3 Jan 2010

Akuarium 1

Pada petang 3 Januari 2010, saya bersama-sama Devishi Prabha Sankari dan Prabhawathy pergi membeli sebuah akuarium kecil (tinggi 38 sm, panjang 45 sm, lebar 25 sm).
.

Perkara ini sebenarnya sudah dirancang oleh saya dan Devishi pada 11 Disember 2009 apabila kami ke rumah sepupunya di Kamunting. Kami tertarik melihat keluarga itu memelihara ikan dan udang di dalam bekas kotak plastik hitam menyamai habitat semula jadi; bukan sebagai ikan hiasan untuk dipertontonkan.

.

Sebenarnya, pada minggu lalu, saya sendirian meninjau beberapa kedai menjual ikan sebagai persiapan awal. (Devishi dan Prabha balik dari Kamunting hari ini.)

.

Saya ada menyebut mengenai cadangan membeli akuarium terpakai untuk memelihara ikan pada ruangan status di Facebook pada 28 Disember 2009.

.

Sokongan moral yang saya terima daripada rakan-rakan di Facebook memang amat menggalakkan. Rata-rata mengakui bahawa hobi memelihara ikan memang menyeronokkan dan menenangkan jiwa.

.

Pada sebelah petang 3 Disember, saya memandu kereta sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam untuk mencari lokasi di mana terdapat sumber air semula jadi. Saya menemuinya di hadapan Plaza Sri Muda: takungan air bersih, jernih dan dipenuhi tumbuhan semula jadi.

.

Saya mengisi air itu ke dalam lima biji botol dan membawanya pulang; untuk dicampurkan bersama air paip bagi akuarium. Tanah, pasir halus, batu-batu kecil dan daun-daun kering juga sudah disediakan.

.

Semasa zaman kanak-kanak dan remaja di Aulong Lama, Taiping, saya banyak memelihara ikan air tawar secara amatur (dan saya tidak tahu nama kebanyakan daripadanya).

.

Namun, selepas meninggalkan Taiping pada akhir 1991, baru kini saya “belajar” semula untuk memelihara ikan. Ganesan pandai dalam hal pemeliharaan ikan tetapi dia belajar di luar negara sekarang.

.

Tidak mengapa. Saya percaya bahawa saya akan berpeluang belajar banyak perkara mengenai ikan – dan hidup – daripada Devishi.