itu yang berbunyi begini:

..

Adalah dimaklumkan bahawa jabatan ini telah terlebih membayar emolumen kepada tuan bagi tempoh 31.01.2010 (1 Hari) bagi gaji bulan Januari 2010 kerana tuan telah meletak jawatan pada tarikh tersebut.

..

Tuan adalah dikehendaki membayar balik sebanyak RM94.47 (Ringgit Malaysia: Sembilan Puluh Empat Ringgit dan Sen Empat Puluh Tujuh Sahaja) dalam tempoh 14 (empat belas) hari dari tarikh surat ini atau menghubungi talian 03-22887617 Unit Gaji, Cawangan Akaun, Jabatan Penyiaran Malaysia. Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui bank draf dan dialamat kepada Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.

..

Saya hanya tersenyum membaca kandungan surat itu.

..

Nampaknya, bagi tempoh dari 16 November 2009 hingga 15 Januari 2010 – iaitu selepas Unit Bencana RTM “dimansuh secara senyap-senyap tanpa sebarang pengumuman rasmi” dan saya hanya makan gaji buta kerana bos menyuruh saya “rehat-rehat dulu” – saya dibayar RM94.47 sehari.

..

Surat yang dikirim menegaskan bahawa bayaran perlu dibuat “dalam tempoh 14 (empat belas) hari dari tarikh surat ini” sedangkan tarikh asal pada surat dipadam menggunakan cecair pemadam (liquid paper) dan tarikh baru ditulis tangan. Nombor “Rujukan Kami” pula tidak lengkap.

..

Agaknya Unit Gaji tidak tahu bahawa saya mengambil baki Cuti Tahunan sebanyak 10 (sepuluh) hari dari 16 Januari 2010 hingga 31 Januari 2010; jangan lupa bahawa Sabtu dan Ahad adalah hari cuti.

..

Maknanya, saya mengambil Cuti Tahunan pada 31 Januari 2010 dan tidak timbul situasi “terlebih membayar emolumen”.

..

Saya tidak berhutang walau 1 (satu) sen dalam hal ini.

..

Saya percaya, segala masalah ini timbul kerana Pejabat Pentadbiran Berita TV terletak di Wisma TV, Unit Gaji terletak di Wisma Radio, pejabat Ketua Pengarah terletak di Tingkat 2 Wisma TV sementara Sumber Manusia terletak di Petaling Jaya.

..

Malah, proses mudah penyerahan notis peletakan jawatan pada 15 Disember 2009 menjadi rumit; bukan hanya kerana karenah birokrasi, tetapi juga kerana kerenah birokrasi yang diamalkan.

..

Karenah dan kerenah birokrasi juga berlaku apabila saya “memohon kelulusan melaksanakan aktiviti dan perkhidmatan pekerjaan luar di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam [Kelakuan dan Tatatertib] 1993” apabila saya diundang menulis skrip drama pendek khas 15 episod bagi MinnalFM sempena Bulan Kemerdekaan 2009; diundang oleh Jabatan Penyiaran untuk membaca puisi di Gombak dan membaca puisi di Angkasapuri sempena Bulan Kemerdekaan 2009; serta diundang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengendalikan Aktiviti Galakan Membaca di Sibu, Sandakan, Cherating, Mersing dan Sandakan (kali kedua) pada 2009.

..

Surat kelulusan itu yang bertarikh 9 Disember 2009 hanya diserahkan kepada saya pada 22 Disember 2009. Saya segera menghantar semula borang tuntutan kerja luar tetapi ditolak Unit Gaji, Cawangan Akaun, Jabatan Penyiaran Malaysia kerana “lewat”.

..

Lalu, saya “menghalalkan” sahaja kesemua bayaran itu dan menganggapnya sebagai “sedekah” kepada Kerajaan.

..

Atau mungkinkah saya perlu mengirim surat kepada Unit Gaji, Cawangan Akaun (b.p. Ketua Pengarah), Jabatan Penyiaran Malaysia dan menuntut supaya “hutang piutang” dibayar “dalam tempoh 14 (empat belas) hari dari tarikh surat ini” dan “pembayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui bank draf dan dialamat kepada Uthaya Sankar SB”?

..

Atau saya tunggu dulu untuk melihat karenah dan kerenah birokrasi Jabatan Penyiaran Malaysia selepas 16 Mac 2010, iaitu selepas tamat “tempoh 14 (empat belas) hari dari tarikh surat” bertarikh 2 Mac 2010?

..

Sekadar makluman bersama, “birokrasi” dalam Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (DBP: 1988) didefinisi sebagai “sistem pemerintahan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai yang tidak dipilih oleh rakyat” atau “cara pemerintahan yang sangat-sangat dikuasai oleh pegawai kerajaan” atau “cara pentadbiran yang banyak melibatkan peringkat dan peraturan”.


Mahu hubungi saya? [klik di sini]


Nota: Sehingga 1 Mac 2024, Jabatan Penyiaran Malaysia belum menghubungi saya semula. Maka, saya pun tidak menuntut hutang mereka kepada saya.