Selepas Puan Norhayati dan Dr Azman tiba di Mersing pada petang 26 Oktober 2009, Encik Wee membawa saya, Ezwan dan Syafini untuk menikmati cendol di sebuah kedai yang khabarnya terbaik di Mersing.
Puan Yati pula turut menikmati tose kegemarannya. Sambil makan-minum, kami berbual-bual.
Kemudian, singgah di Dataran Pulau. Encik Wee memberikan serba sedikit penerangan mengenai pulau-pulau berhampiran.
Foto-foto dimuatkan di Facebook untuk tatapan rakan-rakan.
Apabila pulang ke Hotel Seri Malaysia, kami makan malam. Seterusnya, bermulakan sesi suaikenal.
Saya mengendalikan aktiviti menyambung cerita sebagai memberi peluang para peserta saling mengenali serta mendapat sedikit idea umum mengenai aktiviti yang akan diadakan esok.
Dalam aktiviti itu, seorang peserta (melibatkan murid dan guru) memulakan sebuah cerita menggunakan satu ayat sahaja. Peserta seterusnya menyambung cerita dengan satu lagi ayat. Begitu seterusnya.
Selepas itu, diadakan pula sesi tarian “shuffle”. Mujurlah tiada pakar tarian itu yang hadir sama!
Mengapa tidak; saya yang tidak tahu apa-apa mengenai tarian “shuffle” meminta lima murid membuat tiga langkah/aksi yang mudah tetapi lucu untuk ditarikan beramai-ramai!
Seterusnya, Puan Norhayati pula mengendalikan aktiviti menembak dan tarian ayam. Aktiviti yang menyeronokkan, santai tetapi diselitkan pelbagai ilmu yang berguna.
Sebelum berpisah, saya mengingatkan para peserta (murid-murid) bahawa Bengkel Baca Cerpen akan bermula tepat pukul 8:00 pagi esok di Dewan Pak Malau.