28 Jan 2015

Tukang Urut dari Kerala

Apabila menyebut mengenai rumah urut dan tukang urut, sering kali muncul gambaran negatif dalam minda. Hal ini disebabkan pelbagai pihak berselindung di sebalik nama rumah urut untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Pada masa sama, perlu diakui bahawa masih ramai tukang urut tulen beroperasi untuk memberikan perkhidmatan yang profesional kepada mereka yang memerlukan.

Sejak dilanggar sebuah kereta yang terbabas di lebuh raya pada 26 Februari 1994, saya mengalami kecacatan kekal pada tangan kiri dan sakit belakang yang memerlukan urutan tradisional dari semasa ke semasa.

Maka, sejak dua dekad lalu, selain daripada fisioterapi, saya juga mendapatkan khidmat tukang urut pelbagai kaum. Ada yang profesional dan ada pula yang separa profesional.

Khidmat mengurut oleh pakar ayurveda biasanya agak mahal. Ramai juga kenalan yang pergi terus ke Kerala, India untuk mendapatkan perkhidmatan itu pada harga lebih murah tetapi saya tidak mampu.

Ayurveda adalah perkataan Sanskrit yang membawa makna “sains kehidupan” di mana “ayur” bermaksud “hayat” atau “hidup” manakala “veda” bermakna “ilmu” atau “pengetahuan”. Perubatan ini diamalkan di India sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Saya pernah menulis makalah bertajuk “Ayurveda: Petua Panjang Umur” (The Malaysian Insider, 11 Jun 2012). Stephen Abraham yang saya kenali sejak zaman pengajian di Universiti Malaya (1993-1998) berpeluang membaca makalah itu.

Seterusnya Stephen memperkenalkan saya kepada Bibulal, seorang tukang urut profesional keturunan Malayali. Saya mendapatkan khidmat urut daripadanya dan terus berpuas hati dengan kebolehannya memenuhi cita rasa saya.

Tambahan pula, bayaran yang dikenakan adalah jauh lebih murah berbanding beberapa tempat lain, sedangkan pada penelitian saya, mutu perkhidmatan adalah jauh lebih baik.

Ramuan herba tradisional

Pada setiap kali sesi mengurut, kami akan berbual-bual dan saya berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat mengenai ayurveda, urutan tradisional Kerala dan minyak khas yang digunakan.

Secara tidak langsung, saya dapat memastikan bahawa Bibulal memang tahu apa yang dilakukannya.

Dari mula hingga akhir sesi, dari hujung rambut ke hujung kaki, pemuda berumur 27 tahun ini mempraktikkan seni mengurut tradisional yang bersih dan profesional.

Minyak yang digunakan dibawa khas dari Kerala. Ada beberapa jenis minyak dicampur dan dipanaskan untuk mengurut badan serta apa pula minyak khusus untuk mengurut kepala.

Minyak dhanwantharam dicampurkan dengan minyak karpoora untuk mendapatkan kesan urutan yang lebih berkesan dan menyegarkan badan. Minyak ksheerabala pula khas untuk kepala.

Kesemua minyak yang digunakan oleh Bibulal adalah ramuan herba tradisional yang dijamin mutunya oleh pengeluar di Kerala. Maknanya, tanpa perlu pergi ke Kerala, saya masih mendapat kualiti yang sama di Shah Alam.

Tambahan pula, Bibulal mengikuti kursus selama dua tahun di Jayabharath Institute of Panchakarma di Trivandrum, Kerala. Dia juga ada sijil pengesahan daripada institut berkenaan.

Panchakarma merujuk kepada “panchabootam” atau lima unsur alam iaitu api, tanah, angin, angkasa dan air.

Ayurveda dan urutan tradisional Kerala memanfaatkan ilmu mengenai panchakarma untuk menjamin kesihatan luaran dan dalaman.

Sudah dinyatakan bahawa “ayur” bermakna “hayat” atau “hidup”. Hayat dan hidup manusia menggabungkan keseimbangan antara jasad, minda dan jiwa (body, mind and soul).

