“Bagi
Madhavi, sejak datuknya, Kumara Kurunadhar datang ke sini dari Kerala sebagai ‘krani’
dahulu dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi Malaya, sejak itulah tanah ini
menjadi tanah tumpah darahnya.
“Atas
dasar itulah juga Vijay Kumar turut bergiat bersama-sama penduduk lain untuk
membebaskan negara ini daripada belenggu penjajah. Cita-cita Vijay Kumar adalah
agar MCA, MIC dan UMNO bersatu, bekerjasama dan seiring menuntut kemerdekaan.”
Demikian
petikan daripada cerpen “Nayagi” yang saya tulis pada Februari 1992 iaitu pada
usia 20 tahun. Cerpen ini menggunakan latar masa sekitar Ogos 1950 dan
digambarkan berlaku di sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam di Taiping, Perak.
Apabila siap
ditaip kemas menggunakan mesin taip Olivetti
Lettera 32, manuskrip dikirim ke majalah Dewan Siswa melalui pos tetapi tidak tersiar.
Mungkin tema
dan muatan cerpen “Nayagi” terlalu berat bagi sebuah majalah remaja kerana mengangkat
soal perjuangan hak wanita, semangat patriotik kaum India terhadap Tanah Melayu
serta perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Pada masa
itu, saya mendapat tahu tentang pertandingan cerpen anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP). Lalu, manuskrip sama dihantar tanpa sebarang perubahan.
Memang
membanggakan apabila cerpen “Nayagi” menang tempat pertama Hadiah Cerpen
Maybank-DBP 1992, lalu dimuatkan dalam antologi Menara 5 (1993).
Cerpen itu turut
dimasukkan dalam buku persendirian saya iaitu Siru Kambam (1996), Yang
Aneh-aneh (1997), Nayagi (2000)
dan Kisah dari Siru Kambam (2013).
Maklum balas
yang diterima daripada tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan
dan Datuk A. Samad Said serta Allayarham Dr. Othman Puteh amat mengujakan. Mereka kagum dengan muatan
cerita yang segar, baharu dan asli.
Menerusi
rencana bertajuk “Malayali dalam Cerpen Tamil” (Utusan Malaysia, 24 Jun 2023), dihuraikan hakikat watak dan budaya
komuniti Malayali dan Telugu hampir tiada dalam cerpen dan novel Tamil
tempatan.
Malah, karya
sastera kebangsaan oleh penulis kaum India yang terdiri daripada
keturunan Tamil, Malayali, Punjabi, dan Telugu juga rata-rata hanya memperkatakan
watak, isu, dan budaya komuniti Tamil dalam fiksyen yang dihasilkan sejak
1970-an. Perkara ini diperincikan dalam buku Kavya Sastra (2021).
“Saya
sebenarnya sudah jemu, malah mual, membaca cerpen-cerpen yang menampilkan watak
stereotaip kaum India yang digambarkan masih tertumpu setia terhadap
negara asal nenek moyang,” saya nyatakan pada bahagian prakata buku Siru Kambam (1996).
Lalu, saya ketengahkan
citra baharu kaum India yang berbangga menjadi warga Tanah Melayu jauh sebelum negara
ini merdeka. Saya libatkan mereka bersama-sama penduduk kaum lain dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan. Malah, dikaitkan dengan perjuangan menuntut hak wanita
dalam menentukan masa depan.
Cerpen “Nayagi”
diterjemah kepada bahasa Tamil oleh seorang penulis Tamil tempatan, mendiang M. Balachandran untuk siaran dalam dua bahagian di akhbar Shanti (4 dan 11 September 1994).
Cerpen itu juga
kemudian kami sama-sama olah menjadi skrip drama radio dan disiarkan di stesen Radio
Enam (MinnalFM). Memang cerpen dan
drama radio itu menjadi sesuatu yang baharu bagi khalayak kaum India kerana
mengangkat watak, keluarga, dan budaya Malayali. Malah, menggambarkan latar
ladang tebu dan bukannya ladang getah.
Versi
terjemahan bahasa Inggeris pula diusahakan oleh bekas pensyarah Universiti Sains
Malaysia (USM), Dr. Lalita Sinha dengan judul “Nayagi, Mistress of Destiny”
atas permintaan Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh.
Cerpen itu
dimuatkan dalam antologi Sea of Rainbows
(2009) tetapi saya dan Lalita memang kurang berpuas hati dengan kualiti terjemahan
kerana dilakukan secara tergesa-gesa.
Maka, Lalita
membuat terjemahan serba baharu untuk kumpulan cerpen The Painted Cat (2023). Seterusnya, versi baharu itu diangkat
menjadi salah sebuah cerpen bagi subjek Literature
in English peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu dimuatkan
dalam antologi Malaysian Mosaic
(2025).
Perjalanan
“Nayagi” dari tahun 1992 hingga 2025 amat menarik dan istimewa. Saya gembira
kerana sebuah cerpen yang diilhamkan 33 tahun lalu masih relevan sehingga kini.
Vasudevan
Letchumanan, seorang guru subjek Bahasa Inggeris dan Tamil dari Skudai, Johor
mengaku sudah berulang kali membaca cerpen “Nayagi” yang tajuknya membawa makna
“wirawati”.
“Ia
umpama memainkan semula babak-babak sejarah 1940-an dan 1950-an, mengingatkan
kisah pembunuhan Mahatma Gandhi, serta peristiwa sebelum kemerdekaan Indonesia dan
Tanah Melayu,” katanya dalam mesej kepada saya pda 25 Ogos 2025.
Sai Vijay @ Vijay R. Pragash pula anak muda berumur 25 tahun
dari Kajang, Selangor. Graduan seni reka visual dari Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (Aswara) ini turut tertarik dengan “Nayagi”.
Pemuda
ini terlibat dalam pelbagai pameran lukisan sejak usia 15 tahun. Beliau sedang
dalam proses menghasilkan enam lukisan berdasarkan petikan cerpen berkenaan
untuk pameran solo pertama.
Acara Bicara
Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay dijadualkan pada 27
September 2025 di Brickfields, Kuala Lumpur. Ia menggabungkan sesi membaca
petikan cerpen dalam pelbagai bahasa, diskusi cerpen “Nayagi”, serta pelancaran
pameran lukisan.
Saudara
saya dari Kerala, India, Bibulal Sadasiva Panicker akan membacakan petikan
cerpen dalam bahasa Malayalam, sesuai dengan watak-watak Malayali yang
diketengahkan dalam cerpen.
Pengerusi
Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia), Mahi Ramakrishnan dan
pengerusi Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), M. Mahendran sudah mengesahkan
penyertaan.
Selain Vasudevan
dari Johor, seorang lagi tenaga pengajar, Jeeva Kasthuri Anamalay dari Sungai
Petani, Kedah juga akan datang khusus untuk mengambil bahagian.
Harapan
saya agar cerpen “Nayagi” yang berusia lebih 30 tahun mendapat nafas baharu
apabila dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, bahasa, dan melibatkan peserta dari
pelbagai generasi dan latar belakang.
[Rencana
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 26 Ogos 2025 dan
disiarkan di Utusan Malaysia pada 30 Ogos 2025.]