Semasa pelbagai pihak sedang sibuk berbahas
mengenai acara I Want To Touch A Dog
(19 Oktober 2014) serta tindakan Syed Azmi Alhabshi (penganjur) tiba-tiba memohon maaf, saya memilih untuk
membaca buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim
(2009) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.
Buku ini tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir
dan diberikan kepada para peserta Konvoi Rumah Ibadat di Seremban,
Negeri Sembilan anjuran bersama Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 17 Februari 2013.
Fiqah (bahasa Arab) atau fikah (Bahasa Malaysia) merujuk kepada
pengetahuan tentang ibadat dan hukum-hakam syarak dalam ajaran Islam.
Maka buku setebal 186 ini amat sesuai untuk
bacaan orang Islam dan Bukan Islam memandangkan realiti Bangsa Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai kaum, etnik, agama, kepercayaan dan budaya.
Misalnya, isu yang sering menjadi
perbahasan dan polemik – serta sering dipolitikkan dalam usaha politikus mencari publisiti murahan –
adalah berkaitan anjing dan babi.
Dalam konteks Malaysia, tentulah mustahil
untuk menghapuskan terus kewujudan kedua-dua bintang itu serta mengharamkan
sepenuhnya penjualan daging dan makanan berasaskan daging babi.
Malah, mungkin ramai yang tidak sedar
bahawa walaupun daging babi (ulang: dagingnya) diharamkan dalam Islam, daging
itu masih boleh dimakan dalam keadaan darurat (Surah al-Baqarah: 173).
Agak menarik juga untuk diperhatikan
perbezaan pandangan mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi berkaitan
kenajisan anjing dan babi.
Dalam mazhab Syafie, kedua-dua anjing dan
babi termasuk kategori najis berat atau najis mughallazah.
Buku Fiqah
Berinteraksi Dengan Non-Muslim amat sesuai dijadikan rujukan untuk memahami
topik ini serta pelbagai topik yang amat penting dalam mengelakkan prasangka
antara agama.
[Makalah
ini ditulis pada 26 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Oktober
2014. Sila KLIK DI SINI untuk
membaca makalah penuh. © Uthaya Sankar SB
2014. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]