Seawal 5:00 pagi, 26 Oktober 2009, saya bersama-sama Prabhawathy dan Devishi bertolak dari Taman Sri Muda, Shah Alam ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Mereka menghantar saya lebih awal kerana Prabha perlu pergi ke sekolah dan Devishi perlu ke rumah pengasuh.
Memandangkan terdapat kemudahan WiFi di KLIA, maka dapatlah saya melayari internet sementara menunggu Shafini dan Ezwan dari Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Penerbangan pesawatMH1037 dijadualkan pada pukul 7:35 pagi. Bagaimanapun, pada pukul 7:44 pagi, sewaktu baru mula bergerak, berlaku sedikit masalah teknikal.
Sambil duduk di dalam pesawat, saya membaca akhbar Berita Harian; dan habis dibaca dalam masa 5 minit sahaja kerana tiada apa-apa yang benar-benar penting dan benar-benar menarik dilaporkan.
Pukul 7:58 pagi, pesawat mula bergerak menuju je landasan; umpama sebuah bas yang membawa kami melihat persekitaran lapangan terbang! Maka, saya merakamkan beberapa foto untuk ditunjukkan kepada Devishi dan dimuatkan di Facebook.
Hanya pada pukul 8:10 pagi, pesawat berlepas dari KLIA dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai pada pukul 8:45 pagi.
Bayangkan, selepas saya mengambil beg (bagasi), saya diminta mengimbas beg-beg saya kerana pegawai imigresen menyangka saya warga India! (Kes yang sama berlaku di Sandakan sebelum ini.)
Encik Wee Kok Cheng sudah sedia menunggu kami di lapangan terbang; lalu membawa kami menaiki Toyota Unser menuju ke Mersing.
Kami singgah di Kota Tinggi pada pukul 10:15 pagi untuk makan laksa Johor dan meneruskan perjalanan pada pukul 10:40 pagi. Encik Wee dengan penuh gembira dan ceria menceritakan pelbagai kisah kepada kami.
Antara topik yang saya masih ingat dan mahu saya gunakan sebagai “bahan” bengkel penulisan cerpen nanti adalah berkaitan burung kuang, Kampung Wak Salam, Beras Suka Hati dan Kampung Gajah Mati.
Pukul 12:00 tengah hari, kami singgah di Pejabat Pelajaran Daerah Mersing untuk mengambil sedikit bahan serta fotokopi bahan edaran bengkel.
Seterusnya ke SJK (Cina) Pai Chee untuk melihat dewan pameran buku. Perkara pertama yang mencuri tumpuan saya adalah logo/ikon “Alif” milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang dilancarkan pada Julai 2009 sempena Pesta Buku Selangor digunakan pada sepanduk yang dipasang.
Pada pukul 1:00 tengah hari, kami ke Hotel Seri Malaysia, Mersing. Saya sebilik dengan Ezwan di Bilik 130. Selepas makan tengah hari, saya memblog.