Jika berpeluang melihatnya, saudara mungkin berfikir betapa udang-udang geragu berkenaan telah bekerja keras sepanjang malam membersihkan akuarium berkenaan!
Realiti adalah sebaliknya!
Pada pagi 6 Januari, apabila pulang dari RTM (saya bekerja semalaman), saya mendapati kesemua udang yang dimasukkan ke dalam akuarium pada petang sebelumnya sudah mati.
Pasti ada yang tidak kena pada kandungan air. Maka, saya segera membuang kesemua bangkai (?) udang ke dalam longkang dan membersihkan akuarium.
Nisbah air kali dan air paip diubahsuai kerana mungkin air yang digunakan semalam terlalu likat dan kandungan bahan kimia terlalu tinggi.
(Pasti saudara sudah dapat meneka bahawa saya tidak tahu apa-apa mengenai urusan memelihara ikan di dalam akuarium! Devishi Prabha Sankari pula sudah ke rumah pengasuh pada awal pagi dan tidak tahu mengenai apa yang berlaku.)
Saya membeli udang baru dan memasukkannya ke dalam akuarium yang kini berair lebih jernih berbanding semalam. Saya duduk hampir sejam memperhatikan udang pelbagai saiz berenang ke sana ke mari.
Ada seekor udang yang berenang, tetapi kemudian tiba-tiba “jatuh” ke dasar akuarium! Selepas seketika, ia berenang lagi. Perbuatan ini dilakukan berulang kali. Mungkin udang itu merupakan UKU (Udang Kurang Upaya).
Seekor lagi udang bersalin kulit beberapa minit selepas dilepaskan ke habitat barunya. Selepas udang-udang ini memakan “cacing beku” yang diberikan, warna merah jelas kelihatan di bahagian dalam kepala yang lutsinar.
Menjelang pukul 6:00 petang, kesemua udang mati!
Devishi melihat akuarium dan kumpulan kedua udang yang mati selepas saya mengambilnya dari sekolah pada sebelah petang.
Katanya, “Mungkin ada tiga sebab udang-udang ini mati. Satu, kerana panas terik memandangkan akuarium menerima pancaran matahari secara langsung. Dua, kerana air kotor. Tiga, perlu dipasang pam oksigen.”
Saya berjanji kepada Devishi bahawa saya akan berusaha mendapatkan panduan dan nasihat daripada “warga siber” di Facebook dan blog.
Saudara bolehlah membaca [Akuarium 1] [Akuarium 2] [Akuarium 3] sebelum memberikan pandangan, nasihat dan petua.