15 Mar 2010

Daripada FarmVille kepada Pertanian Sebenar

Selepas beberapa bulan menjadi “petani pakar” di ruang siber menerusi FarmVille, pada 12 Mac 2010, Devishi Prabha Sankari mula mendapat pengalaman menjadi “petani sebenar” dalam alam nyata.
..

Terdapat ruang kecil di hadapan rumah yang sebelum ini – sejak 2000 – memang menjadi tempat menanam pokok bunga dan pelbagai tumbuhan herba yang tumbuh subur.

..

Bagaimanapun, tanaman itu terbiar – dan kebanyakannya mati – sejak hampir lima tahun lalu.

..

Baru-baru ini, saya membersihkan kawasan itu manakala tiga pelajar Prabhawathy datang membantu menebang sebatang pokok mangga yang menghalang pintu pagar.

..

(Mereka melakukannya sebagai kerja amal bagi projek Pendidikan Moral SPM; maka tidak dibayar tetapi hanya dihidangkan minuman!)

..

Pada pagi 11 Mac, saya dan Devishi ke The Summit USJ untuk mengambil tiket yang sudah ditempah melalui internet (pada pagi 10 Mac) untuk menonton filem Alice in Wonderland.

..

Kami juga membeli tiga jenis baja (untuk bunga, daun dan buah) serta tiga jenis benih (tomato, bendi dan kacang panjang).

..

Maka, pada pagi 12 Mac, selepas saya selesai menulis dan mengedit cerpen Air Mata Hari Jadi, Devishi dan saya menguruskan “kebun mini” di hadapan rumah.

..

Sambil itu, saya sempat mendidik Devishi – antara lain – mengenai kepentingan baja, membajak tanah, cacing tanah, siput babi, daun kering, baja komposit, cara menanam benih, kepentingan cahaya matahari, keperluan air, cara akar tumbuhan menyerap air, fotosentisis, kitar semula botol plastik sebagai peralatan berkebun dan kebersihan.

..

Apa yang menarik, Devishi sudah pernah mempelajari beberapa perkara ini semasa di Tadika CEC dan mampu memberi penjelasan apabila ditanya.

..

Bagi saya, “kebun mini” – sebagaimana pengalaman akuarium yang kurang berjaya dahulu – adalah ruang menimba ilmu.

..

Bagi saya, proses pembelajaran perlulah menyeronokkan dan tidak berorientasikan peperiksaan; seperti yang pernah saya catatkan DI SINI pada 31 Julai 2009.

..

Foto-foto yang dirakam boleh dilihat di beberapa album foto berlabel "The Real FarmVille" di Facebook.

..

Oh, ya! Pada sebelah malam, Prabha, Devishi dan saya pergi menonton Alice in Wonderland.