Bagi slot “Aktiviti Galakan Membaca” sempena program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu di Residence Inn, Cherating, pada pagi 20 Oktober 2009, saya mengubah pendekatan berbanding aktiviti di Sibu dan Sandakan.
Tumpuan diberikan kepada “Teknik Bercerita” dan “Membacakan Cerita kepada Khalayak Umum”. Untuk itu, saya menyediakan peta minda sebagai panduan kepada peserta.
Kami memulakan perbincangan dengan bercakap mengenai perkara-perkara yang menyebabkan pelajar dan murid-murid kurang berminat mendengar guru bercerita di hadapan kelas.
Foto-foto yang dirakam semasa aktiviti ini boleh dilihat pada album foto di akaun Facebook saya.
Peserta terdiri daripada 63 murid/pelajar dari 9 buah sekolah daerah Kemaman, Terengganu.
Sekolah-sekolah terbabit adalah SMK Binjai, SMK Geliga, SMK Chukai, SMK Kampung Baru Kerteh, SK Binjai, SK Seri Kemaman, SK Kemasek, SK Seri Gelugor dan SK Ayer Jerneh.
Saya turut melukis lakaran seorang lelaki memancing ikan; dan meminta peserta (dalam kumpulan) mereka cerita sepanjang 5 ayat. Hasilnya menarik juga.
“Seorang lelaki botak, seorang lelaki botak, seorang lelaki tanpa rambut dan telinga, seorang lelaki bernama Uthaya … Menggunakan joran berwarna merah, tidak menggunakan umpan … ikan besar, ikan yang pandai …”
Dua peserta terbaik diberikan hadiah buku cerita.
Kemudian, peserta – dalam kumpulan – diminta menulis cerita sepanjang 10 ayat berdasarkan catatan berikut: “Sekumpulan orang diminta menghadiri suatu majlis yang mereka tidak suka”.
Bagi kumpulan yang menghasilkan cerita terbaik, diberikan hadiah buku.
Saya sengaja memasukkan unsur humor dan bersahaja kerana tidak mahu menjadikan akiviti menulis dan membaca kerja yang “sudah” dan “terlalu serius”.
Istilah “binjai” juga mendapat beberapa makna baru apabila saya menggunakannya berulang kali dalam pelbagai situasi. Misalnya, “Engkau ni binjai betul.”
Saya turut membacakan beberapa halaman cerpen “Air” (Rudra Avatara, 2008) untuk memberi gambaran dan contoh kepada peserta mengenai apa yang dimaksudkan dengan membaca cerpen dengan penuh penghayatan, emosi, intonasi dan sebagainya.
Dua peserta tampil menyahut cabaran membaca petikan cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, 2008). Kedua-dua mereka diberikan hadiah buku tersebut.
Sambutan yang diberikan oleh peserta kali ini memang menarik. Amatlah bagus jika pihak MBKM mengatur bengkel susulan untuk membolekan saya (mewakili Kavyan) membimbing kelompok ini menulis cerita dan mendalami teknik membaca cerpen di pentas.