Pada petang 5 Januari 2010, saya bersama-sama Devishi Prabha Sankari pergi ke kedai menjual ikan untuk membeli udang.
“Bolehlah udang membersihkan akuarium sebelum kita memasukkan ikan nanti,” kata Devishi.
Ada tiga akuarium yang memuatkan udang biasa di kedai yang kami kunjungi. Tercatat dengan jelas: “RM1 – 12 ekor”.
Maka, kami membeli udang untuk RM1.00 kerana 12 ekor udang sudah lebih daripada mencukupi. Biarlah ia membesar dan beranak-pinak.
Agak menghairankan apabila wanita Indonesia yang bekerja di kedai ikan itu memasukkan sejumlah udang ke dalam beg plastik berisi air tanpa mengira jumlah udang!
Apabila pulang ke rumah dan memasukkan udang ke dalam akuarium, kami mengira dan mendapati ada lebih daripada 20 ekor udang.
Barulah saya dan Devishi sedar bahawa harga yang tercatat itu adalah bagi anak ikan lain yang disimpan di dalam akuarium berkenaan sebelum ini.
Kami memberi udang-udang itu makan “cacing beku”.
“Biarlah mereka makan cacing ini dulu sebelum mula bekerja membersihkan akuarium,” kata Devishi.