1 Dec 2009

Bengkel Penulisan untuk Guru

Berikut rangka skrip seperti disiarkan di TV1 menerusi slot “Peristiwa” pada 1 Disember 2009, sekitar 8:50 malam.


Bermulanya cuti sekolah pasti disambut penuh gembira oleh para pelajar. Bagi golongan pendidik pula, musim cuti sering digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman baru ke arah memberi “nilai tambah” kepada diri dan profesion yang diceburi.



Di Sandakan, Sabah, berlangsung “Bengkel Penulisan” selama tiga hari (23-25 November 2009), khusus bagi golongan pendidik dari sekitar daerah berkenaan.



Program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Pusat Teknologi Pendidikan Daerah Sandakan ini menyaksikan penyertaan hampir 70 warga pendidik yang ternyata berminat untuk mempelajari dan mendalami teknik serta selok-belok menghasilkan karya kreatif seperti cerpen dan novel.



“Bengkel Penulisan” dirasmikan Pengarah Urus Setia Tetap MBKM, Abdul Halim Ismail.



Beliau menyatakan bahawa golongan pendidik amat kaya dengan pengalaman dan wajar dikongsikan bersama generasi muda, khususnya remaja.



Bengkel intensif selama tiga hari ini merupakan lanjutan daripada “Program Galakan Membaca” yang dianjurkan di Sandakan pada awal Oktober lalu.



Para peserta menerima bimbingan dan tunjuk-ajar daripada pengarang prolifik tanah air, Uthaya Sankar SB yang juga merupakan Penerbit Rancangan di RTM Angkasapuri, Kuala Lumpur.



Di akhir bengkel, para peserta membacakan manuskrip cerpen yang dihasilkan untuk dikomen dan dibaiki oleh pembimbing.