14 Mar 2010

Cereka UPSR dalam majalah e-baca

SHAH ALAM - Bermula keluaran Mei 2010, majalah e-baca terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd akan memuatkan ruangan khas “Cereka UPSR” yang menampilkan contoh karangan khusus bagi murid-murid Tahun 4, 5 dan 6.
..

Pemangku Penolong Editor e-baca, Noor Fazidah Umar berkata, langkah ini adalah sebagai usaha membantu murid-murid lebih memahami karangan tidak berformat, khususnya autobiografi, biografi, menyambung cerita, peribahasa dan cereka.

..

“Setiap bulan, e-baca bercadang menyiarkan panduan dan karangan yang ditulis khas oleh Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB yang juga merupakan sasterawan yang disegani,” katanya semasa berucap pada Bengkel Penulisan Cereka UPSR anjuran Kavyan di SJK (Tamil) Ladang North Hummock, Setia Alam, di sini, semalam (13 Mac 2010).

..

Bengkel itu disertai 23 murid Tahun 6 dan dikendalikan oleh Uthaya bersama Setiausaha Kavyan, Prabhawathy Govindarajoo.

..

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kavyan yang juga penyelaras bengkel, Hemantha Kumar Nagappan berkata, bengkel yang dikendalikan bukan berorientasikan peperiksaan, sebaliknya membantu peserta memahami cara menghasilkan karangan tidak berformat yang memenuhi ciri-ciri cereka bermutu.

..

“Kavyan memulakan Bengkel Penulisan Cereka dan Penghayatan Sastera Kanak-kanak di seluruh negara pada 2004 dengan kerjasama Karangkraf untuk memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai penulisan karya Bahasa Malaysia,” katanya.

..

Objektif penganjuran Bengkel Penulisan Cereka UPSR adalah mencungkil bakat penulisan cereka dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka boleh meneruskan bakat dan minat ke arah menghasilkan cerpen bermutu pada masa hadapan.

..

Murid Tahun 2 dari SK Taman Sri Muda (2), Taman Sri Muda, di sini, Devishi Prabha Sankari tampil menunjukkan bakatnya menjadi pengacara majlis bagi acara ini.

..
[Sila KLIK DI SINI untuk membaca siri panduan berkenaan yang berguna bagi calon UPSR dan sesiapa sahaja yang mahu belajar cara mudah menulis cereka bermutu.]
..

(Sinar Harian, 14 Mac 2010)