5 Oct 2009

Acara Bermula di Hotel Sabah

Sambil makan malam sekitar pukul 7:15 malam, 5 Oktober 2009 di Hotel Sabah, saya sempat berbual-bual dengan Soje, orang kuat yang terlibat dalam menganjurkan “Program Sumbangan Buku dan Aktiviti Pengembangan Budaya Membaca” di Sandakan, Sabah.


Beliau memaklumkan bahawa terdapat 65 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah di daerah Sandakan. Sekolah-sekolah ini terletak sama ada di luar bandar, kampung atau di pulau-pulau.


Dalam perbualan bersama Puan Norhayati Razali (MBKM) dan Haji Che Mazlan Saad (Al-Ameen) pula, kami menjurus kepada topik “Kota Buku” yang masih dalam proses pelaksanaan.


Sementara itu, Ahmad Fazli memulakan sesi suaikenal (“icebreaking”) bersama-sama kesemua 70 peserta dan 20 guru pengiring.


Peserta terdiri daripada murid-murid 10 buah sekolah di daerah Sandakan. Mereka terdiri daripada suku Bugis (paling ramai), Sungai, Tidung, Jawa, Melayu Brunei, Bajau, Kagayan, Kadazan dan Sulu.


Menarik juga apabila dapat mendengar mereka bercakap sedikit bahasa suku masing-masing; walaupun amat sukar – sekurang-kurangnya bagi saya – untuk membezakan mereka secara fizikal.


Antara permainan yang dikendalikan oleh Fazli untuk mengeratkan hubungan dan perkenalan antara peserta adalah pertandingan mata terbesar, suara paling kuat, lubang hidung terbesar dan bakat terpendam.


Saya juga memberikan buku Siru Kambam dan Hanuman: Potret Diri kepada guru pengiring dari 10 sekolah terbabit.


Pastinya saya turut merakamkan foto menggunakan telefon bimbit untuk dimuatkan di Facebook untuk dikongsi bersama rakan-rakan.