Apakah dalam keghairahan dan niat murni
memberikan teguran membina, Tun Mahathir Mohamad sebenarnya telah
membuka pintu kota seluas-luasnya sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diasak dan dikritik
semahu-mahunya oleh orang ramai?
Pertanyaan inilah yang timbul dalam minda
bilamana saya meneliti pelbagai laporan dan komentar di media sosial susulan
teguran Mahathir di blognya pada 18 Ogos 2014.
Saya tidak terus memberikan reaksi.
Sebaliknya meneliti selama beberapa minggu untuk melihat tindak balas golongan
politikus dan juak-juak politik yang pasti berada dalam dilema.
Sementara media arus perdana yang selalu
tampil menyokong kerajaan pimpinan Najib berdiam diri, pelbagai pihak pula
menggunakan ruang dan peluang yang dibuka oleh Mahathir untuk menghentam dan
mengkritik presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Melihat kepada perkembangan inilah maka
saya menyatakan kebimbangan bahawa Mahathir mungkin telah tersilap membuka
pintu kota seluas-luasnya kepada “musuh” yang memang menunggu peluang untuk
menyerang bertubi-tubi.
Langsung saya teringat akan kisah dalam Sejarah Melayu di mana watak bendahara,
Sang Rajuna Tapa, membuka pintu kota kepada musuh atas kepentingan peribadi.
Mahathir mempunyai pengalaman dalam politik
selama lebih 40 tahun. Tambahan pula, beliau memegang jawatan perdana menteri
selama 22 tahun (1981-2003).
Maka, tentulah ramai yang bersetuju bahawa
negarawan dan politikus itu mempunyai pengalaman, hak dan kewajaran membuat
teguran terhadap pemimpin masa kini, khususnya Najib.
Umum mengetahui bahawa Mahathir sendiri
yang memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya pada 2003.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Mahathir
jugalah yang mengkritik Abdullah secara terbuka serta menyokong Najib menjadi
pengganti.
Lalu, mengapa Mahathir sendiri tampil
menegur Najib, seolah-olah beliau “tersilap” membuat pilihan?
[Makalah ini ditulis pada 6 September 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 10 September 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]