3 Dec 2009

Dua Antologi Cerpen Penulis Kaum India

Pada petang 3 Disember 2009, saya mendapat pengesahan mengenai dua projek yang melibatkan penulis kaum India Malaysia.
.

Pertama, antologi cerpen penulis Tamil Malaysia; iaitu antologi yang memuatkan 20 cerpen oleh 20 penulis Tamil – cerpen-cerpen Bahasa Tamil diterjemah ke Bahasa Malaysia.


Cerpen-cerpen bagi antologi berkenaan akan diterjemahkan oleh Hemantha Kumar Nagappan. Saya akan menyunting cerpen-cerpen selepas diterjemah nanti.

Saya dan Kumar akan memilih 20 penulis Tamil dengan sebuah cerpen asli Bahasa Tamil oleh setiap penulis terbabit dipilih untuk diterjemahkan.

Secara umum, penulis Tamil yang prolifik dan aktif berkarya akan dipilih mewakili tahun-tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000-an (2000-2009).

Sila hubungi saya jika ada cadangan penulis Tamil yang sesuai bagi tujuan antologi ini.

Untuk perhatian, projek ini melibatkan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tetapi tidak melibatkan mana-mana persatuan lain; termasuk persatuan yang mewakili penulis Tamil.

Kedua, saya juga sedang mengusahakan sebuah antologi cerpen Bahasa Malaysia oleh Sasterawan Kavyan; iaitu penulis kaum India Malaysia yang menghasilkan karya asli dalam Bahasa Malaysia.

Jumlah cerpen yang akan dimuatkan dalam antologi berkenaan adalah sebanyak 20 buah.

Karya mestilah asli dan bukannya terjemahan; atau sebarang unsur yang menjadikan karya itu tidak asli.

Cerpen yang pernah tersiar sebelum ini juga dibenarkan.

Manuskrip cerpen wajib dikirim kepada saya secara lampiran ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my sebelum 15 Januari 2010.

Sila hubungi saya melalui talian 012-3368142 jika ada sebarang pertanyaan berhubung projek ini.