Menjelang sambutan Hari
Malaysia (16 September 2014), saya pada mulanya bercadang mengetengahkan 17
individu rakyat Malaysia menerusi tulisan saya.
Individu yang dicari
adalah orang biasa – bukan politikus – sebagai penghargaan dan penghormatan
kepada Bangsa Malaysia untuk mendengar pandangan mereka dalam beberapa isu.
Bagaimanapun, apabila
penyertaan ditutup, sambutan yang diterima tidaklah sebaik disangkakan.
Tidak mustahil bahawa
hal ini berlaku kerana saya meletakkan syarat penggunaan Bahasa Malaysia yang betul apabila menjawab soalan-soalan yang
dikemukakan.
Namun begitu, beberapa
individu yang tampil mengemukakan pandangan ternyata mempunyai sesuatu untuk
diperkatakan.
Adam Farhan Ashraf Farhan berkongsi kebimbangan terhadap isu-isu perkauman yang
semakin berleluasa di negara bertuah ini.
“Ia menjadi suatu
fenomena yang menyedihkan kerana selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih
bercakap mengenai isu ini,” kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang
kini bekerja di Lumut, Perak.
Beliau yang membesar
dan belajar di Taman Sri Muda, Shah Alam turut tertanya-tanya apakah kita masih
akan bercakap mengenai isu sama dalam tempoh 50 tahun akan datang.
“Selagi pihak yang
memegang tampuk kuasa masih berpegang kepada mentaliti yang sama, keadaan ini
akan berterusan,” katanya.
Bagi Ananth Kumar Marutha Muthu, isu perkauman yang masih berlaku di Malaysia dilihat sebagai suatu
situasi yang memalukan.
“Kebanyakan orang
berfikir dan bertindak menggunakan kanta etnosentrik. Mereka melupakan fakta
bahawa kita semua adalah pertama sekali rakyat Malaysia, sebelum melihat kepada
kaum dan keturunan masing-masing,” kata pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan
ini.
Beliau yang kini
tinggal di Petaling Jaya dan Seremban turut menyelar isu-isu agama yang sengaja
diapi-apikan oleh individu dan organisasi yang tidak memiliki pemikiran rasional.
[Makalah ini ditulis pada 4 Ogos 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 5 Ogos
2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014.
Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala
kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.]