Baru-baru ini timbul isu seorang individu
memaparkan foto polis trafik menyaman pemandu kereta berserta panggilan
“monyet”.
Di pihak yang satu lagi, kita selalu
bertemu orang awam yang suka menggunakan kata ganti diri kedua “Datuk” dan
“tuan” apabila bertemu polis, walaupun hanya konstabel atau lans koperal.
Antara pengalaman awal saya berdepan dengan
anggota polis adalah sekitar pertengahan 1993, iaitu hampir dua tahun selepas
saya sekeluarga berpindah dari Taiping, Perak ke Klang, Selangor.
Saya sedang menunggang motosikal dari Kuala
Lumpur menuju ke Klang apabila ditahan polis di suatu sekatan jalan raya di
lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Angkasapuri. (MidValley Megamall
belum wujud pada waktu itu.)
Saya tidak pasti sama ada sekatan jalan itu
melibatkan kumpulan polis biasa atau polis trafik. Tambahan pula ini kejadian
lebih dua dekad lalu dan saya sesungguhnya tidak memiliki daya ingatan yang
baik sejak kemalangan pada 26 Februari 1994.
Polis yang menahan saya menyemak lesen dan
cukai jalan. Saya hanya menggunakan gelaran “encik” apabila bercakap dengan
beliau.
Saya berterus-terang memberitahunya bahawa
saya berasa gembira kerana itulah kali pertama saya ditahan polis sejak saya
mendapat lesen.
Pegawai polis itu mengelilingi motosikal
saya sebelum mengumumkan bahawa plat nombor di bahagian belakang pecah.
Saya mendapati apa yang dikatakannya memang
benar; saya baru menyedarinya.
Dipendekkan cerita, saya ditanya apa yang
mahu saya lakukan dan saya mengatakan bahawa saya akan menukar plat yang pecah
itu.
Memandangkan saya memang tidak ada sebarang
pengalaman, saya turut meminta nasihat polis itu sendiri.
Kata pegawai polis berkenaan, kalau saya
disaman, saya perlu pergi membayar saman di balai. Tetapi polis itu berbesar
hati menawarkan saya peluang memudahkan urusan.
“Boleh settle
di sini,” katanya dengan selamba. “Bayar lima puluh (ringgit).”
[Makalah
ini ditulis pada 25 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 27 Oktober
2014. Sila KLIK DI SINI untuk membaca makalah
penuh. © Uthaya Sankar SB
2014. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]