Skrip berita yang disiarkan oleh Bernama Radio24 pada Khamis, 29 Oktober 2009, 11:00 pagi. Terima kasih Irma!
Amalan membaca tidak harus dijadikan suatu hobi bagi mengisi masa lapang semata-mata. Sebaliknya, amalan itu perlu dijadikan suatu budaya atau cara hidup.
Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Mohd Nor Abdul Ghani berkata, persepsi “membaca untuk lulus peperiksaan” juga perlu diubah.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan “Sumbangan Buku dan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca” anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di Mersing, Johor semalam.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan 80 murid dan 20 guru dari 7 sekolah sekitar Tenggaroh untuk diberi pendedahan mengenai budaya membaca dan teknik menghasilkan karya kreatif seperti cerpen.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abdul Halim Ismail menyeru para guru supaya tampil menulis karya kreatif berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang pendidikan.
Katanya, tugas gutu bukan setakat memastikan murid-murid boleh membaca. Lebih daripada itu, guru perlu membimbing murid-murid memilih bahan bacaan bermutu ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang menjadikan amalan membaca sebagai budaya seharian.