6 Oct 2009

Jom Bergaya dengan Buku di Sandakan!

Suasana pukul 6:30 pagi di Sandakan, Sabah sama cerah seperti pukul 8:00 pagi di Lembah Klang!


Pada 8:00 pagi, 6 Oktober 2009, saya mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan dalam mengendalikan aktiviti “Jom Bergaya dengan Buku!” sempena “Program Sumbangan Buku dan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca” anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).


Peserta terdiri daripada 70 murid dari 10 sekolah rendah kawasan luar bandar, kampung dan pulau di daerah Sandakan.


Nama-nama sekolah adalah SK Ladang Sandak, SK Rancangan Lubuh, SK Sibugal Besar, SK Sipinong, SK Sungai Padas, SK Merpati, SK Gum-Gum Kecil, SK Batu Putih Baru, SK Sungai Manila dan SK Nunuyan Laut.


Sebagai aktiviti pertama, peserta mengisi borang Kelab Membaca Sinar Pintar (Perpustakaan Negara Malaysia). Borang-borang ini akan saya serahkan kepada pihak Perpustakaan Negeri Sabah apabila mengendalikan Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar yang dijadualkan pada 4 November 2009.


Kemudian, dalam kumpulan, mereka tampil membaca petikan cerpen daripada Surat Dari Madras dan Orang Dimensi. Bagi setiap kumpulan/sekolah, dua peserta terbaik diundi dan dipilih oleh para peserta sendiri.


Kemudian, 20 peserta bersaing pada peringkat akhir dengan membaca petikan cerpen mengikut gaya masing-masing. Melalui undian juga, 5 peserta terbaik dipilih untuk menerima hadiah buku Surat Dari Madras atau Orang Dimensi.


Acara sampingan yang diadakan adalah sesi “bergaya” dengan buku di mana peserta diberi kebebasan untuk menunjukkan gaya mereka membaca.


Daripada 18 peserta yang menampilkan pelbagai gaya membaca, 5 dipilih melalui undian untuk menerima hadiah buku Surat Dari Madras atau Orang Dimensi.


Turut diadakan aktiviti menyanyi lagu “Rasa Sayang” yang diselitkan pantun yang disampaikan secara tradisional dan secara rap.


Sepanjang aktiviti, tentu sahaja saya merakamkan foto untuk dijadikan bahan dokumentasi serta untuk dipaparkan di Facebook untuk tatapan rakan-rakan.