Minyak meresap ke bawah kulit

Menurut Bibulal, tubuh menghadapi masalah apabila keseimbangan itu terganggu. Apabila keseimbangan semula jadi antara alam dan manusia (human and nature) terganggu, ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan badan.

Hasil perbualan bersama Bibul pada setiap sesi mengurut, saya yakin bahawa beliau mempunyai pengetahuan mendalam mengenai ayurveda, panchakarma dan perubatan tradisional Kerala.

Pemuda ini juga sering menambah ilmu menerusi pembacaan bahan-bahan di internet. Ada pelbgai sumber sahih yang boleh dijadikan rujukan.

Penguasaan Bahasa Malayalam membolehkannya membaca pelbagai buku dalam bentuknya yang asal. Beliau juga mencatatkan nota dan maklumat dalam buku khas sebagai panduan.

Pengalaman berurut dengan Bibulal memberikan kepuasan kerana dilakukan secara profesional, bersih dan pakar. Setiap sesi mengurut berlangsung selama sejam dan ditambah dengan mandian stim (steam bath) selama 20 minit.

Minyak akan dicampur dan dipanaskan sebelum mengurut. Menurut Bibulal, langkah ini bagi memastikan kandungan herba dalam minyak itu meresap masuk ke bawah kulit lalu memberikan kesan lebih baik.

Daripada pemerhatian saya, teknik menggosok lebih banyak digunakan berbanding menekan. Tindakan ini adalah kerana kandungan minyak akan meresap dan mengembalikan keseimbangan badan.

Teknik menekan pula digunakan apabila perlu, misalnya jika ada bahagian yang terseliuh atau saraf yang keras. Urutan pada kepala pula terbukti menghilangkan sakit kepala, meredakan panas badan dan mengurangkan tekanan.

Pelanggan Bibulal tidak ramai. Beliau cuba menghadkan hanya dua atau tiga pelanggan sehari. Hal ini bagi memastikan setiap pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik tanpa perlu tergesa-gesa.

Pelanggan dari pelbagai latar pekerjaan

Tukang urut profesional ini hanya menerima pelanggan lelaki. Rata-rata berumur lebih 30 tahun. Kebanyakan adalah pelanggan tetap yang sangat berpuas hati dan seterusnya mencadangkan kepada rakan-rakan.

Saya perhatikan ada seorang pesara yang mengalami strok datang mengurut setiap dua minggu. Urutan yang diberikan membantu melancarkan aliran darah serta mengekalkan kesegaran tubuh.

“Beberapa pelanggan tetap saya adalah pemandu lori. Mereka sering mengadu sakit badan dan otot kerana bekerja keras.

“Golongan profesional pula mengalami sakit pinggang, bahu dan kepala akibat tekanan di tempat kerja,” Bibulal menceritakan sambil tekun mengurut saya baru-baru ini.

Walaupun pelanggan datang dengan aduan dan permintaan yang spesifik, tukang urut profesional ini akan mencadangkan urutan penuh seluruh badan selama sejam dengan bayaran yang sama.

Hal ini kerana sekiranya hanya bahagian tertentu diurut – misalnya bahu, tangan atau pinggang sahaja – pelanggan hanya mengalami keselesaan dan kelegaan sementara.

Urutan seluruh badan berserta perhatian tambahan pada bahagian spesifik yang sakit akan membuatkan pelanggan pulang dengan puas, segar dan bertenaga.

Tentulah perkongsian pengalaman dan maklumat ini tidak bertujuan mempromosi mana-mana tukang urut. Sebaliknya untuk menyatakan hakikat masih ada tukang urut profesional yang bersedia memberikan perkhidmatan secara tulen.

Dalam pada itu, berbeza dengan tanggapan serta pengalaman awal saya sendiri, ternyata khidmat ayurveda dan urutan tradisional Kerala yang profesional boleh didapati pada harga yang relatif rendah.

[Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Januari 2015. Paparan ini bukan untuk mengiklankan perkhidmatan mengurut! © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]